BEBERAPA kali Safiyya membelek-belek dirinya di hadapan cermin. Dia menarik nafas dan melepaskannya perlahan-lahan. Tersenyum Haryanti memandangnya.
"Nampak macam cemas saja," cetus Haryanti sambil tersenyum dengan gelagat sahabatnya itu.
Safiyya berpaling memandang Haryanti.
"Okey tak?" tanya Safiyya.
"Ada yang tak okey ke?" soal Haryanti dengan dahi berkerut.
"Macam mana penampilan aku ni? Okey tak?" soal Safiyya lagi.
"Kau kerja housekeeping aje pun. Tapi mengalahkan macam setiausaha!" gurau Haryanti seraya ketawa.
Safiyya turut ketawa dengan kata-kata sahabatnya itu.
"Kali ni kerja betul-betul tahu. Dah banyak kali kau tukar kerja. Kerja kat tempat aku pun tak lekat. Bertahan seminggu aje tahu!" Haryanti mula membebel.
Dia tahu sangat perangai Safiyya yang tidak boleh bersabar kalau dia diapa-apakan oleh orang lain. Dari kecil lagi mereka berkawan. Walaupun Haryanti tidak dapat melanjutkan pelajarannya ke universiti, namun hubungannya dengan Safiyya tetap kukuh.
"Ermm, bilalah aku nak dapat kerja bagus? Nama aje graduan universiti, tapi nak dapat kerja taraf ijazah, payah betul," rungut Safiyya. Tudung yang kelihatan senget dibaikinya di hadapan cermin.
"Alah, sabarlah. Lambat-laun adalah rezeki tu. Tapi kau kena ingat, janganlah tukar kerja kerap sangat. Pening juga aku dengan kau ni, tahu," omel Haryanti.
"Alah, bukan salah aku pun. Mr. Tan tu yang cari pasal dengan aku. Aku buat serba tak kena. Baju kena masuk dalam seluarlah, tak boleh pakai sarung lenganlah. Eee... tak biasalah aku pakai lengan pendek. Aku dah biasa macam ni sejak dulu lagi. Kerja KFC tu memang tak serasi dengan aku!" tukas Safiyya.
Haryanti tergelak kecil. Baharu dua hari Safiyya bekerja di francais KFC dia sudah berhenti. Lebih-lebih lagi supervisor seperti Mr. Tan yang pelik dengan Safiyya yang bertudung litup dan tidak pernah menunjukkan aurat lengannya.
Hampir enam bulan Safiyya menganggur di kampung, akhirnya dia membuat keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan. Walaupun berat hatinya untuk meninggalkan atuknya, Tok Aki, yang sudah menjaganya sejak usia 11 tahun. Namun, dia terpaksa datang ke Kuala Lumpur untuk bekerja demi memperbaiki kehidupan mereka. Apa gunanya ada segulung ijazah sedangkan dia tidak mendapat pekerjaan yang baik?
Kali pertama dia datang ke Kuala Lumpur, dia bekerja sebagai pembantu di kedai buku. Belum sampai sebulan dia sudah berhenti bekerja. Dia tidak suka dengan anak tauke kedai buku yang selalu mencuri pandang ke arahnya. Dia rimas dengan situasi begitu. Lalu dia mengambil keputusan untuk berhenti terus.
Lalu dia mencari pekerjaan lain sehinggalah dia mendapat kerja sebagai pembantu kedai. Itu pun cuma bertahan seminggu. Menurutnya, dia tidak suka dengan pelanggan yang mengada-ada setiap kali membuat pesanan. Sekejap nak itu, sekejap nak ini. Lenguh kakinya ulang-alik ke arah meja yang sama. Sehinggalah Haryanti mengajaknya bekerja di tempatnya. Kebetulan salah seorang pekerja di tempat Haryanti berhenti. Itu pun tidak bertahan juga.
Safiyya memakai sarung lengan sebelum tas tangannya dicapai.
"Seronoklah kau cuti hari ni!" cetus Safiyya.
"Aku nak sambung tidur balik!" balas Haryanti.
"Suka buat tahi mata lebih-lebih!" gurau Safiyya.
Mereka ketawa. Lalu Safiyya keluar dari bilik. Haryanti sudah menarik selimutnya kembali.
"Fiyya, sarapan!" tegur Aina teman serumah yang sedang makan mi segera.