Bab 7

21.7K 134 6

HAMPIR tersembur Tengku Wildan yang sedang menghirup Milo panas sebaik mendengar kata-kata Tan Sri Tengku Hairie. Manakan tidak, papanya itu memintanya bertunang dengan gadis kampung pilihan papanya. Apatah lagi majlis pertunangan itu akan diadakan lagi seminggu. Dan dua minggu berikutnya mereka akan dikahwinkan. Semuanya berlaku secara drastik dan dia merasakan semua ini tidak masuk akal.

"Papa ni sihat ke tak? Tiba-tiba suruh anak kita bertunang lagi seminggu. Mama pun tak kenal lagi perempuan tu. Yang papa beria sangat ni kenapa?" sampuk Puan Sri Raja Mona. Sakit benar hatinya dengan keputusan yang dibuat oleh suaminya tanpa berbincang dengannya terlebih dahulu.

"Papa takut perempuan tu terlepas ke tangan orang lain," balas Tan Sri Tengku Hairie.

"Apa yang hebat sangat perempuan tu? Perempuan low class, papa nak jadikan dia menantu kita. Dahlah gadis kampung!"

"Yalah, papa. Betul cakap mama tu. Wildan tak kenal pun siapa dia. Alih-alih papa minta Wildan kahwin dengan dia." Tengku Wildan bersuara berani. Dia berharap benar Tan Sri Tengku Hairie memahami perasaannya.

Zaman ini bukannya zaman dahulu kala, berkahwin atas kemahuan orang tua. Kadang-kadang di hari perkahwinan baru kenal siapa bakal suami atau isteri mereka. Kenapalah papanya masih berfikiran kolot begini? desis hati Tengku Wildan. Apatah lagi dia adalah anak lelaki. Mana boleh dipaksa kahwin seperti anak perempuan.

"Pilihan papa kali ini memang tepat. Dia memang perempuan yang baik untuk Wildan. Papa percaya Wildan akan bahagia dengan dia," ujar Tan Sri Tengku Hairie lagi. Dia sudah nekad untuk menjodohkan Tengku Wildan dengan Safiyya. Dia berharap perkahwinan ini dapat mengubah perangai Tengku Wildan yang nanar itu.

"Tapi papa... Wildan tak cintakan dia. Macam mana Wildan nak kahwin dengan dia?"

"Itu bukan alasannya Wildan. Cinta boleh dipupuk selepas kahwin. Papa percaya Wildan akan bahagia dengan dia. Ingat ya Wildan, Wildan tahu kan apa akan jadi kalau Wildan ingkar kata papa?" tegas Tan Sri Tengku Hairie lalu berlalu meninggalkan meja makannya.

Hari ini dia harus cepat ke pejabat kerana delegasi dari Singapura akan datang ke hotelnya untuk menginap beberapa hari di sini. Para tetamu dari Singapura itu harus diberikan perkhidmatan yang terbaik.

Tengku Wildan terdiam. Sampai hati papa menggunakan kekerasan ke atasnya. Dia tahu, dia tidak boleh hidup sendiri tanpa bantuan papanya. Dia tidak seperti Tengku Wafie yang boleh berdikari sendiri. Argh, kalaulah dia boleh lari dan hidup seperti Tengku Wafie tanpa kongkongan keluarga, dia pasti akan tenang. Namun, dia tidak mampu. Baginya wang dan kemewahan adalah segala-galanya dalam hidupnya. Masakan dia mahu merasai kesusahan sedangkan dari kecil lagi dia sudah merasai kesenangan?

"Mama, tolonglah pujuk papa tu. Dia tak boleh buat Wildan macam ni. Not fair!"

"Kamu ingat mama suka dengan keputusan papa tu? Mana nak letak muka mama ni dengan Tengku Salmah? Mama dah janji nak satukan Wildan dengan Bella."

"Bella, mama? She's not my tastelah mama! Bella langsung tak ada ciri-ciri wanita idaman yang Wildan nak. She and me, we're just friend. Not loving couple."

Terkejut Puan Sri Raja Mona dengan kata-kata anaknya. Bagaimana pula Tengku Wildan boleh tidak meminati Bella? Bella seorang gadis yang sentiasa mengikut harus kemodenan dan pandai menjaga penampilannya. Kalau hendak shopping, dia senang mengajak Bella untuk memberi pandangan kepadanya.

"Jadi, Wildan lebih suka kalau kahwin dengan gadis kampung pilihan papa tu?" tukas Puan Sri Raja Mona.

Tengku Wildan hanya mencebik. Baki Milo di cawan segera dihabiskan.

Isteri Untuk DiiktirafWhere stories live. Discover now