Dalam Kegelapan : Julieanez

54 5 0
                                    

Berikut merupakan karya pemenang Prompt 2 SeramMY, Julieanez, Dalam Kegelapan.

Berikut merupakan karya pemenang Prompt 2 SeramMY, Julieanez, Dalam Kegelapan

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Aku kaku melihat skrin komputerku. 

 Ceritanya bermula setahun yang lalu, ketika aku sedang bermain permainan Blair Witch di komputerku. Bagi sesiapa yang tidak tahu, permainan Blair Witch ini memberikan pemain watak bekas polis yang sedang menyelesaikan misteri kehilangan kanak-kanak di hutan. 

Jam sudah beranjak ke pukul 3 pagi, bilikku gelap hanya berbekalkan cahaya lampu meja dan skrin komputerku. Headfon kupakai untuk mendapatkan impak bunyi yang lebih gempak ketika bermain.

Skrin komputerku tiba-tiba terpadam. Aku terpaku. 

Perkara ini pertama kali berlaku dalam hidupku. Takkanlah komputerku boleh rosak pula. 

Tiba-tiba telingaku menangkap bunyi helaan nafas. Aku memandang sekeliling sebelum tersedar bahawa aku masih menyarung headphone. Bunyi itu datang dari headfonku. 

Bukan, tepatnya, dari komputerku. Bulu romaku menegak. Segala punat kutekan untuk memastikan apakah masalah komputerku ini. Kulihat lampu On masih menyala, bermakna komputerku dalam keadaan hidup tetapi kenapa skrin hanya memaparkan skrin gelap. 

Muncul sedikit rasa takut di hatiku kalau-kalau komputerku sedang digodam. Tiba-tiba saja terdapat satu animasi api yang sedang marak muncul di tengah-tengah skrin komputerku. 

"WELCOME TO THE DARKSIDE OF THE INTERNET."Sebaris tulisan muncul. 

Sah, komputerku sedang digodam. Aku mulai panik, aku percaya pada cerita-cerita seram yang dimomokkan tentang sisi gelap internet dan aku tidak pernah berminat untuk melayarinya. 

Namun, apa harus aku lakukan sekarang? Kenapa tiba-tiba sahaja aku menjadi mangsa sedangkan aku tidak pernah mendekati laman sesawang gelap itu. 

 "ARE YOU SURE? CLICK ENTER TO CONTINUE." Ayat seterusnya muncul, berserta butang ENTER

Ah, itu dia! Tentu saja aku tidak akan menekan butang ENTER

Namun, perlahan-lahan kulihat anak panah (cursor) bergerak menuju ke butang ENTER. Aku tidak menggerakkannya! 

Aku pegang tetikus komputerku, dalam kegelapan cuba meraba wayar penghubung untuk mematikannya. Terlupa aku boleh mematikan dari papan kekunci. Hanya dua sentimeter sebelum anak panah mencapai butang ENTER, aku berhasil menghentikannya. 

Jantungku berdegup kencang. Sedikit lega namun tidak berpanjangan. Kedengaran salah satu papan kekunciku diketuk. 

Di depan mataku, di atas skrin, aku melihat butang ENTER menunjukkan ia telah ditekan. 

Mataku beralih perlahan ke bawah, ke papan kekunciku. Dengan jelas kulihat jari berkuku panjang mengetuk butang ENTER di papan kekunciku. 

 "Uwaaahh!" Aku terperanjat lalu terjatuh dari kerusi. Headfonku terlepas dari kepalaku, terhumban ke lantai. Kulihat sekelilingku namun tiada siapa kelihatan di bilik ini. 

Aku berlari mendapatkan suis lampu bilikku lalu butang On ku tekan. Ketika cahaya lampu berkelipan sebelum lampu sepenuhnya terpasang, aku dapat melihat bayangan susuk tubuh manusia semakin menghampiri. Pantas kumatikan suis lampu semula. 

Bilik kembali gelap. Di antara meja dengan sedikit cahaya lampu meja dan tempat aku berdiri sekarang disempadani oleh sebuah ruangan gelap. Jantungku berdebar-debar. Peluh jantan merecik. Adakah susuk tubuh itu sekarang berada di dalam kegelapan itu? 

 Aku tidak tahu mana yang lebih menakutkan sekarang, komputerku yang sudah menekan butang ENTER atau susuk tubuh di dalam kegelapan yang sedang menunggu. 

"WELCOME TO THE NEW VERSION OF BLAIR WITCH. READY TO ENTER THE WOODS? "

Antologi DudukRumah Bersama WattpadWhere stories live. Discover now