Dalam erti kata yang mudah-mereka adalah makhluk persilangan diantara teknologi mekanik robotik yang wujud dalam susuk tubuh makhluk biasa. Dan diantara ciri mereka berempat adalah kemampuan untuk bereplikasi dan menjelmakan diri menjadi wujud fizikal lain.

Berbeza dengan kewujudan android yang lain yang hanya berfungsi mengikut apa yang telah diprogramkan kedalam memori mereka, keempat-empat Shiya terbaik itu mempunyai daya penaakulan sama seperti bangsa lain tetapi memiliki kekuatan robotik yang sukar ditandingi.

Atas arahan para Petinggi Empayar, para pembunuh elit itu tidak akan teragak-agak untuk membunuh sesiapa sahaja bahkan sanggup membunuh diri mereka sendiri sekiranya mereka gagal dalam melaksanakan misi yang diberikan.

Mendengar hal tersebut, Ara berasa ngeri apabila membayangkan bagaimana teknologi yang dicipta untuk memudahkan kehidupan itu bertukar menjadi mesin pembunuh yang mengerikan.

Perihal Shiya dan Empayar pula membawa Ara kepada satu lagi perkataan yang membuatkan Ara tersedar bahawa betapa selama ini hidupnya hanya bergelumang madu dan dikelilingi oleh seluruh Rumah Agam dan Istana Besar tanpa mengetahui apa yang sedang berlaku di dunia luar daripada rengkuhan perlindungan lapan saudaranya di Rumah Agam sana.

Distopia. Begitu Andra menamakannya. Berbeza kali ini, pemuda itu tidak melanjutkan bicaranya tetapi sebaliknya menekan kombinasi tertentu pada jam tangan yang melingkari pergelangan tangan kirinya dan tiba-tiba sahaja ada imej hologram yang terpancar dalam cahaya putih kebiruan dihadapan mata Ara sendiri.

Kehancuran dan kemusnahan di mana-mana. Suara Andra berselang-seli diantara paparan imej hologram daripada jam di pergelangan tangannya.Ketika bangsa lain seperti Bangsa Zinxs, Bangsa Athos, Bangsa Nymph dan Bangsa Myrth menerima dengan tangan terbuka kedatangan para penziarah daripada Tanah Tandus Tidak Bertuan di sebelah Utara sana-ia adalah detik permulaan kepada kehancuran segala ketamadunan yang pernah dibina bersama oleh bangsa-bangsa tersebut.
Para penziarah tidak tahu diri tersebut mulai memecah-belahkan keharmonian antara kaum yang sedia wujud dengan menusukkan jarum halus persengketaan mereka sehingga pada akhirnya mereka berjaya menghancurkan dan memonopoli segala-galanya.

Bangsa yang tidak tunduk kepada mereka akan ditindas habis-habisan malahan mereka mengukuhkan martabat kaum mereka sendiri dengan memperkenalkan penempatan mengikut koloni tertentu dengan Empayar sebagai penguasa tertinggi.

Koloni-koloni yang tunduk kepada mereka akan diberikan segala bentuk kemewahan dan kesenangan sebagai imbalan kerelaan tanpa sedar mereka diperkudakan dan diperbudakkan sesuka hati oleh bangsa penziarah tersebut yang menjadi watak disebalik tabir dan topeng para Petinggi Empayar.

Sedang koloni yang tunduk dibawah telunjuk Empayar disogokkan dengan bermacam limpah kemewahan, para penduduk yang menentang pemerintahan kuku besi Empayar akan dibuang ke Koloni Okta yang tenat ujar Andra dengan tatapan mata yang nanar menyebabkan Ara terpegun beberapa detik.

Mereka terpaksa berhempas-pulas untuk meneruskan hidup dibawah pendindasan Empayar dan segala-galanya berada dalam keadaan serba kekurangan. Koloni Okta adalah tempat bagi mereka yang tidak lagi mempunyai harapan untuk hidup.

