BAB 4

214 9 0
                                    


HATI MEKAR SETAMAN

ZAFEYA menghempas tubuh ke tilam empuk itu. Bilik penginapan yang menghadap laut itu benar-benar mendakapnya dengan selesa. Penat dan rasa lenguh tidur di atas kerusi besi di jeti bagai terbayar dengan gantian tilam empuk itu.

Matanya dipejam sebelum dibuka semula. Setiap kali dia menutup mata, ada wajah yang bertandang. Wajah lelaki di jeti tadi. Dia sempat mencuri pandang wajah lelaki itu namun tidak dapat melihat sepenuhnya. Lelaki itu menutup separuh wajahnya dengan kain serban dan bertopi. Wajah itu terlihat penat namun dia bertahan untuk tidak terlelap. Terkadang dia menarik serban itu menutup seluruh wajahnya.

Zafeya seperti pernah lihat wajah itu, tapi tidak pasti siapa. Bukan sekali. Tapi berkali-kali. Yang dia pasti sudah banyak kali matanya terpaku pada bening mata itu.

Zafeya tidak jadi berbaring. Dia berjalan ke arah jendela. Dari bilik resort yang diberi nama Sarang itu, pemandangan hutan melatari hingga ke saujana laut. Angin laut yang menderu membawa semilir petang yang nyaman. Dia membiarkan seluruh angin itu menampar lembut wajahnya.

Kenapa lelaki itu angkut adik-adiknya? Ke anak-anaknya?

Zafeya menyoal sendiri. Dia mahu berborak dengan gadis remaja itu tapi tiada kesempatan. Hmm. Takkan lelaki tak begitu tua itu sudah ada anak dara belasan tahun? Atau itu isterinya? Tapi ketika berkirim salam, gadis remaja itu menyatakan akan menyampai salam kepada abangnya.

Iskk, kenapa dia memikirkan hal itu? Bukankah lebih baik dia tidur saja bagi menghilangkan lelah. Kemudian menikmati segala kemewahan percutiannya ini. Hal lelaki itu bukan begitu penting. Dia mahu balik ke sini untuk cari ketenangan, bukan menyesakkan fikiran untuk memikir hal orang lain!

TOK WA beransur sihat. Lebih sihat dari sebelumnya. Itu kata Najlah. Firman pun nampak Tok Wa tidaklah sakit begitu kuat. Sudah boleh bangun dan bergagah menyedia makan tengah hari. Puas ditegah tapi degil orang tua itu tak juga mampu dilawan.

"Kamu semua rehat saja. Biar tok saja yang masak. Kamu semua dah tempuh perjalanan yang jauh, tentu badan penat." Bebel Tok Wa. Anak cucunya yang berempat ini tentu keletihan, terbang jauh dari Indonesia.

"Tok Wa yang kena rehat. Biar Najlah saja yang masak tengah hari ni. Naj pun tak ada apa-apa urusan hari cuti macam ni."

"Biar Suha dan Fatma tolong ya," pinta Nasuha. Tangannya laju mencapai pisau. Labu di atas meja itu dikopek. Fatma hanya termanggu. Ajwad pula dari tadi berdiam diri, turut memerhati Tok Wa. Rasa sedikit asing mengenali wajah tua itu.

"Ajwad umur berapa?" soal Tok Wa. Dagu Ajwad dicuit. Ajwad merapat kepada Nasuha. Melihat keadaan Ajwad yang kelihatan yang seprti mahu menyorok itu, Nasuha pantas menjawab; "Kan tok bertanya kamu Ajwad?"

"7." Jawab Ajwad setelah dicuit Nasuha.Tok Wa tersenyum. Ini kali pertama dia bersua cucunya yang bernama Ajwad dan Fatma itu. Ketika keluarga Abdullah Saddiq berpindah ke Surabaya, Nasuha juga masih kecil. Setahun. Rizki 7 tahun dan Firman yang terus menetap bersamanya seusia 15 tahun. Itu yang Tok Wa ingat.

Suasana di dapur meriah. Kedengaran celoteh Nasuha yang peramah itu. Berselang-seli dengan suara Ajwad yang sudah mula berani bercakap dengan Tok Wa. Sesekali terdengar ketawa lunak Najlah.

Firman yang bersandar di kerusi malas itu mengambil peluang untuk memurajaah hafalan Al-Qurannya. Namun dia perlahan-lahan terlelap. Dia hanya terkejut bila Tok Wa menepuk bahunya.

"Makanannya udah sedia mas." Nasuha memanggilnya.

Makanan tengahari itu dinikmati penuh selera. Dia lahap sahaja. Begitu juga Nasuha, Fatma dan Ajwad. Tok Wa lebih banyak celoteh bercerita perihal kampung. Nasinya dari tadi hanya terusik sedikit. Lebih banyak bercakap dari makan. Najlah pula tidak banyak bersuara. Nasinya juga terusik sikit. Dia lebih leka memerhati Firman yang begitu berselera.

Firman terus menambah nasi. Betul-betul dia menikmati makan tengah hari itu. Kalau tak kerana lapar sekalipun, masakan itu dirinduinya. Masak lemak labu Tok Wa memang digemarinya.

Ketika dia ligat menyuap nasik ke mulut, terasa ada pandangan yang tancap ke arahnya membuatkannya sedikit segan. Suapan diperlahankan. Memerah wajahnya.

Lebih menambah rasa segannya bila mereka hampir berlaga tangan ketika mahu menceduk gulai lemak itu. Cepat-cepat dia menarik tangannya. Najlah pantas saja tolong mencedukkan gulai lemak itu ke dalam pinggannya.

"Ajwad nak?" soal Najlah lembut sambil mengaju senduk berisi gulai lemak itu ke arah Ajwad. Ajwad menghulur pinggan. Makan tengah hari itu berakhir dan Najlah meminta diri. Firman mengucap terima kasih dan menghantar kepergian Najlah dengan senyuman. Senyumannya hanya sekadar menghargai kedatangan Najlah menyertai mereka makan tengah hari itu tapi pada Najlah, ia bisa membuatkan hatinya mekar setaman.

TERHIMPUN RINDU~dalam  sujud cintakuWhere stories live. Discover now