BAB 3

361 5 0
                                    

3

ANNESSA sudah mampu menerima sebuah hakikat terhadap perpisahan yang dipaksakan ke atas dirinya dan juga Adeela. Memang perit pada mulanya. Namun, lama-kelamaan dia semakin pandai mengunyah kenyataan walaupun kadangkala kenyataan itu sepahit jadam.

Dia dan Adeela harus berpisah. Itu adalah syarat yang telah diberikan oleh Encik Zikri untuk melepaskan Puan Sofea daripada sebuah ikatan. Dia dan Adeela harus berkorban supaya adik mereka, Aleya, yang masih perlukan kasih sayang seorang ibu, tidak dipisahkan daripada Puan Sofea.

Ya! Perceraian itu membuatkan mereka menderita. Perpisahan itu membuatkan mereka sengsara.

"Kalau ditakdirkan aku berkahwin nanti, aku takkan bercerai dengan suami aku walau apapun alasannya. Aku tak nak anak-anak aku nanti terima nasib macam kita." Begitulah luahan rasa Adeela beberapa hari selepas papa dan mama mereka disahkan bercerai.

Annessa hanya mampu tergelak. Perceraian papa dan mama membuatkan mereka berdua jadi fobia terhadap ikatan yang dipanggil perkahwinan. Apa gunanya berkahwin kalau kemudiannya terpaksa mengambil keputusan untuk bercerai? Yang lebih menderita adalah anak-anak seperti dia, Adeela dan juga Aleya.

Orang dewasa tidak pernah terfikir impak perceraian itu terhadap emosi anak-anak. Mereka lebih menurut kata hati. Mudah cuci tangan atas kesilapan yang telah mereka lakukan dan kemudiannya meneruskan hidup bagai tiada apa-apa pun yang berlaku.

"Macam mana kalau suami kau pukul kau setiap hari? Sanggup ke kau bertahan semata-mata kau takut bercerai dengan dia?" duga Annessa. Sengaja mahu melihat reaksi kembarnya.

"Kau ni pun satu, Anne! Takkan aku nak cari suami kaki pukul pulak? Kalau nak cari suami pun, carilah orang yang baik-baik."

"Manalah tahu! Kata orang, cinta tu buta." Tukas Annessa. Ketika itu dia sempat membayangkan wajah papanya. Encik Zikri baginya adalah seorang lelaki yang paling baik di dunia ini, replika seorang bapa yang hebat. Romantis, penyayang, amat mengambil berat dan tidak pernah lupa pada tanggung jawabnya sebagai seorang ketua keluarga.

Tetapi, kenapa lelaki seperti papanya juga tidak boleh dipercayai?

"Cinta tu tak buta, Anne. Cuma orang yang sedang bercinta tu yang sengaja membutakan mata hati mereka." Adeela pantas menjawab. Jawapan jiwang karatnya itu membuatkan mereka berdua terkekeh-kekeh di restoran makanan segera tersebut.

"Jadi kau rasa selama ni, mama sengaja membutakan mata hatinya terhadap papa?" soal Annessa.

Adeela jungkit bahu. "Aku tak tahu apa masalah mereka berdua. Mereka saling tuduh-menuduh. Aku tak tahu mana satu nak percaya. Nak percaya mama ke, nak percaya papa? Apa pandangan kau, Anne?"

"Aku rasa papa yang bersalah. Papa kahwin satu lagi tanpa pengetahuan mama, tu jelas kan? Tapi tuduhan papa terhadap mama tak tentu asas kebenarannya."

"Entahlah papa, tu! Senang-senang aje dia tuduh mama angaukan lelaki lain. Apa buktinya?" ujar Adeela sebelum mengeluh panjang. "Anne, macam mana perempuan tu?"

Annessa menarik muka masam. Dia tahu 'perempuan' mana yang dimaksudkan oleh Adeela. Sudah tentulah perempuan yang menjadi dalang sehingga terpisahnya papa dan mama mereka.

"Ceritalah sikit kat aku. Cantik ke orangnya sampaikan papa sanggup berlaku curang pada mama?"

Annessa membayangkan wajah Puan Nani. Perempuan yang dikahwini oleh papanya itu memang masih muda. Tapi kalau hendak dibandingkan dengan mamanya, Puan Sofea jauh lebih cantik daripada Puan Nani.

Dia sendiri tertanya-tanya apakah kriteria yang ada dalam diri Puan Nani sehingga papanya sanggup menduakan mama? Baginya, manusia ketiga itu tiada kelebihannya. Satu-satu kelebihannya ialah dia sentiasa ada di rumah untuk menyambut kepulangan papa dari tempat kerja saban petang.

AWEKKU KEMBARWhere stories live. Discover now