3

35 3 0
                                    


Kini, pandangan matanya beralih pula kepada tentera berkening tebal yang sedang memeluk gadis itu. Dia menolak gadis itu keras sehingga tubuhnya rebah di atas tanah. Pedangnya dihunus ke hadapan. Dia mula menyerang Arslan. Arslan berjaya mematikan beberapa kali libasan si kening tebal itu. Apabila lawannya terbuka, segera pemuda itu menghantar masuk hunusan pedangnya mengenai perut. Sama seperti tentera bermuka bengis tadi, Arslan menghantar hunusan kedua masuk ke perut lawannya bagi merebahkannya. Kemudian, segera pemuda itu menuju ke arah gadis yang sedang perlahan-lahan bangkit.


"Kau tak apa-apa? Kita kena pergi dari sini cepat." Gadis itu mengangguk perlahan, masih ragu-ragu untuk menerima pertolongan lelaki di hadapannya itu. Namun langkahnya pantas mengikuti langkah Arslan sejurus pemuda itu bergerak meninggalkan kawasan itu. Arslan berjalan pantas, namun sekali-sekala dia menoleh ke belakang bagi memastikan gadis itu mengikuti jejak langkahnya. Gadis itu cuma menuruti jejaknya tanpa bersuara. Hanya nafasnya yang mengah kedengaran di hujung telinganya.


Setelah hampir beberapa lamanya perjalanan, Arslan mula memperlahankan langkahnya. Dia melihat kawasan sekeliling. Kemudian, wajah gadis itu diperhatikan. Gadis itu mempunyai kulit yang cerah, bermata coklat hazel, hidung mancung dan memiliki rambut perang yang ikatannya hampir tertanggal. Wajahnya sudah kotor terpalit tanah, mungkin kerana terjatuh tadi. Belum pernah Arslan melihat gadis cantik sepertinya sebelum ini. Dia mengagak bahawa gadis itu mungkin keturunan bangsawan.


"Aku rasa kita selamat di sini. Apa kamu buat di kota ini? Gadis macam kau tak sepatutnya berada di kawasan ini. Hutan ini bahaya," Arslan memecahkan kebisuan sambil menyeka keringat di dahinya. Hatinya masih belum tenteram kerana telah masuk campur dalam urusan rakyat negara musuhnya.


Gadis tersebut senyap seketika, cuba mengatur jawapan untuk pertanyaan tersebut. "Aku... aku lari dari rumah."


"Tak salah lari dari rumah, tapi kenapa sampai melanggar sempadan? Kalau ada rakyat Zaiden yang nampak lambang salib Belista tu, percuma saja kau kena libas dengan pedang." Arslan cuba memikirkan sesuatu. Apakah tindakan seterusnya yang harus dilakukannya? Dia cuma berhadapan dengan tentera-tentera tadi untuk menyelamatkan gadis itu. Sekarang, dia tidak tahu langkah seterusnya. Gadis itu masih senyap.


"Kau ada hala tuju?" Gadis itu menggeleng.


"Ada orang yang boleh hulurkan perlindungan?" Sekali lagi geleng.


"Apakah kau membenci rakyat Zaiden? Atau mungkin askar pengintip?" Arslan menyoal tegas.


"Tak. Aku cuma lari dari rumah," jawabnya perlahan.


"Macam mana aku nak tahu kau tak berbohong?"


"Kalau aku askar pengintip kerajaan, mestilah tentera tadi lepaskan aku."


Arslan cuba membuat perhitungan dalam kepalanya. Jika dia membantu seorang rakyat Kota Belista, banyak masalah yang akan menimpa dirinya dan mungkin keluarganya.


"Namamu siapa?" soalnya lagi ibarat polis yang baru menangkap seorang pencuri. "Grace."


 Arslan mengambil kain yang digunakan untuk mengikat pedangnya, dicampakkan perlahan di atas kepala gadis yang bernama Grace itu. "Ambil kain itu dan tutup rambutmu. Aku akan cuba tolong kau apa yang aku mampu. Mulai sekarang, kalau ada yang tanya nama kau, katakan saja Izabel. Satu lagi, simpan rantai salib kau dan ikut aku." Arslan mula bergerak tanpa menunggu balasan daripada Grace. Namun dia berpaling semula apabila menyedari gadis itu tidak mengikut jejak langkahnya.

"Kau ada pilihan. Tinggal di sini untuk dikejar tentera kerajaan kau, atau ikut orang yang baru selamatkan kau," ujar Arslan sambil meneruskan langkahnya. Grace akhirnya mengalah dan memutuskan untuk mengikuti pemuda yang baru dikenalinya itu.

Teduhan Langit di Kota ZaidenWhere stories live. Discover now