Bab 3

26.5K 180 1

"SKUTER ni aku tinggal kat sini dulu. Kalau kau nak guna, ambil sajalah. Tak adalah kau terhimpit dengan jam kalau naik kereta ni," kata Safiyya sebelum dia keluar menunggu teksi untuk ke Terminal Bersepadu Selatan.

Haryanti menyambut kunci skuter yang dihulurkan kepadanya. Memang setiap hari dia selalu dihimpit jam di bandar raya besar ini. Cukup menyesal dia kerana terlampau ego terburu-buru menginginkan sebuah kereta setelah lapan bulan bekerja. Seeloknya dia harus membeli sebuah motosikal untuk memudahkan pergerakannya di bandar raya besar ini. Bukan sahaja melambatkan masa, malah wangnya juga banyak terbuang dengan mengisi minyak kereta setiap hari.

Mula-mula kerja dahulu, dia hanya menaiki Komuter. Kalau pulang lewat malam dia akan menumpang mana-mana kawan sekerja yang berkenderaan untuk menghantarnya pulang. Untuk menaiki teksi, uiii... harganya memang mahal.

"Terima kasihlah, Fiyya. Kau memang tak nak datang KL lagi ke lepas ni? Nanti kat kampung kau nak jalan-jalan naik apa?" soal Haryanti. Bukannya dia bermaksud tidak mahu menjaga skuter Safiyya ini. Dia cuma memikirkan kemudahan untuk diri Safiyya.

"Nanti kalau aku minta kau pos boleh tak? Nanti aku beritahu bila masanya, ya?"

"Aku okey saja. Dah sampai nanti jangan lupa beritahu aku. Kirim salam pada Tok Aki. Maaflah tak boleh nak hantar kau kat Hentian Putra. Perut aku dari semalam meragam. Kalau tak baik-baik jugak, aku ingat nak minta MC saja!" tukas Haryanti sambil menekan perutnya. Mujurlah hari ini dia bekerja syif petang.

"Itulah. Kalau tahu tak boleh makan pedas, nak makan jugak. Pulak tu sampai dua bungkus," perli Safiyya.

Dia tahu sangat ragam perut sahabatnya yang tidak boleh makan terlalu pedas. Mulalah esoknya tandas menjadi sahabatnya. Memang sambal nasi lemak yang dijual tidak jauh dari rumah sewa mereka ini pedasnya kaw-kaw. Tapi memang sedap. Sebab itulah setiap malam berbaris-baris orang sanggup beratur untuk membeli nasi lemak di situ.

"Walaupun sambal tu menyengat, tapi sedap tau," balas Haryanti lantas membuat thumbs up kepada Safiyya. Tangan kirinya pula menekan perutnya yang masih lagi terasa sakit.

Safiyya tertawa kecil dengan gelagat sahabatnya. Sebaik sahaja mereka bersalam dan berpeluk, terus Safiyya mengatur kaki menunggu teksi di perhentian yang hanya beberapa meter dari rumah sewa yang diduduki mereka.


TERKEJUT Tok Aki, Azli dan isterinya mendengar cerita Safiyya. Mereka tidak menyangka perkara buruk itu boleh berlaku kepada Safiyya.

"Mujurlah tak terjadi apa-apa pada Fiyya. Risau juga mak su. Lepas ni Fiyya dah tak pergi KL lagi ke?" Intan, isteri kepada Azli mula bertanya.

Safiyya cepat-cepat menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia lebih tenang berada di kampung. Dia tidak pernah keluar dari negeri Perlis semenjak dia dijaga oleh Tok Aki dan arwah Nenek Odah. Malah, sebaik sahaja tamat tingkatan enam, sengaja dia memilih UNIMAP Perlis sebagai pilihan pertamanya walaupun keputusannya yang cemerlang melayakkan dia ke mana-mana universiti di Malaysia.

Haryanti yang belajar setakat SPM sahaja, sudah kalih dengan kehidupan kota. Tetapi, baginya dia cukup terasa asing tinggal di sana. Kesal di hatinya kerana memilih bandar besar itu untuk mencari pekerjaan.

Pertama kali dia berkeinginan ke Kuala Lumpur untuk mencari kerja, dia selalu memikirkan makan minum Tok Aki apabila dia ke sana. Namun begitu, pak su memberitahunya supaya tidak risau dengan keadaan Tok Aki di sini. Dia akan menguruskan makan minum Tok Aki ketika ketiadaannya. Lega hati Safiyya mendengarnya.

Semenjak ibu dan ayahnya meninggal dalam kemalangan ngeri di Grik sewaktu mereka balik ke kampung dahulu, terus dia dijaga oleh Tok Aki dan arwah Nenek Odah. Dia yang tercampak dari kereta dan berada di tepi semak tidak sedarkan diri. Ayah dan ibunya yang sedang mengandung tujuh bulan meninggal terus di dalam kereta apabila tiba-tiba kereta itu meletup.

