Sekali lagi Adam akur. Kepala stetoskop diletakkan di belakang tubuh Adam.

"Tarik nafas dan lepaskan perlahan-lahan, ya?" suruhnya. Bagai orang yang terkena jampi, Adam hanya menurut sahaja.

"Letakkan tangan Encik Adam di sini, saya nak cek tekanan darah."

Tangan terus diletakkan di atas meja sedang mata tidak berkalih melihat doktor muda di hadapannya itu.

"Okey." Alat memeriksa tekanan darah dibuka dan duduknya dibetulkan.

"Maaf, saya sentuh tangan Encik Adam sebab saya nak check degupan nadi."

Adam hanya mengangguk sahaja. Tangan masih dihulurkan.

Selesai memeriksa semuanya, Aireen berdeham. Adam dipandang sekilas sebelum dia bersuara semula.

"Suhu demam Encik Adam agak tinggi. 40 darjah celcius. Tekanan darah normal. Denyutan nadi juga normal. Tekak Encik Adam merah dan bengkak sedikit," beritahunya panjang lebar dan menuliskan sesuatu di atas kad perubatan Adam.

Adam betulkan duduk dan bersandar ke kerusi. Doktor muda yang sedang menulis sesuatu di atas kad perubatannya dipandang. Cantik orangnya. Kulit putih bersih. Bermata redup dan manis wajahnya. Bukan itu sahaja, bicaranya juga lembut dan sedap didengar. Mata tertala ke arah jari-jemari runcing doktor itu pula. Terpandangkan cincin yang tersarung di jari manis doktor muda itu, Adam melepaskan keluhan dalam hati. Hurm...Sudah ada yang punya rupa-rupanya, bisiknya. Tersedarkan sesuatu, Adam beristighfar dalam hati. Adam, kau lupa yang kau juga sudah berpunya? marahnya kepada diri sendiri.

"Hasil pemeriksaan saya, Encik Adam demam panas jadi saya akan berikan ubat demam, antibiotik, ubat selesema dan ubat batuk. Antibiotik Encik Adam kena habiskan dan Encik Adam perlu banyakkan berehat. Minum air masak banyak-banyak dan kurangkan makanan yang berminyak." Panjang lebar Aireen memberi nasihat. Adam dipandang semula dan kala itu pandangan mereka bertaut. Terkedu, Aireen terus mati kata-kata.

Senyap.

Tidak selesa dengan keadaan itu. Adam berdeham dan kepalanya ditundukkan memandang lantai. Dada yang berdebar diusap sekali lalu. Bimbang andai doktor di hadapannya itu perasan akan kegugupannya tika itu.

Tersentak, Aireen terus kalihkan pandangan ke atas meja semula. Dalam kalut kad perubatan Adam dipandang semula dan perlahan-lahan nafasnya dihela untuk meredakan debaran yang semakin kuat terasa.

"Itu saja, doktor?" Adam bertanya memecah kesunyian.

Aireen menoleh ke sebelah semula.

"Encik Adam nak MC?" Teragak-agak dia bertanya dengan suara yang bergetar.

Adam mengangguk.

"Saya rasa saya perlukan rehat," ucapnya.

Tidak membalas kata-kata lelaki itu, Aireen terus mencapai buku medical leave di sudut kiri meja dan mula menuliskan sesuatu.

"Saya beri Encik Adam cuti dua hari. Nanti Encik Adam ambil di depan, ya."

Adam mengangguk.

"Terima kasih, doktor," ucapnya dan terus berdiri.

Aireen hanya pamer senyum dan kepalanya dianggukkan perlahan.

"Saya minta diri dan assalamualaikum." Sebaik meminta diri, Adam terus keluar.

Terdengar pintu ditutup, Aireen hela nafas. Matanya dipejamkan dan dadanya diusap untuk meredakan debaran dan kekalutannya sejak tadi. Allah...

"Doktor okey tak ni?"

