Bab 4 | Aku Kan Ada

109 2 0
                                    


MATA Cah membulat tengok kakaknya sedang mengutip kain-kain yang belum berlipat sedang bertaburan di atas lantai. "Yayah, kenapa rumah macam ni?" Cah terkejut bila dia masuk-masuk sahaja nampak ruang tamu dah berkecah. Habis barang-barang semua berterabur di sana sini.

Pagi tadi sebelum pergi sekolah rasanya Cah tengok, elok lagi semua tersusun di tempat sepatutnya. Apa dah jadi?

Yah jeling Cah sekilas kemudian dia sambung mengemas.

"Bapak buat," ringkas Yah beritahu. Rasanya tak perlu kot dia susun ayat panjang-panjang.

"Hah? Bapak buat?" Melengking suara Cah mendominasi ruang tamu rumah pusaka itu.

"Hisy, janganlah menjerit Cah. Baik tolong Yayah kemas ni." Yah naik radang. Dahlah bengang dia dengan Murad tak habis lagi. Lepas tu nak kena kemas rumah yang bersepah macam tongkang pecah ni.

Lagilah Yah rasa nak mengamuk.

Dahlah barang dapur habis, tak tinggal sikit pun. Murad sapu licin. Lepas tu satu rumah dia geledah. Cari duitlah tu.

Nasib baiklah Yah jenis tak tinggal duit merata-rata. Yah simpan dekat dalam kusyen kerusi rotan tua dekat tepi pintu. Kad bank Yah serahkan dekat Lid suruh dia jagakan. Kalau tak...

Memang papa kedanalah dia. Nak minta tolong siapa pun tak tahu, saudara-mara bukan ada pun.

Haih.


"YAH, Cah laparlah." Yah berhenti tengok skrin laptop bila dia dengar suara adiknya mengadu.

"Apa, Cah?"

"Lapar."

Yah mengeluh. Aduhai...

Kasihannya Cah. Yah nak masak pun tak ada apa boleh dia masak dekat dapur tu. Nak keluar beli makanan di kedai, kedai paling dekat pun kedai tepi simpang tu. Tapi hari ini hari Jumaat, kedai itu tutup pada setiap Jumaat.

Nak pergi beli barang runcit, kedai runcit pula jauh. Dalam lima kilometer dari rumah. Nak jalan kaki boleh, Yah tak ada masalah. Tapi cuaca dekat luar tu tengah panas membahang. Jam dah masuk pukul empat tapi matahari mencanak tinggi lagi.

Lepas tu kalau dah beli, macam mana pula nak bawa balik barang-barang berat macam beras apa semua. Dah satu hal.

"Cah sabarlah kejap, nanti petang kita pergi beli beras dengan lauk sama-sama eh?" lembut Yah cuba pujuk Cah.

"Okey Yayah." Cah angguk lemah dan pergi duduk dekat tepi dinding semula, bersila sambil sambung menjahit.

Yah lepaskan nafas berat.

Peninglah kepala fikir masalah dunia ni. Ini semua salah Murad!

Kalau tak Yah dah boleh masak lauk sedap-sedap dah untuk Cah.

Baru Yah nak bangun dari duduk, Yah nampak telefonnya yang tadi gelap kini sudah menyala. Yah baca nama yang tertera, dia terduduk semula.

"Helo." Yah letak telefon di telinga.

"Halu Sabariah. Kau busy tak petang ni?"

Mata Yah dah terjuling dekat atas tengok atap rumah, berfikir.

"Kenapa?"

"Busy ke tak?" Suara di seberang sana terus menekan Yah untuk memberikan jawapan.

"Tak. Kenapa?" Yah masih ingin tahu mengapa Lid sampai menelefon dia petang-petang begini.

"Jom teman aku kejap." Sayup-sayup Yah dengar suara Lid di corong telefon. Kening Yah separa bertaut.

Aku Kan Ada | Akyelrahim (SOLD OUT)Kde žijí příběhy. Začni objevovat