Single Terlalu Lama!

By karyaseni2u

30.3K 476 18

Tajuk: Single Terlalu Lama! Penulis: PyNat Mouri Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2321-12-5 Harga: RM 28.0... More

Blurb
Bab 1
Bab 3
Bab 4
Bab 5
Bab 6
Bab 7
Bab 8
Bab 9
Bab 10
Bab 11
Bab 12
Bab 13
Bab 14
Bab 15

Bab 2

2K 33 1
By karyaseni2u

Langit sedikit kelam. Pancaran matahari tidak lagi terik. Dari kejauhan, matahari perlahan-lahan menyimpan cahaya siangnya. Jimin betul-betul rasa nyaman. Jimin masih tersandar pada kereta. Suasana yang nyaman tadi kembali canggung kerana kedua-dua insan masing-masing mengunci mulut.

Diam.

"Awak." Hanim memulakan bicara.

Masih diam. Hanim menoleh. Jimin masih dalam kedudukan yang sama.

"Awak... Dengar tak ni?" soalnya tanpa memandang wajah penat Jimin.

"Cakap la... Saya dengar ni." Jimin bersikap acuh tak acuh. Bukan tak kenal dengan perangai Si Hanim. Asal ajak berjumpa, mereka akan bergaduh. Memang meletihkan kalau lebih banyak bergaduh dari bercinta. Jimin cuba bersabar dengan Hanim, tapi ada saja yang tak kena di mata Hanim.

"Kita ni macam mana sekarang? Awak ni sayang ke tak dengan saya... Mak dah bising tau. Liza dah nak kahwin... Kita berdua ni, dah setahun berlalu... Macam itu juga."

Jimin tersenyum. Bukan dia tak sayang dengan Hanim, tapi mak Hanim memang tak pernah suka hubungan mereka. Mana dia pandang setakat budak macam Jimin. Tak ada masa depan. Hanim bakal guru, dia pula baru mula berjinak dengan dunia kimpalan. Kalau mahu pinang Si Hanim, mesti hantaran tinggi. Jimin bukan cari alasan, tapi bukan mudah untuk cari duit dalam masa singkat. Dia pun ada cita-cita nak dikejar. Dia ada matlamat. Kahwin pun salah satu matlamat, tapi bila didesak selalu, naik rimas pun ada.

Jimin menjongket bahu.

"Entah. Tak pernah terfikir nak kahwin." Laju tangan Hanim mendarat di bahu Jimin. Geram dan sakit hati. Jimin memang sengal dan suka mengundang rasa marah. Lelaki bab menggatal nombor satu, tapi bab ambil tanggungjawab pakat beri seribu alasan.

"Sakit la. Tangan awak tu kalau tampar orang, rasa pedih tau... Sampai ke tulang... Nanti dah jadi cikgu, jangan suka hati tampar anak orang... Nanti bapak dia mai serang awak dengan parang."

Wajah Hanim masam mencuka. Jimin masa belajar dulu bukan tak pandai, tapi terikut-ikut minat Zabidi berkaitan dunia kimpalan, dia pilih untuk belajar kemahiran. Itulah yang menjadi masalah sekarang. Mak Hanim nak lelaki yang stabil kerjanya. Jimin pula setapak demi setapak baru nak meningkat. Memang tak padan langsung dengan Hanim.

"Bergurau sikit pun tak boleh." Wajah Hanim dipandang lama. Itulah cinta pertama dia. Eh, bukan pertama, sebab Hanim yang mengurat dia dulu. Bila dah mula berkawan, baru melekat terus.

"Apa dia?" pintas Hanim ingin tahu bila sedar dirinya lama diperhatikan. Jantungnya berdegup kencang. Perlahan-lahan, Hanim mengalihkan pandangannya ke hadapan. Renungan Jimin boleh menghentikan masa, mampu mengacaubilau sesaat dua perasaan si gadis. Banyak sebab yang membuatkan dia jatuh hati pandang pertama, Jimin mempunyai daya penarik. Walaupun sedikit kasar, sisi romantik Jimin tetap ada. Tak perlu bunga atau hadiah, satu renungan pun dah buat hatinya cair!

"Awak bagi saya masa sikit. Hmmm... Saya sayang awak. Tapi takkan saya nak pinang awak dengan air liur? Kalau saya minta awak tunggu saya setahun, awak sanggup?"

Soalannya terbiar. Tidak terjawab. Hanim diam. Jimin melayangkan tangan ke wajah kesayangannya itu. Fikiran Hanim dah melayang entah ke mana.

"Hanim, awak dengar tak? Saya serius ni... Sanggup tak tunggu saya setahun?"

Dia pandang wajah Hanim dengan penuh harapan.

"Setahun? Kenapa saya kena tunggu lagi... Telinga ni kena setahun la menadah dengar bebelan mak." Hanim menunjukkan muka tidak berpuas hati.

