8

27 4 0
                                    


Izabel membetulkan selendangnya yang hampir terjatuh dengan tangan kirinya. Tangan kanannya masih lurus di hadapan. Sebilah pedang sedang dihunus selari dengan pandangan matanya. Dia berada dalam posisi itu untuk beberapa saat. Keringatnya menitis perlahan menyentuh pipinya namun dibiarkan sahaja.


"Kan aku dah cakap, kedudukan bilah pedang jangan menegak, hunuskan secara melintang!" nada suara Arslan meninggi. Tegas. Suara itulah yang membuatkan Izabel tidak berani menyeka keringatnya. Sudah hampir satu jam dia belajar teknik asas bertarung pedang di belakang rumah Arslan. Dia tidak tahu pemuda itu sangat tegas apabila mengajar. Saat itu, cuma sesalan menguasai dirinya kerana mendesak Arslan untuk mengajarnya menggunakan pedang. Izabel terkaku seketika dalam posisinya.


Arslan menyembunyikan senyumannya. Sengaja dia mengusik gadis di hadapannya itu. Izabel kelihatan takut untuk berbuat sebarang kesalahan. Arslan berpura-pura menggeleng kepala sambil membuat muka kecewa. Izabel menelan liur. Dia tidak tahu berlatih asas pedang pun sudah susah sebegini. Sebelum ini, dia cuma pernah memegang piano dan violin sahaja. Jauh bezanya dengan sebilah pedang!


Arslan menghampiri Izabel, menukarkan posisi pedang yang sedang dihunusnya itu kepada posisi melintang. Arslan menarik pedang Izabel hingga terangkat sedikit ke atas dan menghayunkannya ke bawah. Dia berusaha untuk tidak tersentuh wanita itu sepanjang mengajar.


Tangan kanan Izabel masih mencengkam kuat pedangnya. Namun jantungnya berdegup kencang. Pantas. Dan bila-bila masa sahaja seperti mahu tercabut. Dia tidak kisah apabila rakannya Joseph menari dengannya sewaktu kelas tarian. Dia tidak kisah apabila sepupunya Alex mencium pipinya setiap kali mereka berjumpa. Tetapi kenapa? Setiap kali Arslan datang menghampiri sahaja jantungnya sudah merasakan getaran yang sangat kuat.


"Izabel? Izabel?!" Arslan menyeru namanya apabila menyedari gadis itu masih lagi kaku. Izabel terhentak dari lamunannya. "Kan aku dah cakap, fokus!"


"Ya, maafkan aku!" Izabel tiba-tiba membuat gaya tabik. Pedangnya dibawa ke sisi paha dan tubuhnya berdiri lurus ibarat tentera yang menunggu arahan. Pandangan matanya menghadap ke hadapan. Kali ini, Arslan sudah tidak dapat menahan geli hatinya lagi. Tawanya terhambur keluar. Matanya hampir berair. Lucu sungguh gadis di hadapannya itu.


"Kenapa kau ketawa?" Izabel keluar dari karakter tenteranya. Dahinya berkerut. Dia mengetuk lengan Arslan dengan sarung pedang. Arslan masih ketawa tidak berhenti. Terlakar lesung pipit pada wajah pemuda itu. Izabel akhirnya mengalah dan tersenyum. Siapa yang tidak akan mengalah apabila melihat lesung pipit itu? Jesus, adakah ini namanya kebahagiaan?


Tawa Arslan terhenti apabila mendengar suara seseorang memberi salam di hadapan rumah. Izabel memasukkan rambutnya yang terkeluar ke dalam selendang, langkah berjaga-jaga. Tidak mahu ada yang melihat rambut perangnya. Arslan berjalan menuju ke hadapan rumah, dibuntuti oleh Izabel.


Di hadapan muka pintu, Izabel memerhatikan figura seorang gadis bertudung litup. Berkulit sawo matang, alis matanya seolah-olah memakai celak, mukanya kecil tetapi kelihatan manis sekali. Gadis itu kelihatannya berusia sekitar lingkungan 20-an juga, mungkin sebaya dengan Arslan. Atau mungkin sebaya dengan dirinya. Dia sedang memegang sebuah bakul yang bertutup dengan kain. Gadis itu melemparkan senyuman manis sejurus melihat mereka berdua."Sa.. Saera. Aku ingatkan siapa tadi," Arslan menarik senyum sambil mengusap belakang kepalanya yang tidak gatal.


"Ya, aku datang nak hantar tempahan roti yang Kak Aisha kirim," senyumannya masih lekat pada wajah. Izabel sendiri terpana melihat senyuman manis itu. Pantas Arslan mengambil bakul roti daripada pegangan gadis yang bergelar Saera itu. Izabel memerhatikan gelagat pemuda itu. Berat roti-roti yang dibawa si Saera itu barangkali."Kak Aisha... Kak Aisha ada di dalam. Masuklah dulu. Jauh kan perjalananmu? Aku ambilkan bayarannya di dalam," Arslan membuka pintu rumah dari luar dan menahan pintu untuk Saera masuk. Saera mengangguk dan masuk ke dalam rumah. Sudah lama juga dia tidak berbual dengan Aisha. Aisha merupakan pelanggan setia yang sering membuat tempahan roti dengannya. Dia tidak kisah berjalan jauh dari rumahnya untuk menghantar roti kepada sahabatnya itu.

Teduhan Langit di Kota ZaidenWhere stories live. Discover now