BAB 1

4.6K 162 42
                                    

Oktober 2020, Diwa Island

BILIK itu putih sepenuhnya. Empat segi sama, dengan setiap satu sisinya mempunyai panjang kira-kira dua puluh meter. Sisi paling hadapan diperbuat daripada kaca untuk membolehkan orang di luar melihat apa yang jadi di dalam.

Di situ, ada dia.

Berdiri tegak dalam persalinan sut serba hitam. Tidak punya satu pun kedutan. Tubuhnya tinggi lampai, dengan proporsi badan yang sempurna. Kakinya panjang. Tubuhnya tegap. Lehernya jinjang. Bila dilihat pada wajahnya pula, tiada apa yang kurang. Sempurna segalanya. Rambut hitamnya berkilat kemas dengan gaya pomade. Keningnya separa tebal terukir elok. Kelopak matanya yang jatuh dan naik perlahan itu, kelihatan panjang dan lebat. Hidungnya tegak terletak. Mancung. Mulutnya terbentuk cantik, dengan bibir yang merah jambu. Tulang pipinya tinggi, rahangnya juga tajam.

Sempurna. Mungkin itu yang cocok buat menggambarkan dia. Dia juga tahu, itu yang orang-orang di sekelilingnya fikir tentang dia. Terutama sekali, perempuan-perempuan tak tahu malu yang sentiasa terhegeh-hegeh untuk jatuh ke dalam dakapannya.

Huh, mereka takkan semudah itu mendapat dia.

Dia mengangkat sebelah tangan dan membawa binokular ke depan mata. Pandangan matanya menembusi binokular dan melepasi dinding kaca yang memisahkan dia dengan bilik putih. Kini, pandangan matanya jatuh ke hujung bilik. Nun jauh di sana.

Di situ, kelihatan kira-kira dua puluh ekor monyet. Tersusun sebelah-menyebelah, terikat pada tiang. Betul-betul di atas mereka, di atas siling, kelihatan petak-petak dengan jeriji yang bersusun. Tidak ubah seperti lubang penghawa dingin yang gunanya untuk memberikan kesejukan. Namun di situ, yang keluar bukanlah udara segar penghawa dingin, sebaliknya beberapa kepul asap berwarna kelabu muda yang nampak tak nampak. Kelihatan seperti kabus di pagi hari.

Sebaik sahaja kepulan asap tersebut keluar, monyet-monyet yang ada mula menarik-menarik rantai dan menjerit-jerit. Suasana jadi hingar-bingar. Ada di antara mereka yang cuba menyembunyi kepala di celah-celah kangkang. Ada yang cuba menutup mulut dan hidung. Ada yang masih cuba menarik-narik rantai. Namun, semuanya sudah terlambat.

Mereka sudah pun mula mati.

Dia menyaksikan. Usai beberapa minit, dia menjatuhkan binokular ke sisi. Pandangan matanya dialihkan pula ke sebelah kanan bilik putih. Di situ, ada satu lagi lapisan dinding kaca.

Di dalam ruang itu, kelihatan beberapa orang lelaki dalam sut perlindungan diri penuh (PPE). Dari atas sampai ke bawah. Warna putih. Di muka masing-masing, terpakai topeng muka N95 berwarna putih yang menutupi hidung dan mulut mereka. Di bahagian luar kepala itu pula, dilapisi dengan satu lagi lapisan penutup. Diperbuat daripada kain khas pada bahagian kepala, dan dilengkapi dengan satu lapisan plastik lutsinar pada bahagian wajah, bagi membolehkan mereka melihat ke luar. Kesemuanya sedang memerhati adegan depan mata, dan mencatat-catat sesuatu pada buku nota.

Dalam masa beberapa jam selepas ini, mereka akan masuk ke dalam untuk mengutip monyet-monyet yang masih hidup dan dikembalikan semula ke dalam sangkar. Kemudian, monyet-monyet tersebut akan diperhatikan sehingga satu demi satu daripada mereka mati.

"How was it?" Dia memecahkan kesepian yang sedari tadi memenuhi ruang yang dia duduki sekarang.

Soalannya terbiar sepi.

Dia menggerak anak mata ke sebelah kanan. Lelaki yang berdiri dengan jarak cuma satu depa itu, menelan liur. Dia boleh nampak peluh-peluh halus yang merenik di atas dahi lelaki tersebut.

"Aku tanya, how was it?" Dia mengulang ayat yang sama. Lebih mendatar.

Peluh di dahi lelaki tersebut, semakin laju menuruni dahi. Halkumnya juga bergerak, sebelum membuka mulut.

CODE NAME SHARK (Published)Where stories live. Discover now