12

28 3 0
                                    


TUJUH TAHUN KEMUDIAN.


Kota Zaiden dan Kota Belista akhirnya sudah mencapai pakatan diplomatik semenjak kemangkatan Raja Andrus dan naiknya pemerintahan yang baru. Peperangan antara kedua-dua buah kota itu hanya tinggal sejarah. Kerajaan baru Kota Belista telah merangka perjanjian yang strategik dan mendatangkan manfaat kepada kedua-dua kerajaan tersebut.


Pada hari ini, terdapat sebuah masjid yang dibina di ibu kota Belista dikenali sebagai Masjid Al-Saleh. Rakyat kedua-dua buah kerajaan juga bebas untuk menganut agama pilihan masing-masing. Majoriti rakyat Kota Belista tetap merupakan penganut Kristian dan Kota Zaiden majoritinya penganut Islam. Namun isu keagamaan yang timbul sudah semakin berkurang kerana rakyat diajar untuk menghormati agama lain.


Di suatu kawasan Kota Zaiden, seorang lelaki sedang duduk di atas bangku di belakang halaman rumahnya sambil menyeka keringat di dahi. Seorang anak kecil lelaki datang berlari-lari membawa sebilah pedang besi yang telah ditempa khas untuk digunakan oleh kanak-kanak. Anak kecil yang berusia lima tahun itu melompat duduk di atas riba lelaki itu.


Arslan menarik sengih. Dia mengusap kepala anak kecil itu berulang kali. "Dah penat berlatih, Yousuf?"


"Abi, lapar!" Yousuf memegang perutnya membuat muka kesian.


"Pergi masuk dalam. Minta ibumu makanan," Arslan mencubit pipi gebu Yousuf. Yousuf turun dari pangkuan Arslan, terus berdiri tegak sambil membuat gaya tabik.


"Siap!" Yousuf kemudiannya terus berlari masuk ke dalam rumah tanpa sebarang perhitungan. Laparnya sudah tidak boleh dirunding lagi.


Arslan tersenyum sendiri. Dia memandang langit biru. Langit pada hari ini, tidak sama dengan langit setahun yang lepas. Rakyat Kota Zaiden sudah tidak perlu takut lagi untuk keluar di kawasan ibu kota, ataupun masuk ke dalam hutan untuk mencari kayu api. Langit hari ini, sudah tidak ada lagi sengketa atau permusuhan. Namun hatinya masih berasa ada sesuatu yang belum selesai. Dia terbayang wajah seorang gadis Kota Belista yang pernah menjadi sahabatnya suatu ketika dahulu.


Apa khabar kau, Izabel? Adakah kita masih berada di bawah langit yang sama?


Lamunannya terhenti apabila mendengar bunyi pintu rumahnya diketuk. Arslan masuk ke dalam rumah untuk membuka pintu dari dalam.


"Siapa tu, Arslan?" seorang wanita dalam usia 60-an yang bertongkat muncul di sebalik langsir biliknya. Wanita tua yang bongkok itu berjalan perlahan-lahan membuntuti anaknya. Arslan mengangkat kedua-dua bahunya tanda tidak tahu. "Entahlah ibu. Bagi salam pun tidak."


Pintu rumahnya dibuka. Arslan menangkap dua figura lelaki yang berpakaian seragam dan satu figura wanita yang bertudung litup. Namun dua figura lelaki itu tidak menarik minatnya. Arslan tergamam melihat susuk tubuh wanita yang cukup dikenali di hadapannya itu.


"Iza.. Grace?"


Arslan terpaku. Kaget. Masih memproses maklumat tentang figura yang sedang berada di hadapannya.


"Izabel?" Aisha yang tadinya terganggu dengan bunyi ketukan pintu turut muncul.


Izabel mengalirkan air mata jernih. Sudah hampir tujuh tahun lamanya dia tidak melihat wajah-wajah di hadapannya itu. Arslan sudah menyimpan sedikit jambang, namun wajahnya tidak banyak berubah. Rambut hadapannya yang hampir menyentuh keningnya masih sama seperti dulu. Aisha kelihatan sedikit berisi. Ibu pula, sudah sihat dan mampu berjalan.


Izabel tidak pasti penerimaan keluarga itu terhadap kunjungannya. Gembirakah? Sedihkah? 


Kecewakah? Marahkah? Atau mereka sudah tidak ingat lagi tentang dirinya. Tempoh tujuh tahun sudah lebih daripada cukup untuk mereka melupakan dirinya. Namun dia tetap bertekad untuk berkunjung ke rumah itu walau apapun jenis sambutan yang bakal diterimanya. Baginya, janji tetap janji. Meskipun seribu satu persoalan dan emosi sedang menghentak ruang jiwanya saat itu.

"Izabel, masuklah." Aisha memeluk lantas menarik lengan Izabel. Izabel menuruti. Aisha memandang dua lelaki yang berpakaian uniform itu dan menjemput mereka masuk. Mereka menolak dengan alasan lebih selesa berdiri di luar. Arslan masih tercegat di muka pintu. Ibu senyap tidak bersuara. Memerhatikan sahaja tingkah anak perempuannya yang sedang menyambut tetamu itu.


Izabel menarik nafas panjang. Wanita itu mula membuka ceritanya. Perlahan-lahan, Arslan dan Ibu turut duduk mendengar ceritanya.

Teduhan Langit di Kota ZaidenWhere stories live. Discover now