Kami diasingkan, dipinggirkan dan ditidas dengan kekejaman seperti layaknya makhluk yang tidak berharga,Andra berkata lagi dengan sinar mata yang kelam menyirat pelbagai rasa nan tidak terungkapkan dek kata-kata.

Malahan, ketika kami bangkit untuk menentang ketidakadilan-mereka mengancam kami dengan membunuh ibu bapa serta kaum keluarga agar kami berhenti untuk berjuang!

Ara mengetap bibirnya yang terasa kebas mendengar suara Andra yang menatap jauh ke dalam kegelapan malam. Sungguh. Anak ini masih terlalu muda untuk menghadapi rintangan-rintangan kejam begitu, bisik hati kecil Ara sambil mengerling Andra yang membisu buat seketika.

Dan jawapan Andra tatkala ditanya mengapa dia menjadi sasaran Shiya yang dihantar oleh Empayar, Andra tidak menoleh sedikitpun  tetapi suaranya yang perlahan sudah cukup untuk sampai ke pendengaran Ara membuatkan bulu roma Ara tegak kengerian.

Kerana Ara adalah harapan kami!

Diakhir pertemuan mereka itu, imej terakhir berupa deretan batu kasar yang tenggelam didalam rumput liar panjang dan berukir dengan nama-nama yang cukup dikenali Ara itu menghantar renjatan luar biasa kedalam jantungnya sehinggakan Andra terpaksa menyambut tubuh lembiknya agar tidak tumbang dan sepasang matanya terbelalak ngeri apabila Andra menganggukkan kepala mengiyakan pertanyaan tidak terungkap daripada Ara.

Eiiden
Aiiden
Mark
Ken
Ryu
Vixx
Rein
N.

" Ya.. " Sahut Andra sambil menundukkan kepala serendah-rendahnya bagaikan mahu menyembunyikan wajahnya daripada tatapan Ara yang membola. "Nisan."

Sungguh. Ara masih ingat nada suara dan riak wajah Andra ketika menatapnya dengan pandangan aneh dan bercampur-baur.

Dan, di situlah Ara kini. Berdiri menghadap permukaan tasik berkabus yang masih terasa sangat dinginnya sementara cahaya keperakan mulai mewarnai langit di sebelah Timur.

Dia tidak perduli sama ada Andra adalah ahli sihir yang mampu melihat masa hadapan ataupun apa sahaja kerana percubaan membunuhnya tempoh hari adalah bukti nyata pemuda tersebut tidak berbohong kepadanya. Apabila memikirkan deretan batu kasar yang terletak di sebarangan arah itu, hati Ara semakin padu dan tekadnya tidak akan berubah lagi.

Dia perlu mencari Kitab Mirria demi menyelamatkan lapan saudaranya di Rumah Agam sana sedangkan dalam masa yang sama ada ribuan orang lain sedang menggantungkan nasib dan kesinambungan hidup mereka ke
bahunya !

Seperti apa yang dikatakannya kepada Andra. Dia tidak pasti sama ada rancangan nya untuk mendapatkan Kitab Mirria tersebut akan berjaya tetapi sekurang-kurangnya jika dia terkorban, dia tidak akan mati  sebagai seorang pecundang dan dalam keadaan menyesal kerana tidak melakukan apa-apa semampu yang dia boleh.

Ara hanya mampu menggenggam kejap hulu pedang Armosnya apabila terasa rakit senget yang separa tenggelam itu perlahan-lahan bergerak menjauhi tebing tanpa ada sesiapa yang menarik atau menolaknya.Tebing landai yang becak semakin lama semakin berbalam didalam kabus yang tidak pernah kunjung tipis.

Dan, apabila rakit tersebut terapung perlahan dibawa arus- Ara sedar bahawa barangkali itu adalah kali terakhir dia menatap wajah lapan saudaranya di Rumah Agam itu!

+             +              +

Last Hunter :  DistopiaWhere stories live. Discover now