Isteri Untuk Diiktiraf

By dearnovels

324K 2.2K 192

Karya ke-4 Nurfaza Alisya More

Bab 1
Bab 3
Bab 4
Bab 5
Bab 6
Bab 7
Bab 8
Bab 9
Bab 10

Bab 2

37.2K 243 3
By dearnovels

SAFIYYA menolak troli barangannya. Sebaik dia selesai mengemas beberapa bilik yang sudah dicheck-out, dia diminta untuk datang ke bilik 302 untuk mengubah suai bilik VIP. Safiyya mengeluh sendirian. Rupa-rupanya tugas seorang housekeeper sangat meletihkan. Namun begitu, dia suka dengan kerja ini. Asalkan tiada sesiapa yang berniat buruk terhadapnya dan cuba memperlekehnya.

Sampai sahaja di bilik 302, dia menekan loceng. Terus pintu bilik dibuka oleh seorang lelaki muda. Safiyya melemparkan senyuman yang cukup manis.

"Housekeeping encik! Encik minta ubah suai bilik ni, kan? Ada apa-apa yang tak kena ke?" Terus Safiyya menyoal.

Pertanyaan Safiyya tidak dijawab Tengku Wildan. Dari atas hingga bawah dia memandang Safiyya. Manis orangnya, desis hatinya.

"Encik! Encik!" Safiyya memetik jarinya di hadapan Tengku Wildan.

Tersentak Tengku Wildan dengan perbuatan Safiyya. Dia memandang Safiyya yang sedang tersenyum. Manis sekali senyuman gadis ini dengan kedua-dua lekuk lesung pipitnya.

"Err... ha... Saya nak minta tolong salin langsir tingkap dengan cadar. Langsir ni macam gelap aje saya tengok. Ermm, macam tak sesuai pula, kan?" beritahu Tengku Wildan gabra. Cabarannya dengan Rusdi harus dia laksanakan. Kalau tidak malulah dia nanti.

Safiyya menjenguk ke dalam. Dia memandang ke arah langsir yang berwarna hijau lembut. Isy, gelap apa pula warna hijau lembut ni? Sewel ke apa lelaki ni? Warna ni kan nyaman menenangkan jiwa? bisik hati kecil Safiyya.

"Itu saja ke encik?" soal Safiyya lagi.

Tengku Wildan memandang ke dalam bilik.

"Jambangan bunga kat atas meja tu ganti lainlah. Dah berdebu sangat. Rimaslah saya!" tukas Tengku Wildan.

"Baik, encik. Ermm, encik boleh keluar dulu tak? Pergilah jalan ke mana-mana encik nak pergi. Pemandangan hotel ni pun cantik. Pergilah ambil angin kat swimming pool atau garden. Kalau nak pergi jauh lagi pun tak apa!" bicara Safiyya laju.

Berkerut dahi Tengku Wildan memandangnya. "Kenapa pula saya kena keluar? Ni kan bilik saya?"

"Tidak elok apabila lelaki dan perempuan berdua-duaan di dalam bilik walaupun tak buat apa-apa. Nanti jadi fitnah orang. Silap-silap kalau kena cekup macam mana? Encik tak takut ke?" soal Safiyya lancang. Dia sekadar mengingatkan tetamu Hotel Mahkota Royal di hadapannya ini.

"Ha... ha... yalah. Betul tu. Betul. Tapi kalau bilik terbuka tak apa, kan? Tak ada yang cakap bukan-bukan kalau tinggal berdua dalam bilik ni pun," balas Tengku Wildan pula.

Tajam Safiyya merenung wajah Tengku Wildan. Dia harus bersiap sedia sebelum lelaki ini ada berniat jahat terhadapnya.

"Jangan salah faham. Sebenarnya saya terpaksa siapkan kerja saya hari ni juga. Saya nak bentangkan dalam meeting nanti. Nak angkut semua kerja saya kat tempat lain memang dah tak sempat. Kita buka aje pintu bilik ni luas-luas. Semuanya akan selamat," kata Tengku Wildan bersungguh-sungguh. Dia tahu Safiyya mula terasa tidak selesa dengannya.

Sejenak Safiyya terdiam. Dia memandang wajah Tengku Wildan dan menjengah ke dalam bilik.

