Isteri Untuk Diiktiraf

By dearnovels

324K 2.2K 192

Karya ke-4 Nurfaza Alisya More

Bab 1
Bab 2
Bab 3
Bab 4
Bab 6
Bab 7
Bab 8
Bab 9
Bab 10

Bab 5

28.3K 186 2
By dearnovels

TENGKU WILDAN yang baharu tiba di rumah terus dipanggil oleh Tan Sri Tengku Hairie. Dia yang kelihatan penat melangkah ke arah papanya yang berehat di atas kerusi di tepi kolam.

"Baru balik? Keluar dengan siapa? Bella?" soal Tan Sri Tengku Hairie. Dia tahu Bella sangat menyukai anaknya. Tetapi, dia tidak berkenan dengan anak gadis itu. Isterinya pula nampak beria-ia benar mahu menjodohkan Tengku Wildan dengan Bella.

"Eh, tak adalah papa. Keluar dengan Rusdi tadi," beritahu Tengku Wildan lalu melepaskan penat lelahnya di kerusi rehat sebelah papanya.

"Skuasy?" soal Tan Sri Tengku Hairie.

"Aha, papa. Lama tak main. Bagi badan berpeluh, baru sihat," ujar Tengku Wildan.

Tan Sri Tengku Hairie merenung anaknya yang sudah berusia 25 tahun itu. Dia tahu umur sebegitu, seperti anaknya, memang masih belum puas untuk bersuka ria. Namun, apabila terkenangkan anak sulungnya Tengku Wafie yang berada di England, dia mulai risau kalau-kalau Tengku Wildan tersalah memilih calon isteri seperti abangnya.

Tengku Wafie adalah anak yang dia harapkan untuk menguruskan Hotel Mahkota Royal. Namun, kini sudah musnah. Tiga tahun anaknya belajar di England, suatu hari dibawa baliknya isteri minah salih ke sini. Hampir sakit jantung dirinya apabila anaknya itu nekad untuk tinggal di England. Isterinya pula, puas memujuk supaya anak sulungnya tinggal sahaja di Malaysia. Namun, semuanya sia-sia. Tengku Wafie lebih memilih untuk tinggal di England bersama keluarga isterinya.

Dia terpaksa melatih Tengku Wildan untuk bekerja menguruskan Hotel Mahkota Royal. Pada mulanya, Tengku Wildan tidak berminat dengan perniagaan ini. Datang kerja selalu lambat. Bila ke tempat kerja pun anaknya ini lebih suka tidur di dalam pejabat. Lalu dia mendapat idea untuk menggugut Tengku Wildan dengan tidak memberi satu sen pun kepada anaknya ini. Dengar sahaja ugutan itu, Tengku Wildan kini lebih berusaha untuk bekerja.

Namun begitu, sikap Tengku Wildan tidak pernah berubah. Anaknya itu bertukar perempuan seperti menukar pakaian. Dia mendengar desas-desus tentang anaknya daripada pekerja Hotel Mahkota Royal yang bergosip sana sini. Apabila ditanyakan kepada anaknya, anaknya itu menafikan gosip itu. Apabila diceritakan hal itu kepada isterinya, Puan Sri Raja Mona, isterinya mula mencari calon untuk anaknya. Bella adalah anak kawan isterinya yang paling rapat.

Pertama kali melihat Tengku Wildan, terus Bella terpikat dengan anaknya itu. Terus isterinya mengatur strategi agar Bella dan Tengku Wildan saling jatuh cinta. Selama mana pun Bella memburu Tengku Wildan, tetap Tengku Wildan tidak suka dengan gadis itu. Bella nampaknya seorang yang terlalu mengongkong pasangannya. Malah, Tan Sri Tengku Hairie sendiri tidak suka dengan Bella yang berperangai terlalu menggoda anaknya. Pakaian pula tidak pernah cukup kain.

"How about Bella?"

Tercengang Tengku Wildan memandang papanya. Kenapa pula dengan Bella? "What do you mean?"

"Wildan dan Bella, couple?"

Terkejut Tengku Wildan dengan pertanyaan papanya. Bella memang seorang gadis yang mudah didekati. Namun begitu, perangai Bella kadang-kadang merimaskannya. Suka bertanya dan ambil tahu ke mana dia pergi. Terasa hidupnya dikongkong.

