5

30 3 0
                                    


Cahaya matahari yang terik menerobos masuk menerusi jendela bilik yang tidak berlangsir itu. Izabel mengusap matanya yang terkena tempias mentari itu. Dia menguap panjang. Tidurnya malam tadi terasa begitu nyaman. Bahkan begitu nyenyak akibat kepenatan. Sejurus sahaja pemuda yang bernama Arslan itu beredar petang semalam, wanita yang bernama Aisha memperkenalkannya kepada ibu mereka yang terlantar di bilik. Katanya ibunya sudah lama terlantar sakit semenjak kematian ayahnya. Tidak larat untuk berjalan. Bercakap pun tidak boleh.


Kemudian, Aisha menjamahnya dengan makanan dan menunjukkan biliknya. Mereka cuma berbual dan selepas makan malam, Izabel tertidur sehingga tadi. Bahkan dia tidak tahu sama ada pemuda yang menyelamatkannya itu pulang ke rumah ataupun tidak malam tadi. Dia tidak sempat berterima kasih kepadanya kerana masih kebingungan. Hatinya masih gelisah, namun terdapat sesuatu pada rumah ini yang mengundang sedikit ketenteraman kepada jiwanya. Dia tidak tahu. Kebaikan? Atau kasih sayang yang sudah lama tidak dirasainya? Dia tidak tahu.


Izabel mengikat rambutnya yang panjang dan berjalan menuju ke jendela kamarnya. Jendela itu berbeza dengan jendela yang ada di biliknya suatu ketika dulu. Dia cuba memikirkan cara untuk membukanya. Akhirnya, dia berjaya menolak jendela itu ke luar.


"Aduh!" Satu suara kedengaran. Izabel kaget. Dia menoleh ke kanan. Arslan sedang mengusap dahinya yang terkena jendela sewaktu dia hendak melintasi kawasan itu.


"Maafkan aku! Aku tak perasan," Izabel sedikit panik. Dia harus menjaga tingkahnya sepanjang tinggal di situ.


"Tak apa. Tingkap bilik ni pun dah lama tak terbuka," Arslan masih mengusap dahinya.


Izabel merenung sejenak lelaki itu. Sedang memikirkan kata-kata untuk diungkapkan. "Erm. Tuan Arslan. Terima kasih selamatkanku semalam. Aku tak sempat mengucapkannya kepadamu." Izabel melarikan pandangannya. Segan.


"Panggil aku Arslan saja. Aku bukannya orang berpangkat besar pun. Aku cuma tukang buat pedang untuk penduduk di sini. Pedang-pedang yang digunakan untuk lawan tentera bajingan Belista..." Arslan tidak menyambung kata-katanya. Dia baru sedar, di hadapannya itu merupakan seorang rakyat kota musuhnya.


Izabel tersenyum tipis. Dia tahu kebenaran di balik kata-kata pemuda itu. Dia tahu kerajaan negaranya banyak mengakibatkan kematian dan krisis kepada kota ini. Dia juga tahu, Kota Belista telah banyak menceroboh dan menyalahgunakan kuasa serta kecanggihan yang mereka ada. Dia tidak hairan sekiranya penduduk tempatan menghinanya jika mereka mengetahui gadis itu merupakan rakyat negara musuh. Bahkan dia hairan mengapa Arslan dan Aisha masih belum menyerahkannya kepada pihak berkuasa tempatan untuk dihukum kerana menceroboh sempadan.


"Izabel?" Arslan melambai-lambai tangannya di hadapan wajah gadis itu. Jauh termenung nampaknya.


"Maaf," Izabel tersengih sendiri mempamerkan wajahnya yang manis.


"Kebetulan kau dah bangun. Pergilah sarapan dulu. Kak Aisha ada sediakan sarapan yang sedap. Masakan Kak Aisha tak pernah tak sedap. Tapi jangan beritahu dia! Lepas sarapan, aku bawa kau keliling kota, nak? Walau apapun, kau tetap tetamu di sini.""Boleh!"

Teduhan Langit di Kota ZaidenWhere stories live. Discover now