Part 1

7.1K 381 59
                                    

Scene ni dipetik dari salah satu scene dalam Mr.Rie punya Ms.Stress di mana Nain pertama kali jumpa Sakinah

...........................

Masuk ke dalam restoran yang dipilih untuk menyantap makan tengah hari, mata Nain terus tertangkap kelibat tiga wanita yang tadi ditemui di depan pagar tempat kerja Qairie. Laju kaki dihayun ke arah mereka.

"We meet again, ladies ..." Dengan penuh keyakinan dia menegur. Sekilas dia memandang wajah dua wanita yang serentak memandangnya. Hanya wanita yang tadi beria memuji Qairie saja menoleh ke arah bertentang.

"Eh, adik Encik Rie yang tadi tu kan?" Ramah wanita yang nampak paling senior di antara tiga wanita itu menegur.

Nain mengangguk kemas. Seperti biasa, tayangkan senyuman sejuta megawatt. Pasti akan berjaya mencairkan hati tiga wanita di hadapannya ketika itu. Dari cara mereka mendekatinya di kereta tadi lagi dia sudah dapat melihat gaya busybody dua wanita itu. Langsung berbeza dengan seorang lagi yang masih tak sudi memandang.

"Ini cik yang ada secret crush dengan my brother tadi kan?" Sengaja Nain menekan. Kepala senget cuba mengintai wajah wanita yang datangnya tadi bagaikan kilat. Beria mempertahankan Qairie sebelum menyambar dua temannya dan terus menghilang tanpa menjawab soalan Nain.

Mata mereka berlaga seketika bila wanita itu menoleh. Nain perasan, ada aura jengkel terpancar dari mata itu. Ditujukan khas untuknya.

"Encik ni adik ipar Saila kan?"

Wanita itu membalas dengan soalan yang berbeza. Tenang berlawan pandang dengan Nain.

"If you answer mine, I'll answer yours." Nain pun bijak bermain tarik tali. Cara wanita itu menilai dan menghakimi tanpa mengenali itu sedikit sebanyak membuatkan Nain ikut jengkel. Jual mahal!

"Tak, Encik Rie bukan secret crush saya. Encik ni adik ipar Saila ke?"

Tenang saja nasa suara wanita itu, tapi masih mampu membuat darah Nain naik dari paras normal.

"Yes." Hilang terus riak ramah mesra di wajah Nain.

Mengakui hal yang satu itu umpamanya seperti dia sedang memijak jari tangannya dengan tapak kaki sendiri. Mulut sendiri yang menjawab dan hatinya juga akan ikut sakit. Tapi kata mesti dikota. Jawapan wanita itu jujur, jadi dia juga perlu berlaku jujur.

"Dengar kan semua? Encik ni, adik ipar Saila."

Mata Nain mencerun ke arah tangan wanita itu yang terbentang di hadapannya. Seperti memperkenalkan dia pada dua lagi teman.

Siapa wanita ni? Tidak pernah seumur hidupnya Nain merasa diperlekehkan seperti ini.

Dia tidak sempat mengatur ayat baru bila wanita yang berlawan kata dengannya itu tiba-tiba bangun mengajak temannya pulang. Tangan naik membuat isyarat meminta laluan untuk keluar kerana Nain sedang menghalang laluannya.

"What's your name?" Tidak dapat ditahan mulutnya dari bertanya. Out of pure curiosity. Dia bertanya bukan kerana jawapan untuk soalan itu penting untuknya tetapi kerana ada rasa ingin tahu. Tingkah wanita itu sedang menarik rasa ingin tahunya.

Wanita itu memandang sekilas sebelum menyelit tubuh di hadapannya dan berlalu pergi. Jelas tidak berminat mahu berkongsi namanya dengan Nain.

Sempat Nain melirik wajah itu. Berkulit sedikit gelap. Hidungnya tinggi, tetapi tidak tajam. Sedikit bulat di hujung. Bibirnya kecil molek, langsung berbeza dengan bicaranya yang tajam menyelar. Matanya bulat kecil dengan kening yang sedikit lebat. Seperti pernah dilihat, tapi akalnya tak dapat mengecam sebarang nama untuk dipadankan dengan wajah itu.

"Kinah, dia tanya nama Kinah tu."

Sempat Nain terdengar yang paling senior itu menggesa si teman untuk menjawab soalannya, tapi wanita sombong itu menggeleng keras. Bersungguh tak mahu. Terus meluru keluar tanpa mempedulikan teman-temannya.

Tinggal Nain masih berdiri di tempat yang sama. Memerhati rakan-rakan sepejabat abangnya menghilang di balik pintu. Fikiran masih fokus pada wanita bermulut laju tadi.

Tertarik?

Nain geleng kepala. Tak. Bukannya cantik pun.

Tercabar?

Kali ini Nain mengangguk. Ya. Naik sedikit suhu kepala bila melihat cara wanita itu memandangnya. Dipandangnya Nain itu seperti sedang melihat semut. Kecil dan dalam sekelip mata boleh dipijak mati.

Nak cuba cucuk jarum?

Nain ketawa. Tapi dikawal bila sedar yang dia sedang kelihatan seperti orang sewel. Angguk, geleng dan ketawa seorang diri.

Cuba cucuk jarum? Oh please ... she's not in my league.

Lelaki yang namanya Zul Qarnain ini cuma sukakan wanita yang tubuh badannya berpotongan seperti model. Berkulit cerah, hidung terletak dan ulas bibirnya seperti delima. Sempurna luarannya.

Wanita berlagak itu, langsung tak punya ciri-ciri wanita pilihan Nain. Sangat berbeza!

Nain's Key (✔)Where stories live. Discover now