26

3 0 0
                                    

Hidup kita ni, sedang mengalir dan tumpah dalam 'cawan' kehidupan yang disediakan-Nya.
Selagi kita hidup dalam kerangka syariat yang ditetapkan, maka insya-Allah tidaklah melimpah atau berkurang yang sepatutnya ada dalam 'cawan' tersebut. Bahkan sentiasa penuh dan cukup.

Justeru, yakinlah Allah jaga kita semuanya sepenuh masa. Sesekali diuji dengan keterbatasan
atau limitasi, dibuka pintu hati kita agar sedar bahawa kita semua masih punya 'senjata' yang tidak akan pernah habis pelurunya. Sebelumnya, bukan kita tidak miliki 'senjata' tersebut. Ada saja. Tapi tidak tahu bila harus mulai digunakan. Demikianlah, saat getir kehidupan menerpa,
Dia mahu kita belajar memanfaatkan 'senjata' yang semua orang ada.

Orang kaya, orang miskin, orang sihat, orang yang sakit, siapa pun – tiada had untuk menggunakan 'senjata' tersebut. Nikmat yang tak pernah habis melainkan setelah tercabutnya nyawa. Itulah nikmat punyai 'senjata' paling hebat – nikmat BERDOA. Berdoa dengan mewujudkan diri dan seluruh jiwa di dalamnya. Mengadu, merujuki, merayu, berkisah – apa jua permasalahan hati, apa jua yang merunsingkan kepala dan seumpamanya kepada Allah Azza Wajalla.

Tatkala ini, ada yang bergelar anak yang sedang gundah-gulana memikirkan keadaan ibu ayah
di kampung. Ada ibu bapa, yang dirundung risau dan sedih mengenangkan anak-cucu di bandar. Setiap kita, mempunyai isu rasa yang kita sendiri maklum benar keadaan semasanya. Dengan itu, buatlah apa yang terdaya kita perbuat. Berdoalah bersungguh-sungguh tanpa meletakkan limitasi memohon bantuan dan kekuatan daripada yang Maha Kuat, Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu.

Setelah berdoa, yakinilah sepenuh hati bahawa Allah akan berikan yang terbaik untuk kita. Bersedialah untuk menerima apa jua 'kebaikan' yang telah Allah tetapkan. Sediakan jiwa yang
lapang dan redha untuk berhadapan dengan apa jua kemungkinan. Kerana yang baik pada kita
itu, belum tentu baik. Allah jugalah yang Maha Tahu ke atas segalanya.

Insya-Allah. Seronok dan lega hati jika menyerahkan sepenuh urusan kepada Rabb yang mentadbir segalanya. Kita belajarlah untuk tersenyum walau dalam genangnya air mata. Usaha meyakini walau sesekali perasaan jadi celaru juga. Bercakap-cakaplah dengan Allah lewat doa-doa yang dipanjatkan. Insya-Allah, itu terapi bagi hati yang sering disapa sangsi.

Monolog JiwaWhere stories live. Discover now