Malayar Mahardika

63 2 0
                                    

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Nafiri angkar berilun jujai runut wijaya
panji gemilang naik berkibar menjunjung takhta
alah Peringgi berganti serampak durjana
runtuh Melaka naik berdiri ranah Malaysia
dapunta Malayu bergilir-gilir menjulang tulah
biarpun beranak-pinak saka tinggalan penjajah
berhempas pulas musibat merenyuk perpaduan
tak henti-henti ralit menjolok sarang tebuan
panji diterbalikkan, jata dijenakakan
apakah ia mendukung Perlembagaan?

Beka baku tunggang-langgang
laksana anak tiri terbuang
harga Jawi hanya menghias
hurupan para musibat pedagang
atma kebayanan hilang melayang-layang
tanpa jejak, tanpa pembayang
menerawang sepi di awang-awang sendu
kompang pagutan palsu dipalu melulu
maruah Ratu diludah tiada segan silu
masih butakah lagi Malayu baharu?
masih mendaduh tampuk yang tinggal sesudu.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Pesan bonda ratu segala ratu tanah para dewa;
jangan dikejutkan harimau yang sedang cendera
kelak nanti ada yang tercedera!
jangan bermain dengan sang api
kalau tak mahu terbakar diri
bersimpuh Malayu lama memerhati
berdiam diri laksana ubi berisi
menunggu semangat besi kursani mengucup sulbi
amuk nanti tiada terperi!
umpama naga tersedar mimpi.

Inggeris telah nyah
tinggal tinja bersepah-sepah
mengaji sejarah biar bukan dari tekak penjajah
hati-hati darah muda!
akan bahana serunai puaka
takut-takut nanti terbabas
menjunam ke gohong neraka
perang hari ini bukan pakai lela rentaka
sang saka akhir zaman
datang menjajah berandang di jemala
agar leka terlupa akan Hyang Yang Niyata!
biar mati berselubung magah berjela-jela.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Malayu malayar malaya mahardika
walau penjajah bertukar wajah bak sesumpah
Malayu baharu senantiasa belayar jagat raya
di bawah payung daulat Malaysia.

(Tampoi, 2020)

SELEBUWhere stories live. Discover now