6

34 2 0
                                    


"Ouch!" Izabel melepaskan jarum yang dipegangnya. Dia menggoyangkan tangannya untuk menghilangkan kesakitan terkena jarum.


Aisha yang sedari tadi memerhatikannya tertawa kecil. "Masuk kali ni dah berapa kali kau terkena jarum, Izabel?" Dia tidak dapat menahan geli hati melihat kesungguhan gadis berambut perang itu. Comel. Walaupun Aisha sudah melarang, Izabel tetap mahu membantu menjahit. Katanya bosan duduk diam di rumah.


Sedar tidak sedar, sudah hampir dua minggu gadis itu menemaninya di rumah. Setidak-tidaknya, dia tidak berasa sunyi lagi. Semenjak ibunya terlantar sakit dan tidak bercakap, Arslan pula sering menyibukkan diri dengan pekerjaannya. Adiknya akan pulang pada waktu malam dan biasanya cuma berada di rumah pada hujung minggu. Namun semenjak Izabel tinggal di situ, Arslan kadangkala akan pulang pada waktu tengah hari. Mungkin mahu memastikan tetamunya itu selesa tinggal di rumah mereka.


Arslan banyak mengingatkan Aisha kepada ayahnya. Meskipun tidak diungkapkan dengan kata-kata, perbuatan mereka sudah cukup menunjukkan bahawa mereka mengambil berat. Mungkin kehadiran Izabel menyerikan lagi rumah ini.


"Izabel. Kau masih belajar?" Aisha bertanya ingin tahu. Entah kenapa pertanyaan itu tiba-tiba keluar.


"Ya, boleh dikatakan begitu."


"Bidang apa?"


"Aku belajar banyak bidang. Waktu pagi, tutor akan datang untuk mengajarku politik dan pentadbiran negara. Waktu petang, aku belajar kelas muzik dan waktu malam, aku belajar kelas tarian. Guru yang mengajarku memang bagus, ayahku mengupah guru pakar khas untuk aku," Izabel bercerita penuh semangat.


Aisha sedikit kaget. Dia tahu Izabel merupakan seorang anak tentera, tetapi mengapa pula anak tentera perlu belajar tentang politik negara? Dan bagi seorang anak tentera, jadual Izabel kelihatan begitu padat. Namun Aisha tidak bertanya lanjut tentang perkara itu. "Oh, jadi kau belajar muzik? Organ apa yang boleh kau mainkan?"


"Aku belajar piano dan violin. Kadang-kadang, bapa saudaraku Charles akan bawa aku ke gereja untuk bermain piano pada hari Ahad." Aisha baru teringat bahawa Izabel itu seorang Kristian. Dan kebiasaan penganut Kristian adalah untuk ke gereja pada hari Ahad.


"Izabel. Maaf Kak Aisha lupa. Hari Ahad yang lepas, kau tidak ke gereja kan? Kalau kau mahu, aku boleh bawakan. Tapi gereja tak banyak di kota ini. Ada sebuah sahaja di hujung kota. Majoriti rakyat Zaiden penganut agama Islam. Tapi kami masih menghormati mereka yang menganut agama lain. Jadi gereja di hujung kota tu masih kekal sampai hari ini."


"Kak Aisha serius?"


"Ya, aku boleh bawakan..." kata-kata Aisha dipotong.


"Tak, bukan macam tu. Aku tak berniat untuk pergi gereja buat masa ini. Aku cuma hairan di kota ini ada gereja. Kenapa masih ada gereja? Kalau di Kota Belista, langsung tidak ada masjid yang didirikan di sana. Dua puluh tahun yang lepas memang ada, tapi sudah dihapuskan. Dan sesiapa yang didapati ada kaitan dengan agama selain Kristian, akan dihukum bunuh."


"MasyaAllah," Aisha berkerut. "Dalam Islam, nabi kami mengajar untuk menghormati agama lain. Sebab itulah kami tak musnahkan tempat ibadat agama lain. Tapi pernah juga ada cubaan untuk robohkan gereja itu, cuma kerajaan tak luluskan. Dan gereja itu sekarang dikawal oleh kerajaan. Raja Sulaimen seorang yang sangat taat pada agama dan bersikap adil. Aku rasa semua rakyat hormat dan sayangkan pemerintah kami."


Izabel kagum mendengar penjelasan Aisha. "Raja Sulaimen kalian tu sangat berbeza dengan pemerintah kerajaan aku. Dia seorang yang autokratik, makan harta rakyat dan sering menaikkan cukai. Sesiapa yang menentangnya akan dihukum. Rakyat miskin ditindas. Rakyat memberontak dibunuh. Menteri-menteri yang bekerja dengannya semua disebabkan harta, pangkat, politik dan wanita. Mereka dijanjikan kesenangan. Aku benci dengan situasi tu. Aku tak sanggup hidup atas kesenangan hasil menindas rakyat yang lemah," Izabel menghela nafas panjang. Tanpa disedari, keringat jernih mula menitis dari kelopak matanya. Aisha terkejut.

Teduhan Langit di Kota ZaidenWhere stories live. Discover now