9

26 4 2
                                    


Arslan menarik kerusi dan mempersilakan Saera untuk duduk. Izabel sedikit hairan. Tiba-tiba sahaja si Arslan itu berubah menjadi pemuda budiman.


"Kak Aisha!" Arslan melaung dari ruang hadapan. Rumah yang mempunyai tiga buah bilik itu tidaklah terlalu besar. Panggilan dari ruang hadapan sahaja boleh didengari sehingga dapur belakang rumah. Sementara menunggu Aisha, Saera memerhatikan Izabel yang masih lagi berdiri di hadapan pintu.


"Aku dengar saudara perempuanmu sedang tinggal denganmu buat sementara waktu. Adakah ini dia?" Saera bertanya, masih lagi dengan senyumannya.


"Oh, maaf. Aku lupa perkenalkannya. Ya, ini Izabel adik saudaraku. Izabel sedang cuti kuliah, dia nak temankan Kak Aisha di sini." Arslan kemudian berpaling ke arah Izabel. "Izabel, ini Saera. Kakakku selalu mengambil tempahan roti daripadanya. Nanti kau rasalah roti yang dia buat." Izabel sekadar menarik senyum.


Aisha muncul dari dapur. Wajahnya senang melihat kunjungan Saera. Mereka bersalaman dan berpelukan mesra. "Adik iparku datang," Aisha mengusik seperti biasa. Entah kenapa, pada waktu itu Izabel terasa seolah-oleh jantungnya sedang dipanah petir mendengar dua perkataan itu. Adik ipar.


"Kak, janganlah merepek depan Saera," Arslan mengalihkan pandangannya ke arah lain, pura-pura tak tak setuju. Padahal hatinya senang. "Aku ke belakang buatkan air," Arslan terasa hendak segera beredar dari situ. "Aku tolong," Izabel mengikuti jejak langkah Arslan. Dia berasa janggal jika dibiarkan di situ.


Arslan mencapai empat buah cawan dan membuat kopi di dapur. Dia tersenyum sendiri sambil mengacau air panas yang baru dituang ke dalam cawan. Izabel menyiapkan hidangan untuk tetamu mereka sambil memerhatikan Arslan yang tersenyum sendiri. Dia tidak dapat menahan rasa ingin tahunya.


"Saera umurnya berapa? Aku tengok masih muda, sudah bekerja keras," penyelidikannya bermula.


"Dia setahun muda daripada aku, dan setahun tua daripadamu. Dia masih belajar bidang usuluddin, bidang agama. Dia tolong orang tuanya dalam perniagaan membuat roti.""Wah, rajinnya dia," Izabel kagum mendengar latar belakang Saera.


"Izabel. Aku tak pernah cerita kepada sesiapa. Kau sahabatku, aku minta kau rahsiakan perkara ini," Arslan berpaling menghadap Izabel, mukanya berseri namun serius.


"Apa dia?"


"Aku rasa, Saera jodohku."


Izabel tersentap. Dadanya terasa sesak. Hatinya terasa begitu pedih. Ketika itu, terasa badai sedang melanda jiwanya. Dia seolah-olah seorang gadis yang sedang menunggu masa untuk lemas di lautan yang luas.


"Pendapat kau, aku sesuai tak untuk Saera?"


Pendapatku? Ingin saja gadis itu meluahkan perasaannya pada saat itu. Menceritakan bagaimana bahagia dirinya setelah tinggal di rumah itu. Bertemu Aisha, Haula' jiran sebelah rumah, Fatima yang sering menghantar buah-buahan, dan paling penting, bertemu Arslan. Dia tidak pernah mendapatkan ketenangan seperti itu di Kota Belista. Dia tidak pernah merasakan erti sebuah keluarga yang bahagia. Dia tidak pernah mengenal erti sahabat sebenar yang tidak berkawan dengannya kerana harta. Dia tidak pernah belajar membuat kerja rumah. Dia tidak berpeluang membaca buku-buku selain politik negara. Dia tidak pernah bersiar-siar di negaranya sendiri. Dia tidak pernah mengenali erti hidup susah. Dan semuanya kerana dia bertemu dengan pemuda di hadapannya itu. Pemuda yang membawa hidupnya kepada suatu titik permulaan yang baru. Pemuda yang membuatnya kenal akan erti cinta.


Namun pada saat itu, pemuda itu telah meluahkan perasaannya terhadap seorang gadis yang lain. Dan pemuda itu bertanyakan kesesuaiannya dengan gadis tersebut. Apakah ada jawapan yang sesuai untuk soalan itu?


"Izabel? Izabel?" Arslan memerhatikan Izabel sambil mengangkat kening sebelah.


Izabel kembali daripada tenggelam dalam monolog dalamannya. Dia mengangkat wajah, merenung wajah Arslan sambil melemparkan sebuah senyuman."Sesuai. Aku akan tolong kau dapatkan Saera."

Teduhan Langit di Kota ZaidenWhere stories live. Discover now