Terdengar suara Fazura menegurnya, Aireen buka mata semula.

"Doktor tak sihat?" Fazura bertanya lagi.

Laju Aireen gelengkan kepala.

"Ermmm... Tak... Saya... Ermmm... Saya okey," balasnya dengan senyum yang dibuat-buat.

"Oh ya, ini kad Encik Adam." Kad pesakit Adam diserahkan.

"Dan ini mc Encik Adam."

Fazura mengambil kad dan surat cuti sakit yang dihulurkan sebelum beredar. Dan Aireen masih lagi tergamam dengan pertemuan yang tidak disangka itu. Pertemuan pertama selepas mereka sah menjadi tunangan.

"Aku jumpa dia dan dia tak kenal aku pun," ucap Aireen teruja. Keluar sahaja dari klinik Zarul, dia terus menghubungi Fazrin untuk berkongsi apa yang berlaku. Telefon bimbit diletakkan rapat di telinga dan dikepitkan dengan bahu. Pintu kereta dibuka dan tubuh diloloskan ke dalam perut kereta. Telefon bimbit dipegang semula dan enjin kereta dihidupkan.

"Really?" Terdengar kuat suara Fazrin di telinga. Aireen tergelak.

"Seriously," balasnya sepatah.

"Takkan dia tak tengok gambar kau?"

"Entah, tapi riak dia memang selamba macam tak ada apa-apa. Aku pula yang kalut tadi. Buat malu aje sampai stetoskop pun terjatuh," kutuknya kepada diri sendiri. Kepala digeleng.

Terdengar kuat Fazrin tergelak di telinga. Siap dengan pakej mengekek-ngekek.

"Faz..."

"Sorry..."

"So, dia macam mana orangnya?" Fazrin langsung tidak melepaskan peluang bertanya.

"Okey kut sebab aku tak sempat nak tengok dia betul-betul walaupun duduk berdepan. Serius aku rasa macam orang bodoh tadi. Arghhh! Malunya aku, Faz." Aireen melepaskan perasaan bersama helaan nafas panjang. Dapat peluang berdepan begitu langsung dibiarkan. Demi Tuhan, dia terkejut sangat tadi.

"Relakslah. Kalau aku pun kalut. Aku rasa lepas nikah nanti kalau dia ingat balik yang dia pernah jumpa kau mesti dia menyesal tak cuba kenal kau dari awal. Dapat tunang cantik kut. Entah-entah, lepas nampak kau, melompat-lompat suka," usik Fazrin dengan tawa kecil.

Aireen turut tergelak.

"Imaginasi kau memang keterlaluan kadang-kadang. Tak ada maknanya orang ada rupa macam tu nak hairan. Entah-entah dia kenal lagi ramai kawan yang cantik-cantik dekat tempat dia kerja tu," balasnya merendah diri.

"Cuba jangan merendah diri sangat, Cik Aireen. Kau lupa yang kau tu dulu masa belajar pun menjadi kegilaan ramai?"

"Kau ni suka melebih. Sudahlah, aku nak balik."

"Aireen, persiapan majlis kau nanti macam mana? Ada apa-apa yang perlukan pertolongan aku tak?"

"Kenduri sederhana aje, Faz. So far aku boleh manage. Lagipun masih ada sebulan lebih lagi," balasnya lembut. Setakat akad nikah dan majlis persandingan kecil sahaja bukannya majlis gilang-gemilang pun.

"Tak lama lagi tu. Nanti kalau perlukan bantuan aku, bagi tahu," pesannya.

"Okey, Faz. Thanks," ucapnya dan salam dihulur.

Sebaik Fazrin membalas salam, talian dimatikan. Telefon bimbit terus dicampakkan ke dalam beg dan bibir terus menguntum senyum.

"I saw you again, future husband!" bisiknya teruja. 

UTUSAN CINTA BUAT ADAMWhere stories live. Discover now