"Hanim, awak pun ada lagi setahun lebih kan sebelum posting... Sementara tu, awak tunggulah saya. Saya janji saya akan ikhtiar sesuatu untuk menghalalkan hubungan kita."

Kata-kata Jimin bagai suatu pujukan yang mencairkan hati Hanim yang baru sekejap tadi memuncak kemarahannya. Bila Jimin mula menyusun ayat, batu pun cair!

"Awak nak buat kerja sambilan ke? Apa kata awak sambung belajar? Takkan nak harap gaji diploma aje? Zaman sekarang ni semua mahal."

"Syhhh... Hanim, Awak ni kan kalau mula bercakap, kiri kanan awak hentam. Bagi la peluang saya cerita. Tahulah awak bakal jadi cikgu." Jimin mencuit pipi itu. Hanim mencebik.

"Okeylah, saya tak cakap apa-apa dah."

Hanim menjeling tajam. Merajuk lagikah Si Hanim ni? Asal nak berbincang saja, mesti jadi macam ni. Hanim suka tayang muka kelatnya tu. Orang jantan ni kalau berdating, dia nak tengok yang manis-manis, bukan muka macam cerobong asap! Kadang lebih baik single kalau menghadap pasangan yang sikit-sikit minta dipujuk. Letih wooo!

"Janganlah sensitif sangat. Merajuk ke?" Jari nakal Jimin singgah mencuit dagu Hanim. Bila mula cuti semester, double chin Hanim pun sibuk nak keluar. Comel!

"Huh! Mana ada. Tak berbaloi la merajuk dengan awak... Bukan awak sudi nak pujuk pun." Perlahan Hanim menjawab.

Jimin tergelak kecil. Tau pun... Dia memang bukan pandai nak memujuk perempuan. Hati tok, dia pandailah pujuk.

Jimin menarik nafas lega. Hari ni, bersaksikan matahari kian terbenam, dia akan melafazkan janji untuk mengikat Hanim. Dia akan cuba ikhtiar sesuatu untuk kebahagiaan mereka berdua.

"Nim pernah dengar istilah kerja ikut kapal? Sambil bekerja boleh melancong... Best."

"So?" Hanim bertanya sekadar mengambil hati, padahal dia langsung tak pernah minat nak ambil tahu lebih-lebih pasal skop kerja boyfriendnya itu. Nanti dah kahwin, pandai-pandailah dia memujuk Jimin cari kerja lain yang sesuai dan lebih setaraf. Yang penting kahwin dulu. Kalau tak, emaknya mesti akan membuat perancangan lain. Dia tak mahu kehilangan Jimin.

"Saya dapat kerja tu. Kontrak. Bulan depan saya dan Hisyam naik kapal tu... Mana kapal tu belayar, berlabuh... Kami ikut aje.. Dalam setahun, satu dunia kami boleh singgah."

"Tak faham... Explain, please!"

Jimin menggenggam erat jari-jemari runcing itu. Apa yang dilafaz nanti boleh dikira sebagai janji dan dia akan tunaikan.

"Kalau saya ikut kapal, gaji lumayan juga sebab keliling dunia, kan... Kapal akan singgah merata... Kadang seminggu di Jepun, lepas tu belayar... Belayar mungkin singgah Amerika... Orang macam kami ni, stand-by 24 jam kalau ada berlaku kerosakan dan kemungkinan lain ketika dalam perjalanan. Jurukimpal macam kami ini la akan baiki semuanya. Kalau kena sambung paip atau struktur yang telah di fit up oleh fitter, kami akan buatlah. Kerja ni boleh tahan, saya boleh buat duit, kutip pengalaman. Di sana nanti ramai pekerja luar."

Jimin bersemangat bercerita.

"Kerja di laut ni lain sikit... Kita berdua kena banyak sabar... Setia," sambungnya lagi.

"Muka handsome ni memang penuh minyak kotor la... Jadi Nim jangan risau la... Tak ada perempuan yang mengurat Min di sana."

Hanim kerutkan kening. Wajah itu penuh tanda tanya. Apa sebenarnya yang mahu disampaikan kepadanya? Jimin terus bercerita panjang lebar.

"Kerja offshore platform ni ada macam-macam jawatan. Ada yang bahagian pembantu, yang ni macam kira membantu mana-mana bahagian yang perlu. Angkat barang ke, bersihkan kawasan kerja or housekeeping. Ada yang nak jadi rigger. Selalu rigger ni, tubuh kena sasa dan fit. Baru la senang nak tolak bebanan berat yang kren tak boleh buat."

"Awak bahagian mana pula?" Hanim mula menunjukkan minat. Jimin tersenyum.

"Saya kan pengimpal. Penat-penat dapatkan lesen dari welder QT, takkan jadi housekeeping pula?"