"Kami tak ada apa-apalah, papa. Just friend. Lagipun Wildan memang tak sukakan dia. Mama aje yang sibuk nak jodohkan Wildan dengan Bella."

Tan Sri Tengku Hairie tersenyum. Dia senang mendengar jawapan anaknya itu. "Kalau macam tu, papa nak kahwinkan Wildan dengan seorang gadis manis ni. Sangat sesuai untuk Wildan."

Terkejut besar Tengku Wildan mendengar kata-kata papanya. "Hah? Papa nak kahwinkan Wildan dengan siapa?"

"Siapa perempuan tu? Anak Dato'? Keturunan darah diraja macam kita?" Bertalu-talu soalan mula muncul di bibir Puan Sri Raja Mona.

Tersentak Tan Sri Tengku Hairie dengan suara nyaring Puan Sri Raja Mona yang menerjah ke telinganya tiba-tiba. Terus Puan Sri Raja Mona mendekati suaminya.

Tengku Wildan mula tidak senang duduk. Keletihan yang dirasakannya tadi hilang tiba-tiba. Kuat betul penangan papanya. Apa pula kali ini? Hati Tengku Wildan mula menggerutu.

"Bukan anak Dato', bukan darah diraja atau mana-mana anak orang kaya. Dia gadis yang cukup lembut dengan sikap lemah lembutnya. Papa suka dan sesuai sangat untuk dijadikan bakal isteri Wildan," ujar Tan Sri Tengku Hairie sambil tersenyum.

"Err... papa, Wildan muda lagilah. Bagilah Wildan belajar selok-belok business kita dulu. Nanti baru bincang soal kahwin. Betul tak mama?" Kali ini Tengku Wildan benar-benar mengharapkan pertolongan mamanya.

"Kalau bukan anak Dato', anak orang kaya, siapa? Puteri dari kayangan?" perli Puan Sri Raja Mona.

"Bukan. Gadis biasa saja, orang kebanyakan. Minggu depan kita pergi pinang dia. Kalau boleh terus ikat tali pertunangan," beritahu Tan Sri Tengku Hairie.

Tersentak Tengku Wildan dan Puan Sri Raja Mona mendengar.

Tengku Wildan mula gelisah tidak tentu arah. "Mana boleh macam tu, papa. Wildan tak nak kahwin dengan perempuan tu."

"Itu keputusan muktamad papa. Wildan suka ataupun tak, terpulang pada Wildan. Tapi, papa memang dah berkenankan Safiyya tu sebagai menantu papa. Wildan ingat ya, apa yang papa buat semua ni adalah untuk kebaikan Wildan." Kedengaran tegas suara Tan Sri Tengku Hairie sehinggakan Tengku Wildan sukar untuk membantah.

"Mama tak setuju anak kita kahwin dengan orang kebanyakan." Kali ini Puan Sri Raja Mona pula membantah.

Bagaimana janjinya dengan Tengku Salmah untuk menjodohkan anaknya dengan Bella? Malulah dia nanti kalau tidak jadi. Manakala Tengku Wildan pula sangat mengharapkan pertolongan daripada mamanya.

"Kali ni gerak hati saya mengatakan Safiyya sangat sesuai untuk Wildan. Saya yakin mereka berdua boleh bahagia. Saya tak nak Wildan jadi seperti Wafie."

"Papa, jangan samakan Wildan dengan along. Along dan Wildan lain. Along tinggalkan papa dan tinggal di sana, tapi Wildan masih setia dengan papa. Wildan buat apa saja yang papa mahu. Tapi takkan soal jodoh, papa nak tentukan juga?" luah Tengku Wildan tidak senang. Dia tidak mahu Tan Sri Tengku Hairie mengongkong kehidupannya.

"Wildan ingat kan apa yang papa cakap? Kalau Wildan ingkar pada perintah papa, Wildan takkan dapat satu sen pun," ugut Tan Sri Tengku Hairie.

