Bab 6

21.9K 147 1

AZLI memandang ayahnya yang termenung jauh. Dia yang baru selesai menolong ayahnya menebas semak di belakang rumah, mendekati ayahnya yang berehat di pangkin di bawah pohon nangka. Ayahnya tidak lagi menyambung kerja menebas sejak Tan Sri Hairie menelefonnya lagi.

"Apa yang ayah fikirkan tu? Pasal lamaran Tan Sri ke?" soal Azli lalu menuang kopi dari termos.

"Tan Sri berharap sangat Fiyya jadi menantunya."

"Ayah pula macam mana?"

Tok Aki memandang anaknya yang menghirup kopi panas. Dia serba salah dengan Tan Sri Hairie untuk memberikan persetujuan. Safiyya pula mahu mencapai cita-citanya dahulu. Dia sudah khabarkan kepada Tan Sri Hairie bahawa Safiyya mahu berdikari dan mencapai apa yang diimpikannya selama ini. Namun, Tan Sri Hairie pula memberi janji untuk membuat impian cucunya tercapai.

Wajarkah dia menerima lamaran Tan Sri itu? Tetapi bagaimana pula dengan perasaan cucunya?

"Ayah..."

Tersentak Tok Aki sebaik sahaja namanya dipanggil Azli.

"Kalau ikutkan hati memang ayah nak kahwinkan Fiyya tu secepat yang mungkin. Yalah, ayah ni dah tua. Tengok saja bila dia bekerja di Kuala Lumpur hari tu. Satu pekerjaan pun tak lengkap. Yang paling ayah bimbangkan ada orang nak buat yang tak baik pada dia," luah Tok Aki. Cerita cucunya pada hari pertama bekerja di hotel benar-benar membuatkan dia takut untuk melepaskan Safiyya berjauhan daripadanya lagi.

"Betul cakap ayah tu. Kalau dia kahwin, ada suami nak jaga dia. Tan Sri tu kaya orangnya. Bertuah Fiyya dapat hidup senang dengan anak dia nanti. Tak susah payah bekerja, goyang kaki saja."

"Ayah tak kisah orang itu tak berharta. Asalkan dapat bahagiakan Fiyya dan jaga dia dengan baik. Kamu macam mana Azli, patut ke ayah terima lamaran Tan Sri tu?"

"Kalau sayalah ayah, saya akan terima. Yalah, sejak Fiyya habis belajar ni tak ada lagi orang masuk pinang dia. Pemuda kat kampung ni takut kut nak masuk meminang sebab Fiyya pernah halau Che Rosnah dengan parang." Azli ketawa sebaik menghabiskan ceritanya.

Tok Aki hanya tersenyum mendengar kata-kata Azli. Dia akui cucunya Safiyya agak garang orangnya. Dulu cucunya itu seorang penakut. Apatah lagi selepas kematian kedua-dua orang tuanya dalam kemalangan. Ada sahaja kutukan dan ejekan daripada budak-budak kampung yang mengejeknya tiada ayah dan ibu. Anak kecil itu diajarnya untuk matang dan melawan siapa yang cuba mengejeknya. Sejak itulah Safiyya jadi lebih berani dan tabah.

"Susah nak pujuk Fiyya kalau bab kahwin ni. Semalam pun kamu sendiri tengok dia macam mana, kan? Sebenarnya ayah risau, kalau tak dapat jaga dia dengan lebih lama. Ayah ni dah tua, Fiyya tu anak dara. Kamu pun ada tanggungjawab sebagai seorang ayah dan suami. Kalau ayah dah tutup mata, tak dapat kahwinkan Fiyya, kamu tolonglah kahwinkan anak saudara kamu tu. Amanah abang kamu tu, jaga elok-elok," kata Tok Aki sedih.

"Apa yang ayah merepek ni? Ayah masih kuat, sihat. Fiyya akan kahwin dan kita akan sama-sama uruskan majlis dia tu. Dah, jangan difikirkan bukan-bukan. Hari dah hampir gelap ni. Kita balik rumah. Malam ni saya datang urutkan belakang ayah, ya?"

Tok Aki mengangguk lesu. Hanya Azli sahaja satu-satunya anak yang boleh dia harapkan. Anaknya Azizan dan Kasmah sudah bertahun-tahun tidak menjenguknya. Agaknya, kalau dia mati pun, mereka takkan ambil tahu. Arwah isterinya meninggal dulu, mana ada kedua-dua anaknya itu pulang ke sini. Sedih hati tuanya. "Aduh!"

"Ayah, kenapa ni?" soal Azli cemas sebaik melihat ayahnya yang memegang dadanya dengan wajah mengerang kesakitan.

"Dada ayah ni tiba-tiba sakit," adu Tok Aki.

"Mari saya papah ayah." Azli meletakkan parangnya lalu memapah ayahnya pulang. Kuat suaranya melaung nama Safiyya sebaik sahaja mereka tiba di rumah.


"ITULAH atuk, kan Fiyya suruh rehat. Ni nak jugak tebas semak kat belakang rumah. Esok biar Fiyya aje yang pergi tebas. Atuk rehat kat rumah," bebel Safiyya sambil meletakkan minyak angin di dada atuknya. Manakala Azli pula mengurut kaki ayahnya yang menyandar ke dinding rumah.