"Encik buat kerja encik, saya buat kerja saya," beritahu Safiyya. Keningnya diangkat ke arah Tengku Wildan.

Tengku Wildan memandang wajah suci Safiyya. Walaupun penampilan gadis di hadapannya ini kolot baginya, namun Safiyya manis sekali orangnya. Sempat lagi Tengku Wildan meneliti gadis yang berhadapannya kini.

"Encik?"

Tengku Wildan tersentak.

"Okey, awak buat kerja awak, saya buat kerja saya," ujar Tengku Wildan bersetuju.

"Tepi sikit, saya nak masuk," arah Safiyya.

Tengku Wildan mengelak tubuhnya ke tepi. Safiyya mula masuk ke dalam, mahu melakukan tugasnya. Pintu bilik dibuka luas mengikut perjanjian mereka. Tengku Wildan berpura-pura menghadap kerjanya. Sesekali dia menoleh ke arah Safiyya yang sedang menukar langsir baru. Isy, boleh ke aku lakukan ni? desis hati Tengku Wildan sendirian. Tengku Wildan mula berpura-pura menaip di laptopnya. Entah mengapa tiba-tiba dia merasakan amat payah untuk dia berbuat begitu terhadap Safiyya.

Segera Tengku Wildan mencapai telefonnya yang berbunyi. Dibaca WhatsApp yang dihantar oleh Rusdi.

Macam mana bro? Jangan cakap saja. Hahaha.

WhatsApp Rusdi tidak dibalasnya. Kalau dia tidak menyahut cabaran Rusdi, malu besarlah dia nanti.

"Encik, cadar dengan langsir saya dah salin. Bunga ni nanti saya tukar lain. Saya keluar dulu, pergi ambil jambangan bunga baru," kata Safiyya apabila tugasnya menukar langsir dan cadar selesai.

Tengku Wildan tersentak. Terasa cepat pula Safiyya melakukan tugas-tugasnya. Isy, macam mana ni? desis Tengku Wildan.

"Err... tunggu sekejap. Towel tu dah kotorlah. Tadi terjatuh dalam bilik air. Boleh tukar tak?" beritahu Tengku Wildan. Sengaja dia mencipta alasan begitu. Dia tidak mahu Safiyya keluar lagi sebelum cabarannya dengan Rusdi untuk mendapatkan Safiyya berjaya.

"Baik, encik," akur Safiyya. Tuala yang tergantung di bilik air dicapainya.

Cepat-cepat Tengku Wildan bangun dan menutup pintu bilik. Terkejut Safiyya dengan tindakan Tengku Wildan.

"Encik, kenapa tutup pintu tu? Saya dah nak keluar." Safiyya dengan rasa gelisah. Dia mula tidak sedap hati dengan situasi begini.

Tengku Wildan tersenyum memandang Safiyya. Kali ini dia harus menang pertaruhan. Walaupun pertaruhan satu ribu tiada makna baginya, cabaran Rusdi harus disahutnya. Dia harus menang. Dia mula mendekati Safiyya. Bahu gadis itu disentuh. Cepat-cepat Safiyya menepis kasar.

"Encik jangan nak apa-apakan saya. Encik belum tahu siapa saya!" marah Safiyya. Ilmu persilatan yang pernah dipelajari daripada Tok Aki masih dipraktik. Kalau lelaki ini cuba melakukan sesuatu yang tidak baik, dia sudah bersiap sedia untuk menempuhnya.

Tengku Wildan cuba memeluk Safiyya. Cepat-cepat Safiyya menendang perut Tengku Wildan. Tengku Wildan mengerang kesakitan.

"Ini pengajaran sebab encik cuba berniat jahat terhadap saya!" marah Safiyya lalu keluar. Laju dia menuruni anak tangga. Sengaja dia tidak menggunakan lif kerana bimbang Tengku Wildan akan mengejarnya.

Tengku Wildan keluar dari bilik sambil menekan perutnya yang sedang sakit akibat tendangan Safiyya tadi.

"Biadab punya kau!" jerit Tengku Wildan geram.


"HARI ni saya berhenti kerja!" kata Safiyya kepada pekerja yang berada di kaunter lobi.