Dia tidak mahu lagi anaknya hanyut dengan kehidupan yang penuh pancaroba ini. Dia percaya gosip yang didengar tentang anaknya adalah benar. Hanya satu saja caranya. Dia perlu kahwinkan anaknya dengan gadis yang boleh membentuk akhlak Tengku Wildan. Gadis itu adalah Safiyya!

Terdiam Tengku Wildan di situ. Dia tahu, kata-kata papanya kali ini tidak boleh dibantah.

"Papa, bagaimana janji saya dengan Tengku Salmah dan Bella!" jerit Puan Sri Raja Mona sebaik suaminya melangkah pergi.

"Hai, angah," sapa Tengku Widya yang baharu pulang dari salun dengan kawan-kawannya. Dia hairan apabila sapaannya tidak dijawab oleh Tengku Wildan. Kebiasaannya, ada sahaja celoteh Tengku Wildan yang mahu mengenakannya. Hari ini, berlainan benar dengan wajah abangnya yang sangat tegang.

"Hai, takkan rindukan Kak Bella sampai monyok macam ni? Bergaduhlah tu," sakat Tengku Widya sebaik sahaja punggungnya dilabuhkan di sebelah abangnya.

"Shut up!" jerit Tengku Wildan kuat.

Tersentak Tengku Widya dengan kemarahan abangnya. Terpinga-pinga dia memandang Tengku Wildan yang berlalu pergi.


"WAALAIKUMUSSALAM." Sebaik sahaja talian dimatikan, terus telefon bimbit diberikan kepada anaknya, Azli.

Hairan Azli melihat ayahnya yang sedang tersenyum. Seperti ada berita gembira yang dibualkan dengan Tan Sri Tengku Hairie sebentar tadi.

"Hai, ayah. Duduk senyum sorang-sorang ni, orang tua-tua cakap angau nak kahwin," sakat Azli. Sekali gus meletuskan ketawa ayahnya.

"Memang angau pasal kahwinlah ni."

"Jadi, memang betul ayah nak kahwin lagi?"

"Hah, ayah nak kahwin lagi?" sampuk Intan. Dia yang menatang dulang kopi ke arah suami dan ayah mertuanya terkejut mendengar kata-kata suaminya tentang ayah mertuanya yang mahu berkahwin.

Berderai pecah ketawa Tok Aki melihat gelagat laki bini itu.

"Ayah dah tua, buat apa nak cari isteri lagi," ujar Tok Aki.

"Tadi yang ayah cakap pasal kahwin tu," kata Azli lagi. Dia juga mahu tahu apa yang dibincangkan oleh ayahnya dengan Tan Sri Tengku Hairie sebentar tadi.

"Tan Sri Hairie nak melamar Fiyya sebagai menantu dia."

Melopong mulut kedua-dua laki bini itu sebaik mendengar kata-kata Tok Aki. Seorang Tan Sri mahu melamar gadis kampung seperti Safiyya sebagai menantunya? Eh, biar betul!

"Nak ke Fiyya terima lamaran ni? Ayah ingat tak dulu, masa umur dia 18 tahun? Fuad, anak Pak Ali yang kerja kilang di Johor tu? Masa orang tua dia datang merisik Fiyya, tak semena-mena Fiyya bawa masuk parang suruh mereka balik. Sejak hari tu, orang kampung kata Fiyya tu tak betul. Kalau jadi macam dulu, macam mana? Saya rasa dah tak ada orang yang berani nak pinang Fiyya sebab takut." Azli mula membuka cerita lama.

Tok Aki hanya tersenyum mendengar cerita anak bongsunya itu.

"Masa tu Fiyya masih budak-budak lagi, Azli. Sejak kematian mak ayah dia, Fiyya banyak belajar kekuatan untuk hidup bersendirian. Dia nak capai cita-citanya dulu. Nak ke menara gading katanya. Belum pun sempat ayah nak tolak lamaran Pak Ali dengan Che Rosnah, terus dia bawa parang masuk suruh mereka balik. Terkejut juga ayah masa tu. Ayah pun ingatkan hantu manalah yang merasuk dia jadi begitu.

