Cahaya suria menyusup masuk melalui bukaan jendela dan terkena pada wajah maskulin Lelaki Bumi yang sedang seorang diri menikmati sarapan paginya. Tiba-tiba, suara Wanita Penulis memenuhi rumah agam mereka. Wanita Penulis berlari-lari keriangan keluar dari bilik kerjanya ke ruang dapur sambil membawa gulungan akhbar di tangan kanannya.
"Lelakiku, sudah kamu membaca akhbar pagi ini?" soal Wanita Penulis sambil meletakkan akhbar itu di atas meja. Lelaki Bumi menghirup secawan kopi dan hanya menjeling akhbar itu dengan ekor mata.
"Tidak, aku sudah lama tidak membaca akhbar. Aku bosan dengan berita-berita kronologi misteri kehilangan Gadis Angkasa di muka akhbar yang berulang-ulang, kehilangan gadis yang cantik sentiasa menimbulkan huru-hara di Bumi," ujar Lelaki Bumi bersahaja.
"Bagaimana kamu tahu Gadis Angkasa ini cantik? Sedangkan wajahnya tidak pernah tersiar di mana-mana," Wanita Penulis menyoalkan kehairanannya.
"Perempuan yang mempunyai kekuasaan sentiasa dilihat cantik oleh lelaki-lelaki, entah-entah Gadis Angkasa telah dibunuh oleh lelaki-lelaki yang menggilakannya di luar sana."
Wanita Penulis cepat-cepat bersuara, "atau mungkin dia membunuh dirinya sendiri."
"Apa? Apa yang engkau katakan? Aku kurang dengar," balas Lelaki Bumi sambil mendekatkan telinganya namun Wanita Penulis tidak berkata apa-apa, melainkan menukar topik pembicaraannya.
"Lelakiku, tetapi hari ini kamu perlu membaca akhbar. Puisi yang ku tulis tentang kamu akhirnya tercetak selepas sekian lama aku menantikan," ujar Wanita Penulis dengan sepasang mata yang bersinar-sinar.
Lelaki Bumi memandang wajah wanitanya lalu mengunyah cebisan roti bakar yang disapu jem anggur dan mentega. Dia bersuara, "Jadi apa yang akan mengujakan aku dan apa yang membezakan puisi engkau itu dengan puisi-puisi yang pernah engkau tulis, engkau masih menulis juga tentang aku dan itu memuakkan aku, kau sepatutnya keluar dan melihat dunia."
Kata-kata Wanita Penulis menjadi hangus di dalam amarah diamnya. Dia menundukkan wajah, merenung puisinya di dalam akhbar yang terletak di atas meja makan.
"Kamu masih ingat apa yang menemukan kita?" Soalnya dengan suara yang dalam kehampaannya.
"Ahh, wanita selalu melankolik begini! Pastinya aku masih mengingati, pena... engkau meninggalkan pena di meja dan aku menyimpannya di poket, aku meninggalkan cinta di bibir dan engkau menyimpannya di hati."
Lelaki Bumi bangga sewaktu menyatakannya dan Wanita Penulis masih memilih untuk diam. Di dalam diamnya sewaktu itu, dia mencari keberanian menanyakan sesuatu yang dia sendiri sudah tahu yang dia tidak akan bertemu jawapan dari mulut Lelaki Bumi.
"Jadi sekarang di mana kamu letakkan penaku itu?"
Mendengar soalan Wanita Penulis, pantas Lelaki Bumi bangun dan membawa pinggan serta cawan kopinya ke singki. Sewaktu membasuhnya, Lelaki Bumi menjawab dengan berhati-hati.
"Usah engkau risau soal pena itu, pena itu selamat di dalam simpananku. Sudahlah berbicara soal pena engkau itu, aku perlu keluar bekerja pagi ini, aku perlu berada di lokasi. Apa engkau mahu menemaniku?"
"Aku berasa kurang sihat pagi ini, jadi aku tidak mengikutmu," penipuan yang sengaja Wanita Penulis adakan sambil di dalam hatinya menyoal-yoal.
"Mengapa sukar untuk lelakiku menghargai dan mengapa senang aku merasa disakiti sedangkan dahulu aku tidak begini?" Soalan-soalan itu berpesta di dalam minda Wanita Penulis itu sendiri. Tetapi, pesta itu tamat sebaik sahaja Lelaki Bumi bersuara dari ruang kamar.
YOU ARE READING
JIKA AKU SEKADAR PERHIASAN
RomanceSekadar koleksi cerpen perihal kewanitaan daripada seorang penulis wanita nakal-nakal buat sesiapa yang sudi mengerti.