Dia yang hanya cedera ringan dibawa ke hospital dan dijaga oleh Tok Aki dan arwah Nenek Odah yang sudah meninggal tiga tahun lepas. Setiap kali dia merindui ayah dan ibunya, Tok Aki dan arwah Nenek Odah selalu memujuknya. Kasih sayang yang diberikan oleh mereka mengembalikan semula semangat Safiyya.

Kadang-kadang dia kasihan melihat Tok Aki dan Nenek Odah apabila adik-beradik ayahnya iaitu Azizan dan Kasmah jarang sekali menziarahi. Semenjak mereka berjaya dan berkahwin, mereka jarang sekali pulang ke kampung. Dengar kata Tok Aki, Pak Long Azizan dan keluarganya menetap di Amsterdam. Mak Ngah Kasmah pula payah untuk pulang ke kampung kerana suaminya orang ternama. Banyak majlis yang dia perlu ikut sana sini.

Kali terakhir Safiyya melihat mereka, sewaktu dia masih kecil. Kedua-duanya datang sekejap untuk menziarah ayah dan ibunya yang telah meninggal dunia. Entah bagaimana rupa mereka, Safiyya pun sudah lupa.

Hanya pak su sahaja adik arwah ayahnya, yang sentiasa menemani dan menjaga Tok Aki. Walaupun kehidupan pak su sekeluarga turut susah, namun pak su tidak pernah kedekut. Ada rezeki lebih dia akan memberikan kepada Tok Aki. Malah, makan minum dan persekolahan Safiyya juga turut dirisau kalau-kalau tiada yang cukup untuk anak saudaranya ini. Tidak seperti ibu bapa saudaranya yang lain, yang langsung tiada menghulurkan wang setiap bulan.

"Lepas ni Fiyya nak buat apa?" soal Azli.

"Fiyya ingat nak berniaga nasi lemak sementara dapat pekerjaan tetap. Mana tahu kan ada rezeki Fiyya nak berkhidmat dalam kerajaan. Sementara tu Fiyya ingat nak hantar nasi lemak tu ke kedai Pak Mahmud. Sambil tu Fiyya nak try minta guru tadika kat kampung ni. Manalah tahu kut-kut ada kosong," jawab Safiyya berbasa-basi.

Sedangkan dia sendiri tidak tahu apa yang hendak dilakukan selepas ini. Jawapan yang terkeluar daripada hatinya sekadar untuk menyedapkan hati yang lain. Yalah, dia sudah belajar tinggi melangit, masakan mahu duduk terperuk di kampung tanpa mendapat pekerjaan yang bagus. Tambahan pula dia sudah berjanji kepada dirinya untuk membalas jasa Tok Aki dan Pak Su Azli.

"Tak apalah Fiyya. Nak berjaya bukan senang. Kena lalui bermacam-macam halangan. Insya-Allah nanti adalah peluang Fiyya tu. Tapi, atuk lebih bimbangkan keselamatan Fiyya. Lega atuk, Fiyya dah ada depan mata atuk," luah Tok Aki. Perasaan bimbangnya tehadap cucunya masih berada dalam hatinya. Dia tidak mahu cucunya ini ditimpa nasib malang.

"Harap-harap Fiyya dapatlah kerja dekat dengan atuk. Fiyya tak nak berjauhan dengan atuk, pak su, mak su dan adik-adik Fiyya ni," ujar Safiyya sambil memandang ke arah ketiga-tiga sepupunya. Anak-anak Azli itu sudah dianggap seperti adik-adiknya sendiri.

Berselera benar ketiga-tiga anak Pak Su Azli yang sedang menikmati cempedak goreng dan kopi O malam ini. Khairil anak sulung Azli yang berumur 14 tahun tidak jemu melayan adik kembarnya Mashitah dan Maisyarah yang berumur tujuh tahun. Sesekali kedengaran gelak ketawa mereka bertiga bergurau sesama sendiri.

"Ayah, bila orang yang ayah tolong tempoh hari tu nak datang ke mari?" celah Azli setelah mereka berdiam diri seketika.

"Entahlah. Semalam dia telefon tok ketua. Dia cakap nak datang jumpa ayah. Dia datang sebab nak ucapkan terima kasih sekali lagi. Padahal ayah tak ada niat nak dapatkan balasan," beritahu Tok Aki.

Safiyya hanya mendengar dengan penuh minat. Tiada pula mahu menyampuk. Kebiasaannya, dialah orang pertama yang sibuk hendak tahu pelbagai cerita. Namun, kali ini fikirannya runsing memikirkan pekerjaan yang bakal dia lakukan nanti.

"Tak apalah ayah. Baik juga orang kaya tu. Tak sombong. Sanggup datang lagi semata-mata nak ucapkan terima kasih," kata Azli lagi.

Apabila teringatkan abang dan kakaknya yang sudah hidup senang, hatinya terkilan tiba-tiba. Kenapalah mereka sudah lama tidak datang menjenguk ayah? Sudah lupakah mereka dengan asal usul mereka?

"Dah sejuk kopi tu, abang, ayah, Fiyya. Minumlah," kata Intan tiba-tiba.

Sekali gus mengejutkan Safiyya daripada lamunannya tadi.

Isteri Untuk DiiktirafRead this story for FREE!