"Rupa-rupanya dia beritahu ayah, dia tak nak kahwin. Dia sakit hati bila Che Rosnah selalu katakan pada dia, anak yang tak ada mak ayah, takkan berjaya dalam hidup. Hidup merempat sampai bila-bila. Alih-alih, Che Rosnah terpaksa melamar Fiyya untuk anaknya si Fuad tu. Disebabkan sayangnya pada Fuad, dia terpaksa bertebal muka datang melamar Fiyya." Meletus ketawa Tok Aki sebaik membuka cerita tentang cucunya Safiyya dahulu. Gadis seperti Safiyya memang pantang kalau ada orang yang menyakiti hatinya. Naik radanglah dia.

"La... Kenapa ayah tak pernah cerita pada kami selama ni? Kami ingatkan..."

"Disampuk hantu?" Belum sempat Azli meneruskan kata-katanya, Tok Aki sudah memintas.

Kedua-dua laki bini itu kelihatan mengangguk.

"Dia marah ayah ceritakan kepada siapa-siapa. Dia cakap biar orang anggap dia gila, asalkan dia tak terasa sakit hati bila orang hina dia. Azli tahu sajalah mulut Che Rosnah tu macam mana, sibuk nak ceritakan tentang orang. Teringat pula wajah Che Rosnah yang ketakutan tengok Fiyya bawa masuk parang, terus terkunci mulut dia. Sampai sekarang ni pun dia tak berani nak pandang Fiyya." Tok Aki ketawa.

Kemudian disusuli ketawa Azli dan isterinya. Namun, ketawa mereka terhenti sebaik terdengar suara Safiyya memberi salam.

"La... Kat sini rupanya atuk. Tadi punyalah Fiyya cari atuk belakang rumah," rungut Safiyya sebaik sahaja dia dijemput masuk oleh Intan.

"Tadi memang atuk nak ke belakang rumah. Nak tebas semak yang dah naik tinggi tu. Terlupa parang atuk minta pak su asah semalam. Tu atuk datang sini dulu nak ambil parangnya," beritahu Tok Aki jujur.

Tujuan asalnya ke sini memang hendak mengambil parang yang telah diasah oleh anaknya, Azli. Kebetulan pula Tan Sri Hairie menghubungi Azli untuk bercakap dengannya.

"Ooo... Patutlah Fiyya panggil atuk kat belakang tak menyahut. Risau Fiyya tadi. Tu datang sini nak minta tolong pak su cari atuk. Bimbang Fiyya kalau apa-apa terjadi pada atuk. Atuk tu bukannya kuat lagi. Kena banyak berehat." Safiyya mengomel.

"Ermm... Pasal tulah atuk nak suruh Fiyya kahwin cepat-cepat!" tukas Tok Aki.

Intan tersenyum mendengar kata-kata bapa mertuanya.

"Tak ada calon lagilah atuk," cebik Safiyya.

"Kalau atuk dah ada calon untuk cucu atuk ni, macam mana? Fiyya setuju tak?" Sengaja Tok Aki mahu menduga Safiyya.

Safiyya memandang wajah atuknya dengan dahi berkerut. Kenapa pula tiba-tiba sahaja atuknya bercakap pasal kahwin ni?

"Isy, merepek aje atuk ni. Fiyya muda lagilah. Masih banyak lagi tanggungjawab Fiyya pada atuk, tahu?"

"Eh, tanggungjawab Fiyya pada atuk? Tanggungjawab apa tu?" soal Tok Aki kehairanan.

"Kan Fiyya dah janji pada atuk, nak bagi atuk senang dulu," seloroh Safiyya. Dia tidak suka apabila atuknya mula bercakap soal kahwin dengannya.

Tok Aki ketawa kecil. Apa lagi kesenangan yang dikehendakinya, sedangkan dia sudah tua. Bila-bila masa ajal akan datang menjemputnya. Sebenarnya, dia lebih tenang kalau Safiyya berumah tangga. Senang ada orang yang menjaga cucunya ini.

"Atuk lebih bahagia kalau Fiyya bertemu jodoh awal," balas Tok Aki.

"Ha... Mak su sokong apa yang atuk cakap tu. Fiyya tak ada kekasih hati ke? Kenalkanlah kepada kami." Sengaja Intan menyakat anak saudaranya. Dia sebenarnya setuju kalau Safiyya mendirikan rumah tangga dalam usia muda begini.

