🔥 BAB 9 🔥

8.3K 785 61
                                    

RAYYAN melihat jam tangan. Jam baru menunjukkan pukul 9 pagi tetapi perutnya sudah berkeroncong minta diisi. Ini semua gara-gara dirinya terlampau sibuk sampaikan terlupa mahu sarapan pagi. Sudahnya, waktu begini pun perutnya sudah menjerit lagu rock kapak.

“Falcon, ikut aku,” panggil Rayyan kepada Syafiq yang sedang tersengguk-sengguk di meja. Nampak mengantuk sangat kan, mari dia bawa keluar jalan-jalan.

“Kita nak ke mana?” tanya Syafiq seraya menguap lebar.

Semalam dia terpaksa tidur lewat kerana berlawan dengan penceroboh yang cuba menceroboh pangkalan data Campbell Corporation. Seluruh pasukan sekuriti siber syarikat itu dikerahnya habis-habisan untuk berlawan dengan musuh alam maya mereka. Aksi mereka di dunia maya semalam membuahkan kemenangan besar.  Hasilnya, mereka berjaya menghalang kemaraan musuh. Tak lupa juga dia kasi “hadiah” kepada penceroboh itu.

“Aku rasa nak makan roti canai terbang. Alah yang tengah viral tu. Nampak sedap pula. Lagipun warung dia dekat aje dengan ofis kita. Kau juga yang kata teringin nak makan hari tu. Dah alang-alang ni…” jawab Rayyan sambil berdiri di muka pintu pejabat Syafiq.

“Boss nak belanja ke?” tanya Syafiq dengan tersengih-sengih.

"Ke kau nak bayar sendiri?” balas balik Rayyan.

“Okey Boss belanja!” Terus Syafiq bangun dari kerusi lalu membuntuti langkah Rayyan keluar dari pejabat dan menuju ke lot parkir.

Seperti biasa, kereta BMW i8 menjadi pilihan Rayyan untuk ke mana-mana. Dia selesa dengan kenderaan itu dan jujur, dia sayangkan kereta tersebut. Padanya, kereta itu sangat sesuai dengan imejnya.

“Nak drive?” tanya Rayyan kepada Syafiq.

Mendengar pertanyaan itu, pantas Syafiq menggeleng beberapa kali. Bukannya dia tiada lesen kereta tapi itulah, dia tidak suka memandu. Tambah-tambah lagi dalam kota raya, lagilah dia tidak mahu memandu. Penat nak hadap jem!

Melihat reaksi Syafiq, Rayyan ketawa. Tahu sangat kenapa Syafiq mengelak daripada memandu di kota raya. Padahal, bukannya dia tidak tahu yang Syafiq alah dengan hon. Sekali orang hon, sepuluh kali Syafiq hon balik. Alih-alih jalan raya jadi pesta perang hon.

Syafiq dan barannya berpisah tiada. Jadi, tak apalah. Biarlah dia jadi budak baik dengan kekal low profile dan selalu senyum.

Rayyan memandu dengan tenang menuju ke lokasi yang dikehendaki. Kedai roti canai terbang itu sebenarnya sebuah warung sarapan pagi sahaja tapi popular di sekitar kawasan tersebut. Hidangan aneka pilihan sarapan pagi membuatkan orang ramai sentiasa bertumpu ke kedai tersebut.

“Boss kenapa tak ajak Ace dan May sekali?” tanya Syafiq. Matanya fokus ke luar cermin, memerhati gelagat manusia pada awal pagi.

“Mereka dua tu kena guard Cik Muda Natalie. Awal pagi lagi keluar,” jawab Rayyan sambil pemanduannya semakin berhati-hati. Jalan yang dilalui itu sesak dengan orang ramai yang berjalan kaki, dan tidak kurang juga kereta dan motosikal yang padat di kawasan tersebut.

“Oh…” angguk Syafiq.

Mata Syafiq terarah kepada Rayyan yang tenang memandu. Dia suka naik kereta dengan bosnya itu. Rayyan seorang pemandu yang berhemah berbanding Ren Hau dan Grace. Kalau nak naik kereta dengan mereka tu, dia kena mengucap siap-siap sebelum naik. Mereka memandu lebih laju daripada pelesit! 

INFERNO BODYGUARD (TERBIT NOVEL FIZIKAL)Where stories live. Discover now