Hanim mencebik. Kan dah cakap, Hanim bukan kesah sangat pasal kerja Jimin. Dia suka Jimin sebab handsome, betul-betul taste dia. Jimin kacak dalam versi dia yang tersendiri.

"So, Hanim okey tak? Sanggup tunggu setahun... Saya tamat kontrak setahun kita kahwin. Masa tu poket saya dah tebal. Saya bawa tok, pak lang... Mak lang, pak cik, mak cik semualah pergi meminang awak." Jimin mengelus perlahan tangan Hanim. Dia mengharapkan sesuatu yang positif keluar dari mulut Hanim.

Hanim diam sejenak. Dalam setahun macam-macam boleh terjadi. Setiakah Jimin terhadapnya? Mampukah kedua-dua mereka bertahan dalam percintaan jarak jauh? Bagaimana kalau penantian itu merugikan masa mereka?

Dengar cerita, offshore ni banyak masa habis di laut. Kalau di darat cuma satu atau dua minggu. Bila bercinta jarak jauh, komunikasi sangat penting. Di tengah laut tu ada telefon tak? Ada Internet tak? Hanim mula garu kepala.

Kalau pula ada perempuan atas kapal itu, boleh percaya ke Jimin akan setia? Lelaki kalau kesunyian mesti cepat jatuh hati lagi. Isy, bahaya! Tak naklah. Kalau Jimin tersangkut dengan perempuan lain, rugi besar dia nanti. Sekarang pun ramai kawan yang iri hati. Tapi macam biasalah, Hanim takkan cakap Jimin cuma welder. Dia lebih suka canang Jimin sebagai cikgu GiatMara.

"Kalau saya tak setuju, awak tetap nak pergi juga, kan?! Senyap-senyap pula tu mohon. Saya sanggup tunggu awak, Jimin... Tapi saya rasa, yang berubah hati nanti adalah awak. Orang lelaki mudah mencari pengganti kalau kesunyian. Saya bukan nampak pun kalau awak curang, menggatal dengan Minah ke... Joyah ke..." Hanim mula menyusun kata.

Jimin mengeluh sambil menepuk perlahan leher belakang. Kemudian jarinya menggaru belakang telinga yang tak gatal. Belum apa-apa, Hanim dah fikir dia akan curang. Choiii! Dia bukan lelaki macam tu. Gatal tu memang ada. Dah nama pun jantan, bohong kalau kata tak tengok perempuan lain. Mesti tengok habuan cuci mata tetapi tidaklah sampai melupakan cinta hatinya yang satu ini.

"Saya sayang gila dekat awak, takkan la saya nak buat macam tu. Umur saya pun dah 24, tunggu saya setahun, ngam-ngam umur 25, kita nikah... Umur saya 26, mungkin dah jadi ayah..." ujar Jimin selamba.

Hanim tersenyum. Hanim mula terfikir, hidup Jimin sekarang pun bertemankan batang paip, tiada bezalah kalau Jimin di laut pun.

Hanim mengukir senyuman. Rasanya dia boleh bagi peluang untuk Jimin buktikan kesungguhan. Sementara itu, dia akan fokus dengan pengajian di universiti. Lepas dia dapat posting sebagai guru, dan Jimin pun kembali... Baru fikir pasal kahwin. Kira itu tanda Hanim telah bersetuju dengan rancangan Jimin. Yes!

"So, macam mana?" tanya Jimin.

"Okey... Tapi janji dengan saya... Jangan ada perempuan lain. Kalau awak berani curang, saya cekik sampai mati."

"Sumpah!" Laju mulut Jimin berkata. Ah, suatu kelegaan bila nampak wajah manis itu membiaskan segaris senyuman. Takkanlah dia nak menduakan Hanim kalau di dalam dunia ini cuma tiga wanita sahaja ada dalam hatinya. Siapa lagi kalau bukan tok, Mak Lang Yati dan Hanim, cinta hati dia. Jimin menghela nafas. Untuk hari ini, selesai satu bab masalah dalam hidupnya. Dia yakin Hanim akan setia menunggunya.

Settle!

Continue Reading

You'll Also Like

302K 21.9K 26
Avantika Aadish Rajawat Aadi, with his fiery nature, adds intensity and excitement to their relationship, igniting a spark in Avni. Avni, like the ca...
499K 10.7K 51
Two girls are exchanged at birth and are given to the wrong mothers and after 13 years the truth comes out Rosabella Rossi is different from her sist...
386K 13.2K 53
Anhay Sharma:- Cold business tycoon who is only sweet for his family. He is handsome as hell but loves to stay away from love life. His female employ...
KASHI By stuckinatale

General Fiction

413K 20.5K 42
"So, Mrs. Kashi Abhay Pratap Singh..chalte hai. Goodbye..". Saying this, he left her broken in this world of betrayal. ~~~~~~~~~~ Kashi, a simple gir...