BAB 9

199 4 0
                                    

9

"KAK Deela, naiklah! Uncle Amir nak bawak kita pergi makan kat restoran. Yaya tak nak makan nasi campur kat gerai Pak Tam lagi, nanti sakit perut." Aleya menyerunya dari dalam kereta Tengku Amirul apabila melihat Adeela seolah-olah enggan naik ke kereta.

Adeela naik benci melihat sengihan yang tersungging di bibir Tengku Amirul. Kenapalah mama hantar dia ni jemput kami, hatinya berbisik.

"Naiklah, Deela." Pujuk Tengku Amirul. "Kalau Deela tak percaya, biar saya telefon mama Deela supaya Deela boleh cakap dengan dia."

Tengku Amirul segera menghubungi Sofea. "Fea, ni Deela nak cakap dengan you." Katanya sambil menghulurkan telefon bimbitnya ke arah Adeela.

"Hello, mama. Kenapa tak datang jemput kami?" sergahnya.

"Mama kat office lagi ni. Pergilah makan dengan Uncle Amir, mama dah izinkan dia bawa Deela dan Yaya. Okeylah, Deela, mama sibuk ni. Jumpa kat rumah malam nanti. Bye."

Wajah Adeela semakin masam mencuka. Serasa ingin saja dia mencampakkan telefon mahal yang digenggamnya itu ke tanah. Dengan wajah cemberut dia membuka pintu kereta lalu duduk di sebelah Tengku Amirul yang memegang stereng.

Eeiii... kenapa dia ni asyik tersengih-sengih pandang aku? Bencilah!


ADEELA rasa langsung tidak berselera hendak makan. Bukan kerana makanan di restoran itu tidak sedap, sedap... tapi kerana dia tidak menyukai lelaki yang sedang duduk di depannya. Dia dapat merasakan renungan tajam yang dilemparkan Tengku Amirul ke arahnya. Dan, apabila mata mereka bertaut, Tengku Amirul akan tersengih-sengih pula.

Cara lelaki itu melayani dirinya dengan Aleya juga berbeza. Adeela perasan, kalau dengan Aleya, dia membahasakan dirinya 'uncle', tapi kalau dengannya, cukup 'saya' saja.

"Kenapa tak habiskan makanan tu, Deela? Tak baik membazir tau." Tegur Tengku Amirul apabila melihat Adeela menolak pinggan yang masih belum luak isinya itu, ke tengah meja.

"Tak seleralah!" Kasar sahaja suaranya.

"Tak selera ke, tak sukakan saya?" usik Tengku Amirul.

"Dua-dua!"

"Nasib badan, dah orang tak suka." Getus Tengku Amirul sambil terus bermain mata dengan Adeela.

Usai makan, mereka melangkah keluar dari perut restoran. Ketika sampai di depan kedai telefon bimbit, langkah Tengku Amirul tiba-tiba terhenti.

"Deela, kalau saya hadiahkan Deela telefon bimbit, nak tak?"

"Tak payahlah membazir. Tak baik!" Adeela membalas. Kata-katanya itu buat Tengku Amirul ketawa kecil.

"Untuk Deela, saya sanggup buat apa aje." Ungkap Tengku Amirul agak hampir ke telinga Adeela.

"Isy, apa ni? Saya bagitau mama nanti, taulah nasib kau." Ugut Adeela.

"Kenapa... kenapa Deela bencikan saya? Saya sangat sukakan Deela. Suka yang tersangat-sangat!" Terus-terang dan tanpa bertapis-tapis lagi, Tengku Amirul meluahkan isi hatinya. Langsung tidak dipedulikan wajah Adeela yang masam mencuka.

"Mungkin mama tak tau sikap sebenar kau. Tapi aku tau! Dan, sebab kaulah jugak papa dan mama aku bercerai. Lepas ni kau tak payahlah susah-susahkan diri kau kerana kami lagi. Aku jugak tak sudi tumpang kereta kau lagi."

Hati Tengku Amirul sakit mendengar luahan Adeela itu, tetapi didiamkan saja. Dia tidak mahu menyiram minyak ke api kelak nanti kebakaran semakin marak. Lebih baik menjadi api dalam sekam, membakar dalam diam.

AWEKKU KEMBARWhere stories live. Discover now