"Orang tua Fiyya, macam nilah. Kalau atuk dah tak ada esok-esok, Fiyya duduklah dengan pak su. Jangan tinggal kat rumah ni sorang-sorang. Atuk dah amanahkan pada pak su untuk carikan calon suami untuk Fiyya. Atuk ni dah tua, mungkin dah tak dapat nak tengok Fiyya kahwin," kata Tok Aki sebak.

Safiyya berhenti daripada menyapu minyak angin ke dada atuknya. Wajah atuknya ditenung dengan rasa serba salah. "Fiyya tak suka atuk cakap macam tu. Kan Fiyya dah cakap, atuk masih kuat dan sihat. Selagi Fiyya ada, Fiyya akan jaga atuk."

Tok Aki mengerling ke arah Azli yang masih mengurut kakinya tanpa bersuara.

"Atuk tahu, Fiyya sayang atuk. Atuk saja pesan awal-awal pada Fiyya. Kalau atuk dah tak ada, atuk minta pak su carikan calon untuk Fiyya," balas Tok Aki dengan suara mengendur.

"Atuk... kenapa atuk suka cakap merepek ni? Atuk buat Fiyya serba salahlah," ujar Safiyya tidak senang.

"Yalah, atuk minta maaf. Tapi teringin benar atuk nak tengok Fiyya kahwin sebelum atuk tutup mata. Harap-harap atuk sempatlah."

Safiyya terdiam. Dia mula terasa tidak sedap hati dengan kata-kata atuknya. Apakah dia akan kehilangan satu-satunya atuk yang dia sayang? Perlukah dia penuh permintaan atuknya itu? Safiyya buntu. Terdengar atuknya terbatuk, dia tersentak.

"Sudahlah, ayah. Jangan banyak cakap. Ayah ni takkan mati lagilah," sampuk Azli. Kata-kata ayahnya mula membuatkan dia juga tidak tenang seperti Safiyya.

Azli dan Safiyya berpandangan. Kenapa pelik benar perangai Tok Aki malam ini? Suka merepek bukan-bukan.

"Atuk minta maaf ya, Fiyya. Tapi kau janji pada aku ya Azli, kalau aku mati sebelum aku tengok Fiyya kahwin, tolong carikan calon suami yang baik untuk Fiyya. Tolong Azli."

"Atuk..." Lantas Safiyya memeluk atuknya. Dia tidak mahu kehilangan Tok Aki. Dia sangat sayangkan Tok Aki. "Atuk janganlah cakap macam tu. Fiyya sanggup penuhi permintaan atuk, asalkan atuk bahagia di sana. Bukan niat Fiyya nak mendoakan atuk mati. Fiyya sangat sayangkan atuk. Kalau atuk nak tengok Fiyya kahwin, Fiyya sanggup. Atuk janganlah tinggalkan Fiyya."

Safiyya sudah menangis dalam pelukan atuknya. Selepas Nenek Odah meninggal, dia kini boleh bermanja dengan Tok Aki sahaja. Dia tidak mahu Tok Aki pergi meninggalkannya. Bukan dia mahu melawan kuasa Tuhan, namun dia berharap dapat hidup dengan Tok Aki lebih lama lagi.

Tok Aki membalas pelukan cucunya. Dia berharap sangat apa yang dirancangnya ini akan terjadi. Azli atau sesiapa pun tidak boleh tahu akan rancangannya.

"Fiyya marahkan atuk?" soal Tok Aki. Pelukan mereka sudah dileraikan.

Safiyya hanya menggelengkan kepalanya.

"Fiyya dah ada siapa-siapa yang Fiyya berkenan? Bawalah jumpa atuk. Kenalkan dia dengan atuk," ujar Tok Aki. Sengaja dia memancing soalan begitu. Manalah tahu kalau-kalau Safiyya memang sudah ada orang lain.

Lantas Safiyya menggeleng laju. "Fiyya ikut aje pilihan atuk."

"Betul ke? Fiyya sanggup ikut pilihan atuk?"

"Kalau orang tua pilih lebih berkat," ujar Safiyya lemah.

Walaupun hatinya tidak mahu lagi berumah tangga, namun dia tidak mahu mengecewakan atuknya. Sudahlah kini atuknya jatuh sakit, kalau atuknya meninggal sebelum hajatnya kesampaian, dia akan menyesal seumur hidup.

"Jadi, Fiyya setuju berkahwin dengan anak Tan Sri?" soal Tok Aki inginkan kepastian.

"Kalau itu pilihan atuk yang terbaik, Fiyya terima saja."

Lantas Tok Aki memeluk Safiyya.

Tercengang Azli memandang kedua-duanya. Dia tidak percaya pula Safiyya akhirnya bersetuju untuk menerima lamaran Tan Sri Hairie. Azli memandang wajah ayahnya yang kini semakin ceria.

Tok Aki percaya dalam garang cucunya itu, masih ada kelembutan dalam hatinya. Sudah tidak sabar hendak dia khabarkan berita gembira itu kepada Tan Sri Tengku Hairie.


Isteri Untuk DiiktirafWhere stories live. Discover now