Tergesa-gesa dia keluar dari pintu utama Hotel Mahkota Royal. Dia hampir terlanggar seorang lelaki yang berusia pertengahan 50-an. Hampir terjatuh lelaki itu. Namun, langsung Safiyya tidak meminta maaf. Dia berlalu dari situ dalam keadaan marah.

"Siapa dia tu? Kenapa dengan dia Haliza?" soal Tan Sri Tengku Hairie kepada pekerjanya di kaunter lobi.

"Pekerja baru Tan Sri. Dia baru masuk hari ni, dah nak berhenti kerja. Pelik saya, tiba-tiba saja," beritahu Haliza.

Seorang lagi rakannya, Syuhada menelefon pengurus housekeeping untuk memaklumkan peletakan jawatan Safiyya serta-merta.

"Ada apa-apa yang tak kena ke?" soal Tan Sri Tengku Hairie lagi.

"Entahlah Tan Sri. Saya pun tak tahu," balas Haliza.

Kelihatan Tengku Wildan berjalan sambil mengerang kesakitan. Terus Tan Sri Tengku Hairie memanggilnya.

"Kenapa dengan kamu ni Wildan? Sakit ke?" soal Tan Sri Tengku Hairie.

"Tak ada apa-apalah papa. Tersalah makan kut," bohong Tengku Wildan. Masakan dia mahu memberitahu hal sebenar kepada papanya? Kalau diketahui papanya, teruk dia nanti.

Melilau mata Tengku Wildan mencari Safiyya. Dia bimbang kalau-kalau gadis itu membuat repot kepada pengurus housekeeping iaitu Puan Faridah. Tentu Tan Sri Tengku Hairie mengamuk sakan. Silap-silap dia dihalau daripada mengendalikan Hotel Mahkota Royal. Argh, dia tidak mahu kehilangan semua kemewahan yang dikecapinya kini.

Tengku Wildan memandang Puan Faridah yang sudah datang ke kaunter lobi. Terus Tan Sri Tengku Hairie memanggil Puan Faridah.

"Kenapa dengan pekerja baru yang berhenti tiba-tiba tu? Siapa nama dia?" soal Tan Sri Tengku Hairie ingin tahu.

"Safiyya, Tan Sri. Saya pun hairan kenapa dia berhenti kerja tiba-tiba. Pagi tadi elok saja dia buat kerja," beritahu Faridah.

Safiyya? Sempat nama itu mendakap telinga Tengku Wildan. Dia lega kerana gadis itu serta-merta berhenti kerja. Penangan gadis itu memang kuat sehingga membuatkan dia senak perut. Hal ini tidak boleh diketahui papanya. Rahsia ini harus disimpannya elok-elok. Dia sudah berjanji dengan Tan Sri Tengku Hairie untuk mengubah perangainya yang suka berfoya-foya dengan ramai perempuan. Kalau tidak, dia bukan sahaja akan dibuang kerja dari Hotel Mahkota Royal, malah satu sen pun dia tidak akan dapat.

"Wildan!" panggil Rusdi yang terlihat sahabatnya di situ.

Tersengih Rusdi mendapatkannya. Dia sudah tahu apa yang ingin dikatakan Rusdi. Tentulah soalannya nanti, dapatkah dia memikat gadis tadi?


TERKEJUT Haryanti apabila terlihat Safiyya pulang awal daripada kerja. Dia yang baru selesai menjemur kain di ampaian, terpinga-pinga memandang sahabatnya yang sudah memarkir skuternya di halaman rumah. Aiks, belum zohor lagi dah habis kerja?

"Awal balik," tegur Haryanti. Sebaik memandang wajah Safiyya dia terkejut melihat mata sahabatnya kemerahan. Menangiskah dia? Apa pula yang tak kena kali ni? bisik hati Haryanti.

"Yanti, esok aku nak balik kampung! Aku tak nak tinggal kat sini lagi!" jerit Safiyya lalu masuk ke dalam rumah. Punggungnya dihempaskan di atas kerusi yang sudah usang.

Kerusi usang yang menghiasi ruang tamu itulah tempat mereka bersantai bertiga ketika menonton rancangan di televisyen.

