Bab 8

21.2K 139 1

SEBAIK sahaja Safiyya selesai didandan, dia ditinggalkan oleh Intan bersendirian di dalam bilik. Seketika dia termenung sendirian.

"Fiyya! Jauhnya termenung," sapa Haryanti yang muncul di sebalik pintu.

"Yanti! Lambatnya sampai," rungut Safiyya.

Lantas Haryanti memeluk Safiyya. Dia tidak menyangka keputusan sahabatnya untuk tinggal di kampung membuatkan dia sudah disunting seseorang. Terkejut juga Haryanti apabila Safiyya menghubunginya tiga hari lepas untuk menjemputnya ke majlis pertunangan sahabatnya ini. Apatah lagi Safiyya akan naik pelamin secepat mungkin.

"Cantiknya kau Fiyya. Tup-tup, dah nak kahwin. Tak sangka aku. Dulu cakap tak suka kahwin. Sekarang ni, kau lebih agresif daripada aku ya, Fiyya. Dah tak sabar tu," gurau Haryanti sambil mata dikenyitkan ke arah Safiyya.

Lantas paha Haryanti dicubit kuat. Haryanti terjerit.

"Sakit tahu!" rungut Haryanti. Segera wajahnya sengaja dimasamkan tanda merajuk.

"Mulut tu over sangat," balas Safiyya.

"Eh, Fiyya tunjuklah gambar bakal tunang kau tu. Aku pun nak kenal juga," pinta Haryanti tidak sabar-sabar.

"Sebenarnya, aku tak kenal pun siapa bakal tunang aku ni. Semua ni atuk yang carikan," beritahu Safiyya gemuruh. Dadanya semakin berombak kencang menunggu rombongan yang akan tiba tidak lama lagi. Selesai cincin disarungkan, atuk akan kenalkan dia dengan lelaki yang menjadi tunangannya.

Kenapalah waktu ini dia merasakan mahu segera mengenali bakal tunangnya? Walhal sebelum ini atuk ada menanyakan kepadanya sama ada mahu mengenali lelaki itu terlebih dahulu ataupun tidak. Namun, ditolaknya mentah-mentah. Katanya kepada Tok Aki dia lebih percaya dengan jodoh yang dipilih oleh Tok Aki. Baik pada Tok Aki, baiklah pada dia.

"Tak kenal? Isy, kau ni biar betul Fiyya. Takkan tak kenal dan tak pernah tengok siapa bakal tunang kau tu? Nak-nak dua minggu lagi kau nak kahwin, kan? Hai, siapalah jejaka malang yang dapat kawan aku ni."

"Eh, sudahlah. Hati aku tak tenanglah. Rasa macam nak batal aje pertunangan ni," kata Safiyya gelisah. Kalau tidak kerana atuk, tidak sesekali dia akan bersetuju untuk bertunang hari ini dan melangsungkan perkahwinan dalam masa dua minggu lagi.

"No, no, no. Kau jangan buat kerja gila Fiyya. Nanti atuk kau pengsan, kau nak cakap apa?"

Mendengar nama atuk disebut Haryanti, Safiyya terdiam. Dia sudah berjanji kepada dirinya bahawa dia tidak mahu atuknya jatuh sakit lagi. Dia tidak mahu atuknya pergi sebelum melihat dia mendirikan rumah tangga. Hasrat atuk harus dia tunaikan.

"Aku sayangkan atuk. Aku tak nak atuk aku sakit kerana aku. Tapi aku takutlah Yanti. Sesuai ke aku ni digandingkan dengan anak Tan Sri tu? Aku ni dahlah orang kampung aje," luah Safiyya. Tangan Haryanti digenggam erat untuk menghilangkan rassa gemuruhnya.

Terbeliak biji mata Haryanti mendengar.

"Bertuahnya kau Fiyya. Kalau aku dapat anak Tan Sri, aduh, akan kupeluk dia tiap-tiap malam." Haryanti mula berangan.

"Yanti!" Satu cubitan halus singgah lagi di paha Haryanti. Kali ini lebih kuat.

Terjerit Haryanti menerima penangan sakti Safiyya itu.

Ketukan di luar pintu bilik mengejutkan Safiyya dan Haryanti. Semakin gemuruh debaran di dada Safiyya.

"Fiyya dah sedia? Kejap lagi bakal ibu mertua Fiyya nak masuk," beritahu Intan yang muncul di sebalik pintu.

Isteri Untuk DiiktirafWhere stories live. Discover now