PROLOG

559 18 0
                                    

Kakinya tidak henti melangkah walaupun perlahan. Rasa sakit yang mencengkam betis kirinya tidak dihiraukan. Matanya melilau mencari tempat persembunyian dengan langkah terenjut-renjut. Kadangkala kepalanya menoleh ke belakang mencari lokasi 'mereka'. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk bersembunyi di sebalik batang pokok kelapa sawit yang agak besar. Dia duduk sambil menutup luka di betis supaya tidak banyak darah yang keluar. Berkerut dahinya menahan sakit. Peluh yang memenuhi seluruh wajah langsung tidak di peduli apatah lagi rentak jantung yang dari tadi tidak teratur.

"Kau nak lari mana?!" Ada suara yang memanggil jauh dari lokasi persembunyian.

"Jangan lah takut, kitorang tak buat apa-apa pun!" Suara lain pula yang bergema dari arah lain. Ada ketawa sinis di akhir kata.

Tangan menggenggam erat kamera Canon 5D Mark IV miliknya yang tersangkut di leher. Matanya merenung jauh ke arah seorang lelaki bertopi hitam yang sedang gigih mencarinya. Di tangan lelaki itu memegang kemas Glock 19. Rahang diketap.

"Memang sah lah korang nak bunuh aku." Katanya perlahan sambil merenung betis yang cedera akibat satu das tembakan yang dilepaskan oleh lelaki itu.

Matanya meneroka sekitar kawasan namun hampa tiada siapa yang berada di ladang kelapa sawit ketika ini kecuali dia dan tiga orang lelaki yang memburunya. Dia mendongak memandang langit senja. Keletihan.

"Keluar lah, bangsat! Aku tak de masa nak main sorok-sorok." Gertak seorang lagi dari mereka. Mendengar suara keras itu yang seakan 10 meter darinya membuat jantung mula berdegup lebih kencang.

"Aku kena pergi dari sini." Bisiknya . Dia bangun dari tempat persembunyian. Dia berasa tidak sedap hati berlama-lama di situ. 

"Nak pergi mana tu?" Meremang bulu roma mendengar suara itu. Perlahan dia menoleh belakang sebelum satu sepakan hinggap di pipi kanan. Berdesing kepala. Dia jatuh tersungkur ke tanah.

"Woi! Sini!" Lelaki itu melambai tangan ke udara memberi isyarat kepada dua orang rakannya. Dengan keadaan lemah, dia lihat ada tatu ular yang melingkar pada leher lelaki ini. Tatu tersebut membuktikan lelaki ini adalah orang yang sama pada malam itu. Malam yang penuh tragik. Pandangan dia dan lelaki ini bertaut. Mata lelaki tersebut menangkap luka di betis kirinya. Tanpa belas kasihan, luka tersebut dipijak perlahan.

"ARGHH!!" Dia menjerit nyaring. Darah mengalir dengan lebih banyak. Gigi diketap menahan sakit.

"Tu lah, kita orang kata jangan lari." Kata seorang lelaki berkepala botak, rakan si lelaki bertatu. Masih tidak berputus asa, dia bangun dari pembaringan untuk melepaskan diri. Namun, kaki lelaki bertatu pantas menendang buku lali kanannya. Tersembam dia ke tanah. Dengan sekali tendangan kaki kanannya terasa kebas dan berdenyut-denyut. Walaubagaimanapun, kamera kesayangannya dipeluk erat tidak mahu dirosakkan. Kamera ini penting baginya...dan penting juga bagi mereka.

Lelaki tadi mencangkung dihadapannya sebelum rambut pendeknya ditarik kasar. Terdongak kepalanya memandang sepasang mata sepet milik lelaki ini. Pemilik mata coklat hazel direnung tajam. Penuh kebencian.

"Apa nama kau?" Lelaki ini menyoal tetapi tidak dijawab. Tubuhnya semakin lama semakin lemah disebabkan darah yang banyak keluar dari betis kiri. Kemudian, lelaki tadi meraba poket seluarnya lalu menarik keluar sesuatu. Dompet itu dibuka terpampang kad pengenalan.

"Zariff Qays Bin Zainal" Lelaki ini membaca namanya. Sepasang mata hazel tajam menikam Zariff sebelum bergerak pada kamera di tangan Zariff. Lelaki ini cuba merampas kamera tersebut namun Zhariff memeluknya kuat. Dengusan dilepaskan, tangan lelaki ini mencengkam belakang kepala Zhariff supaya mendongak memandangnya. Penumbuk kanan diangkat tinggi lalu dihayun padu ke leher Zhariff, paling tepat, pada halkumnya. Sakit bukan kepalang! Dia terbatuk kecil. Bagaikan ada seketul batu besar yang melekat pada kerongkong. Kamera di tangan Zariff terlepas. Kepalanya ditolak kasar lalu tersembam ke tanah. Tercungap-cungap dia mengatur pernafasan. Tekaknya terasa perit yang teramat. Dalam keadaan begini dia teringatkan keluarganya. Perlahan-lahan air mata mengalir di pipi.

Lelaki di depannya merampas kamera tersebut lalu diberikan kepada si lelaki botak. "Kau check, ada ke tak." Arahnya. Rakannya menurut arahan lalu membelek kamera. Jarinya laju menekan butang kamera, mencari sesuatu. Zariff tahu apa yang dicari oleh mereka. Tidak lama kemudian rakannya mengangguk.

"Ada" ujar rakannya pendek sambil memulangkan semula kamera itu kepada lelaki bertatu. Lelaki ini menyambut lalu mengeluarkan SD card yang tersimpan di dalam kamera. Tanpa membuang masa dia mematahkan SD card itu menjadi dua lalu di baling jauh. Hilang di sebalik semak.

Settle. Zariff yakin kerja utama mereka sudah selesai. Sekarang kerja mereka untuk 'menghapuskan' dirinya. Mereka bertiga merenung kosong dia yang sedang terbaring lemah. "Kau nak hidup tak?" Soal lelaki tadi. Zariff berkerut melihat mereka

"Kalau nak kau kena melutut and then cakap..." Lelaki itu melekap kedua belah tangan lalu digosok. "...jangan bunuh saya bang. Cakap je abang nak apa...jangan bunuh saya. Saya merayu..." Sambil sengaja membuat mimik muka orang yang sedang merayu.

Zariff tergamam.

Dua lelaki di sebelahnya tersenyum sinis melihat aksi rakannya. "Bangang" Maki si lelaki bertopi lalu disambut helai tawa mereka. Ni bukan kali pertama Zariff mendengar permintaan itu. Permintaan yang sama pada malam itu. Tiba-tiba rasa marah meluap dalam hatinya. Zhariff ingin membalas kata tapi pernafasannya mula tidak teratur. Nafasnya tercungap-cungap. Cukup payah untuk dia bersuara.

Kenapa dengan aku ni?

"Nak mampus dah ke" Soal si pemilik mata hazel. Dua orang rakannya tergelak kecil.

"Dah bengkak lah tu." Ujar lelaki yang memakai topi. Mereka tersenyum senget.

"Aku tak nak buang masa..." Lelaki bertatu mengeluarkan mengeluarkan Beretta 92 yang tersisip dipinggang. Slide ditarik, menghala tepat pada dahi Zhariff.

"...aku bagi kau lima saat untuk kau hirup udara segar kat sini." Air mata Zhariff tumpah.

"1" Lelaki itu mengira.

"2"

"3"

"4"

Matanya dipejam rapat, satu persatu wajah ahli keluarganya muncul di layar fikiran.

"5"

Maafkan Riff, Mama...

BANG!!

KATARSISWhere stories live. Discover now