"Kenapa ni? Tak ada ribut, tak ada angin, tiba-tiba nak balik kampung?" soal Haryanti. Pelik dengan sikap Safiyya yang luar biasa hari ini.

"Ada lelaki jahat nak ambil kesempatan pada aku. Mentang-mentanglah aku ni kerja housekeeping aje, sesedap rasa dia nak ambil kesempatan pada aku. Aku tak nak tinggal kat sini lagi. KL ni memang bukan tempat aku," luah Safiyya sambil menangis kecil. Teringat kejadian tadi, dia benar-benar takut.

Haryanti menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Entah apa yang dibebelkan oleh rakannya ini, dia sendiri tidak faham.

"Sebenarnya apa yang dah terjadi kat kau ni?" soal Haryanti lagi, ingin tahu kedudukan cerita yang sebenarnya.

Safiyya mengesat air mata dengan tudung yang masih dipakai. Setelah dia kembali tenang, dia memandang wajah sahabatnya.

"Lepas aku bersihkan semua bilik yang dicheck-out, supervisor minta aku pergi bilik VIP untuk ubah suai bilik itu mengikut kehendak guest room tu. Tapi..." Safiyya terdiam. Dia menarik nafas dan melepaskannya perlahan.

"Dia kunci pintu tu dan cuba buat sesuatu yang tak baik pada aku!" marah Safiyya lalu meraung lagi.

Terkejut beruk Haryanti mendengar cerita Safiyya. Tidak disangka hari pertama bekerja di Hotel Mahkota Royal, Safiyya sudah menerima nasib malang.

"Kau tak apa-apa, kan?" soal Haryanti cemas. Sakit juga hatinya mendengar cerita sahabatnya ini. Mahu sahaja dia mengajar lelaki yang membuatkan sahabatnya begini.

Cepat-cepat Safiyya menggelengkan kepala. Tudung yang dipakai sudah dibasahi air matanya yang asyik digunakan untuk mengesat air mata yang keluar.

"Esok aku nak balik kampung. Aku tak nak tinggal di KL ni lagi," beritahu Safiyya nekad.

"Kau dah nak balik? Tunggulah sikit lagi. Nanti aku tolong kau cari kerja lain," pujuk Haryanti. Kalau Safiyya nekad untuk pulang, tentulah sunyi rumah ini. Hanya dia dan Aina sahaja yang tinggal.

"Aku dah nekad. Aku nak balik duduk dengan Tok Aki. Lagi selamat," ujar Safiyya.

Haryanti terdiam. Dia faham sangat kalau Safiyya sudah kata begitu. Memang tiada sesiapa boleh menghalangnya.

Safiyya beredar masuk ke bilik untuk mengemas barang-barangnya untuk pulang ke kampung esok.

Continue Reading

You'll Also Like

243K 16.1K 41
[ ON- GOING] Dia... Leftenan Zar Uzair, pemegang amanah yang teragung, pada fikiranya ini jalan yang dipilih, tanggungjawab yang dipikul asbab mengap...
2.4M 105K 79
#1 ENCIK'S SERIES 𝐓𝐇𝐀𝐐𝐈𝐅 𝐉𝐀𝐁𝐀𝐑 𝐗 𝐊𝐀𝐔𝐒𝐀𝐑 𝐔𝐌𝐀𝐈𝐘𝐀𝐇 "Assalamualaikum, cinta." Thaqif Jabar - seorang duda yang kacak, bekerjaya...
34K 4K 15
RAAIF MATEEN | RAIHANA MIKAILA Peluang tak pernah wujud untuk manusia sejelek dia. Peluang tak pernah hadir untuk manusia yang tak sempurna seperti d...
63.4K 5.9K 24
𝐔𝐧𝐝𝐞𝐫 𝐌𝐢𝐥𝐢𝐤 𝐃𝐢𝐚 𝐒𝐞𝐫𝐢𝐞𝐬 𝐕𝐨𝐥 𝟐 𝐍𝐮𝐫𝐞𝐞𝐧 𝐑𝐚𝐮𝐝𝐡𝐚𝐡 | 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 𝐙𝐚𝐲𝐫𝐚𝐧 "𝐓𝐚𝐤𝐡𝐭𝐚 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐭𝐞𝐫𝐮𝐧𝐠𝐠...