7 •• Interview

24.5K 986 63
                                    

"Saya balik dulu ibu. Maaf tak dapat nak cuti lama. Minggu depan saya datang ambil Dira untuk temuduga." Raez tunduk bersalaman dengan ibu dan ayahku.

Aku hanya berdiri tidak jauh dari muka pintu memerhati perlakuannya yang sangat sopan dengan ayah dan ibuku. Penuh tertib seperti anak kandung.

"Dira, kenapa tercegat kat situ? Pergi hantar suami ke kereta." Ibu mula memberi arahan apabila aku yang dari tadi hanya jengukkan kepala sahaja.

Ibu ni macam sengaja memberi ruang supaya Raez dapat berbicara denganku. Aku sedikit keberatan untuk bergerak hingga ibu mula mengerutkan keningnya.

Lambat-lambat aku melangkah menghampiri Raez yang sedang menyimpan beg pakaiannya di pintu belakang. Aku berdiri tercegat di sisinya. Tak tahu apa yang harus aku perkatakan padanya.

"Kalau nak abang datang lebih awal jemput Dira, call abang." Ucapnya pendek sambil menutup pintu kereta.

"Tak perlu jemput saya. Nanti saya pergi temuduga sendiri."

"Abang jemput!" Raez memandang aku dengan rahang yang sedikit diketapkan.

"Raez, awak tak faham. Kita dah tak ada apa-apa." Aku tegaskan padanya. Dia terdiam sambil memandang aku tajam.

"Kita masih suami isteri yang sah, Dira. Dan menjadi satu dosa jika abang tak redha Dira berjauhan dengan abang. Tempat Dira sepatutnya di sisi abang." Mukanya serius memandang ke arah aku.

Aku pula hilang perkataan. Ini yang aku lemah. Kalau benar bagai di kata, aku bersalah dalam hal ini. Aku dengan sengaja ingin berjauhan dengannya.

"Saya— tak.." Tak tahu ayat apa yang perlu aku lontarkan padanya.

"Tak apa. Abang izinkan Dira tinggal di kampung buat masa sekarang. Tapi nanti Dira tetap kena tinggal dengan abang." Dia berdiri tegak di hadapan aku.

"Abang gerak dulu." Pantas tangannya dihulur ke arah aku. Aku pula merenung lama tangannya kerana blur dengan perlakuannya.

Raez berkerut kening memandang aku yang masih terkulat-kulat. Hinggalah aku tersedar yang dia mahu aku bersalaman dengannya. Akhirnya aku tunduk juga menyalami tangan lelaki yang dikatakan masih bergelar suamiku walau hatiku tetap berasa was-was.

Genggaman tangannya menjadi makin erat seperti tidak mahu melepaskan tanganku. Lama aku berusaha menarik tanganku, tetapi dia hanya diam sambil terus memerhatikanku.

Darah gemuruh yang menyerbu ke jantungku membuatkanku bernafas dengan laju hingga aku tidak sedar kereta Raez sudah jauh menghilang dari hujung mataku.

***

Memikirkan tentang perkara yang diberitahu oleh Raez, dadaku menjadi sesak. Akhirnya aku membuat keputusan untuk menyewa rumah.

Puas aku godek di internet, akhirnya aku terjumpa satu rumah yang sesuai untuk aku sewa. Jaraknya tidak jauh dengan office tempat yang akan aku temuduga nanti dan rumah itu kelihatan selesa untuk aku diami.

Aku rasa aku perlu berbincang dengan Raez untuk meminta izin darinya tentang hasratku untuk menyewa.

Aku belum bersedia mahu tinggal sebumbung dengannya. Berada berdekatan dengannya saja hati aku seperti dilanda tsunami.

Kadang-kadang aku pelik dengan hati sendiri. Aku rasa seperti aku dah move on dari Raez. Susah payah aku meyakinkan diri bahawa cinta itu sudah hilang, tetapi kenapa setiap kali aku dipanah dengan renungan matanya hati aku jadi kelam kelibut. Semua jadi serba tak kena. Aku jadi tak tentu arah. Dadaku masih berdebar seperti dulu. Nafas ku hela berat. Menjatuhkan bahu dengan lemah.

RASMI MILIKKUWhere stories live. Discover now