Part 19

2.7K 399 38
                                    


Kinah berdiri tegak memandang penghuni bilik yang baru dimasukinya. Sedikit teragak mahu memulakan bicara. Wanita yang nampak sebaya dengan emak Kinah di kampung itu juga turut memerhati Kinah dengan pandangan tertanya-tanya.

"Ya? Cari siapa?" Lembut dan tidak bermaya suara wanita itu bertanya. Tetap menggagahkan diri walaupun jelas nampak dia tidak punya tenaga mahu beramah mesra dengan sesiapa.

Bergegas Kinah merapat ke sisi katil. Dicapai tangan yang bebas dari cucukan jarum. Tidak mahu wanita itu bergerak banyak, dia yang tunduk turun mencium kekura tangan itu.

"Assalamualaikum mak cik. Saya Saki -"

"Sakinah. Kawan Nain."

Serentak Kinah menoleh ke belakang. Bertemu pandang dengan Nain yang entah bila sudah masuk dan berdiri jauh sedikit di belakang Kinah.

"Nain!" Terus kedengaran teruja suara wanita yang separa berbaring di katil ketika itu. Bersemangat cuba bangun duduk.

Bergegas Kinah membantu seraya beralih sedikit menjauh untuk memberi laluan kepada dua beranak itu melihat satu sama lain tanpa halangan.

"Nain ..." Sekelip mata saja suara yang teruja tadi berubah sayu bila gerangan yang dipanggil tidak menyahut.

Nain telan liur. Dihela nafas besar masuk ke dalam paru-paru. Mungkin itu boleh membantu menghilangkan rasa kebas yang sedang merayap ke seluruh tubuh bila mendengar suara Mariam menyeru namanya.

Kinah pula berpaling ke arah jendela. Pura-pura lebih tertarik dengan langit biru di luar sana. Mendengar suara saja pun sudah membuat dia tak keruan, apatah lagi kalau dia melihat raut wajah ibu Nain ketika itu. Silap haribulan, Kinah dulu yang terhambur air mata. Memang Kinah keras hati. Tapi bila melibatkan orang tua, dia tak pernah mampu membekukan perasaan.

"Sini Nain. Sini dekat mama. Mama rindu nak peluk anak mama."

Allah ... mata Kinah terkejip-kejip menahan rasa suam yang muncul di mata. Kenapa dia pula yang terlebih sebak dengan pertemuan ini?

Nain masih berdiri di tempat yang sama. Jemari bergerak-gerak kecil menyentuh sisi seluar. Terbahagi antara perasaan yang mahu bersegera menyambut huluran tangan si ibu dan perasaan degil mahu terus memberontak.

Sedetik, matanya bertemu dengan mata Kinah yang menoleh sekilas lalu. Jangka masa yang pendek, tapi cukup untuk dia membaca apa yang bermain di dalam kepala teman Saila itu.

Kinah sedang memandang rendah padanya. Sedang menuduh Nain adalah anak yang tidak tahu bersyukur. Tidak belajar dari kesilapan. Masih tidur dalam rasa selamat yang tidak pernah takut memikirkan nyawa manusia bila-bila masa saja boleh ditarik.

Dibakar rasa tercabar, Nain akhirnya berjaya menggerakkan kaki yang sedari tadi beku melekat di lantai. Satu persatu membuka langkah sehingga akhirnya terhenti di sisi katil Mariam.

"Sini. Duduk dekat dengan mama." Mariam menepuk ruang kosong di tepinya. Mengajak Nain untuk duduk rapat di sisi.

Alang-alang sudah membuka langkah, Nain ikutkan juga permintaan Mariam. Duduk si sebelah kanan ibunya. Terus hujung jemarinya bersentuh dengan jemari Mariam di atas katil. Tiba-tiba rasa ralat. Sepatutnya sebagai anak, dia perlu menunjukkan hormat. Salam dan cium tangan si ibu. Tapi keadaan membuatkan semuanya kelihatan serba tidak kena.

"Mama macam ..." Nain berdeham. Kesat liur yang Nain telan masuk melalui kerongkong. Seperti pasir. Dia mahu bertanya tentang keadaan Mariam, tapi hanya dua patah itu saja yang mampu keluar. Belum sempat dia mengulang tanya, Mariam kembali bersuara.

"Anak mama."

Mata Nain bergerak mengikut pergerakan tangan Mariam yang menuju ke wajahnya.

"Zul Qarnain, anak mama." Dapat Mariam rasakan perbezaan suhu di situ bila hujung jemarinya menyentuh wajah si anak. Hangat pipi Nain membuatkan dingin di tangan terasa selesa. Berpindah ke seluruh tubuh dan menghapus habis rindu yang terpendam. Nain pulang!

Nain's Key (✔)Waar verhalen tot leven komen. Ontdek het nu