"Fiyya muda lagilah mak su. Baru 24 tahun. Kenapa semua cakap pasal kahwin ni? Eee... gelilah."

Intan ketawa dengan kata-kata anak saudaranya. Umurnya seusia Safiyya sudah mempunyai anak pertama.

"Tan Sri Hairie nak melamar Safiyya untuk anaknya," kata Azli tiba-tiba, sekali gus membuatkan Safiyya terkejut besar.

"Tan Sri?" Safiyya teringat kedatangan Tan Sri Tengku Hairie ke sini dahulu. Adakah pandangan pelik lelaki tua itu terhadapnya kerana mahu menjadikannya menantu? Isy, biar betul.

"Ya. Fiyya macam mana setuju tak? Kalau Fiyya setuju minggu depan mereka nak datang untuk sarungkan cincin pertunangan," beritahu Tok Aki. Beria-ia benar kedengaran suaranya.

Tunang? Bergetar hebat jiwa Safiyya. Mengapa pula Tok Aki dan yang lain beria-ia mahu dia menikah cepat ni?

"Fiyya tak naklah. Fiyya tak nak kahwin lagilah atuk. Tak naklah cakap pasal kahwin-kahwin ni. Kalau atuk yang nak kahwin Fiyya setuju," ujar Safiyya. Dia berharap benar kata-kata atuk tadi hanyalah gurauan semata-mata.

"Isy, ada pulak atuk yang kena kahwin. Umur atuk dah 80 lebih. Perempuan mana yang nak dekat atuk ni? Atuk ni dah tua, selalu sakit sana, sakit sini. Sebelum atuk pejamkan mata, atuk nak tengok Fiyya kahwin. Sekurang-kurangnya bila atuk dah tak ada, ada seseorang yang dapat jaga Fiyya." Tok Aki meluahkan apa yang terbuku di hatinya.

"Atuk! Fiyya dah besar. Fiyya boleh jaga diri sendiri. Dan Fiyya akan jaga atuk sampai bila-bila." Keras Safiyya bersuara. Terus tubuh Tok Aki dipeluknya.

Tubuh Safiyya digosok perlahan oleh Tok Aki.

"Takkan Fiyya tak ada hati nak kahwin? Semua orang nak kahwin dan hidup bahagia. Orang yang tak ada hati nak kahwin, tu namanya tak normal," usik Tok Aki.

"Atuk, bukan macam tulah, Fiyya nak jaga atuk. Nak bagi atuk senang dulu. Dahlah cakap pasal kahwin. Kalau dah ada jodoh Fiyya kahwinlah."

"Kalau tak ketemu jugak jodoh yang dia cari, kita kahwinkan dia dengan anak Tan Sri Hairie," sampuk Azli. Dia suka benar mengusik anak arwah abangnya ini.

"Pak su, nanti Fiyya tembak baru tahu!"

Pecah berderai ketawa mereka dengan kata-kata Safiyya. Namun, hati Safiyya tetap tidak tenang. Mengapa beria-ia benar Tan Sri Tengku Hairie mahu menjodohkannya dengan anaknya sendiri? Ah, minta dijauhkan, desis hati kecilnya.


Continue Reading

You'll Also Like

504K 17.4K 70
( In editing process...) 𝐀𝐑 - 𝐑𝐀𝐘𝐘𝐀𝐍 - "I'm looking for the right one, Nadra. Then, I'll straight off to propose her, marry her and treat her...
26.5K 3.2K 15
RAAIF MATEEN | RAIHANA MIKAILA Peluang tak pernah wujud untuk manusia sejelek dia. Peluang tak pernah hadir untuk manusia yang tak sempurna seperti d...
262K 8.4K 30
Kerana terlalu sakit hati dipermainkan dengan bekas kekasihnya, Daniel, Ayra nekad utk menggoda bapa Daniel, Dato Zakery. Namun, ia terperangkap d...
225K 14.9K 39
[ ON- GOING] Dia... Leftenan Zar Uzair, pemegang amanah yang teragung, pada fikiranya ini jalan yang dipilih, tanggungjawab yang dipikul asbab mengap...