Surat-Surat Tersurat

21 2 0
                                    

Kepada sesiapa yang berkenaan,

Pada surat ini hendak menyuratkan
akan pesan dan sabda daripada
siapa-siapa yang berkenaan
untuk semua orang berkenaan
akan keadaan diri kita
yang tidak tentu hala buat sementara.

Pada suratan ini hendak menyuratkan
tika gelora menyelubungi bumantara
maka lebih patut bermuafakat
supaya berkat tanah air tercinta
maka tangis darah keringat rakyat
dibuat lipur lara senjata dan azimat.

Pada persuratan ini menyuratkan
hendaklah buang segala sangkaan
dek sengketa mainan persida
yang meracun jiwa dan gagasan
hingga porak peranda huru hara
tegal serakah durjana sang penguasa.

Pada penyuratan ini menyuratkan
hendaklah berfikir masa hadapan
akan nasib anak cucu terkemudian
tidak melarat panjang seperti kita
dibungkam wewengan dan suara
agar kebenaran terpandam selamanya.

Pada ketersuratan ini menyuratkan
siapa-siapapun orang kita
Melayu, Asli, Cina, India
Arab, Benggali, Serani, Mamak, Nyonya
hendaklah berteguhan dengan Raja
moga perpaduan terbela setara ratanya.

Pada surat tersurat ini menyuratkan
jenguklah tetangga dan kawan-kawan
tanyakan khabar sudahkah makan?
hulurkan tangan dan sejambak senyuman
buat melepas lelah dan kecewa
walau untuk sedikit masa yang tersisa.

Pada surat-suratan ini menyuratkan
tetaplah berpegang pada agama
berserah nyawa kepada Tuhan
membajak amalan untuk sebayan
supaya hilang di buana dengan bahagia
untuk menjadi teladan dan sempadan.

Terima kasih daun selasih
kerana kasih, disurat-suratkan.

Yang menyurat,
Orang-orang berkenaan

(Tampoi, 2021)

SELEBUWhere stories live. Discover now