🔥 BAB 8 🔥

9.2K 792 112
                                    

SELAMAT pagi, Boss.” Ren Hau, Grace dan Syafiq serentak menyapa Rayyan yang baru sahaja masuk ke pejabat mereka.

"Pagi..." balas Rayyan bersahaja sambil kakinya laju melangkah ke pantri.

Dia rindu kepada kopi pejabat jenama AraLatte Coffee. Tanpa membuang masa, terus tangannya mengoyak paket minuman itu lalu menuangnya ke dalam cawan. Cawan itu kemudiannya diletakkan di bawah mesin air yang boleh dipilih sama ada air sejuk ataupun panas. 

Setelah air panas memenuhi cawan, dia mengacau perlahan air kopi itu. Semestinya bau semerbak aroma harum kopi memenuhi ruangan pantri. Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, Rayyan menyuakan cawan ke bibir.

Namun, belum pun sempat air kopi itu dicicip, muncul Eve di muka pintu dengan muka masam mencuka sambil bercekak pinggang. Melihat situasi itu, Rayyan terus sahaja meletakkan cawannya di dalam piring lalu menumpukan perhatiannya kepada Eve. 

“Boss. Rayyan. Rayyan Razien,” tutur Eve dengan tegas. Muncungnya ditarik panjang. Itu dia, angin moody minah ini sudah datang. 

“Ya. Ada apa, Cik Eve Campbell,” balas Rayyan dengan tenang. Dia sudah masak dengan perangai majikannya yang seorang ini.

You pergi ke mana semalam? Kenapa I call you tak jawab? I tanya tiga ketul ni pun mereka tak tahu,” serang Eve sekali gus menuntut penjelasan. Laju sahaja serangan soalannya dibedil kepada sahabat kereknya itu.

“Er...” Rayyan terjeda kata. Takkan nak cakap yang dia terlalu sibuk sampai tak sempat nak angkat call? 

Tapi dia memang sibuk sungguh pun. Sibuk mengintip jejak Hana yang bertemu dengan seorang wanita di restoran. Berdasarkan gaya Hana dan wanita yang dipanggil Puan Gayah, dia pasti wanita itu merupakan saksi kejadian pembunuhan Inspektor Khalid. Tapi, kenapa perempuan itu nampak bersungguh untuk menyelesaikan kes tersebut?

Sebenarnya bukanlah niatnya ingin mengintip perempuan itu. Namun, entah kenapa perasaan ingin tahu mengenai Hana kian lama kian membuak-buak dalam hatinya. Jujur, dia tidak pernah berasa begini kepada mana-mana perempuan. Dia tidak minat perempuan. Tapi dia bukan gay. Hanya saja dia tidak suka melayan. Kawan perempuannya begitu limited. Itu pun semuanya mulut bagai minta penampar. 

Tapi Hana ini dirasakan lain. Jantungnya berdetak laju apabila melihat si wartawan. Semalaman dia sukar untuk melelapkan mata dek terbayangkan wajah itu. Jenuh dia Google, jawapannya hanya satu. Jatuh cinta!

Dia rasa dirinya sudah tidak betul. Macam mana dia semudah itu boleh jatuh cinta sedangkan hatinya keras macam batu. Ini mesti Google yang salah sebab dia sentiasa betul. Tapi kalau Google yang betul, adakah sebenarnya dia sudah terjatuh cinta kepada wartawan sombong itu? Tapi itu mustahil. Hana bukan type dia. Sudahlah sombong, menjengkelkan pula. Galak betul mereka berperang mata semalam. Entahlah, tak tahu nak kata. Yang pasti, dia sudah ada nombor telefon peribadi wartawan itu. 

Hana sendiri yang tulis nombor telefon itu di kertas nota dan beri kepadanya semalam. Katanya mereka akan berjumpa lagi pada lain waktu untuk berbincang panjang. Lagipun, wartawan muda itu nampak macam tergesa-gesa ingin keluar dari pejabat.

“Aku ada kerja sikit. Kau tahu kan berita pasal syarikat kita? Kecoh kan masa sidang media hari tu?” jawab Rayyan dengan tenang sekali gus memancing perhatian Eve. Gadis baran ini tidak boleh dibiarkan lama rajuknya, nanti lagi parah semua orang di sini dikerjakannya.

INFERNO BODYGUARD (TERBIT NOVEL FIZIKAL)Where stories live. Discover now