Angka-Angka Ungka

49 1 0
                                    

Kami punya angka!

Kerana besok pabila kami berkuasa
kamu masih pergi kerja macam biasa
hasil upah masih tak cukup biaya keluarga
purih pemodal masih menindas seperti sediakala
orang kaya makin gila bergaya dengan harta
orang miskin papa kedana
sudah jatuh ditimpa tangga.

Kami punya angka!

Kerana besok pabila kami berkuasa
kamu masih menjadi hamba sahaya
dikerah tenaga bagai lembu dicucuk hidungnya
ditunggang ke sana ke mari laksana kuda
agama dan bangsa masih menjadi gula sandiwara
banua Raja dihenyak untuk tembolok hantu raya
masih menjual kalimah mandat anakbanua.

Kami punya angka yang tinggi!

Sokonglah kami dan angkatlah tinggi-tinggi
supaya kamu semua mati ditipu siang hari
kami tak pernah peduli
bukan masalah kami
kamu bukan kami
duduk dan berdiri tidak sama tinggi
cerminlah muka sendiri
takkan tak sedar diri lagi?

yang bero'mat

Kami
segerombolan ungka yang suka menyinyir.

(Tampoi, 2020)

SELEBUWhere stories live. Discover now