Bab 6

10.2K 52 0
                                    

Rimas dengan suasana bingit di luar kanopi, Aireen terus masuk semula ke dalam rumah. Nasib baik kerjanya menghias meja makan berdamai pengantin sudah siap, kalau tidak pekak telinga dia mendengar bingit lagu-lagu pengantin yang sedang dipasang ketika itu. Maklumlah, dia bukannya suka dengan suasana hingar-bingar begitu. Lagipun mendengar lagu-lagu selamat pengantin baru begitu boleh bikin anak dara tua macam dia emo jadinya.

"Adam!"

Saat telinga menangkap nama Adam dilaung, Aireen terus tidak jadi melangkah masuk. Spontan itu, kepala ditoleh mencari kelibat pemilik nama yang dipanggil tadi. Magiknya nama Adam sehinggakan setiap kali mendengar nama itu kepalanya pasti menoleh untuk kali yang kedua. Adakah orang yang bernama Adam itu lelaki yang sama yang menjadi perhatiannya sejak beberapa bulan itu? Hati berbicara sendiri.

"Adam!" Terdengar nama tersebut dilaung lagi, Aireen semakin meliarkan pandangannya ke sekeliling. Sebaik empunya diri menyapa pandangan, senyum di bibir terus terukir. Hurm... Betullah dia orangnya. Orang yang sama dilihatnya di tangga masjid dan orang yang sama ditemui di Berjaya Megamall tempoh hari, desis hatinya dengan senyum meleret. Tidak jadi hendak masuk, setiap perlakuan lelaki bernama Adam itu diperhati penuh minat.

Melihat gaya lelaki itu berbicara, senyumannya dan tawanya, entah kenapa hatinya berdebar sendiri. Sudah jatuh cintakah dia? Arghhh! Mana mungkin dia jatuh cinta dengan lelaki yang tidak pernah dikenali? Tetapi demi Tuhan, sikap lelaki itu benar-benar membuatnya terpikat. Apa tidaknya, pertemuannya dengan lelaki itu selama ini bukan di sembarangan tempat tetapi di rumah Allah. Biar hanya memandang dari jauh, itu sudah cukup membuat hati perempuannya terusik dan terpikat.

"Asyik sangat tu, tengok siapa?" tegur Mak Cik Liza dan bahu anak saudaranya itu ditepuk. Mata turut meliar melihat ke arah mata Aireen tertala.

Terkejut bahunya ditepuk tiba-tiba, Aireen tersentak dan terpinga-pinga.

"Mak ngah ni. Terkejut Una." Dadanya diusap untuk meredakan degupan. Haih! Mak ngah ni kacau daun betul. Hati membebel geram.

"Hurmmm... Anak teruna siapa yang kamu intai tu?" Mak Cik Liza jongket kening. Beria-ia benar direnungnya anak teruna orang. Tapi yang mana satu orangnya dia pun tidak tahu maklumlah, ramai gerangannya di situ.

"Haishhh! Mana adalah, mak ngah. Una tengok hiasan meja makan damai tu," dalihnya membela diri.

"Yalah tu. Tapi mak ngah nampak mata tu macam ke lain aje tadi. Ada berkenan dengan mana-mana teruna dekat sini ke?" usik Mak Cik Liza lagi semakin beria-ia dari tadi.

"Mak ngah ni!" Dengan riak tersipu-sipu Aireen terus melangkah masuk. Aduh! Hampir kantoi dia tadi tapi dalam hati tetap suka sebab ada peluang untuk dia melihat Adam lagi hari esok. Arghhh! Tiba-tiba jadi tidak sabar pula dia hendak menunggu hari esok.

"Dah siap?" tegur Puan Azra apabila melihat anak gadisnya tergesa-gesa masuk.

"Dah, umi."

"Nak balik dah?" soalnya lagi.

"Boleh juga. Dah lewat ni."

Puan Azra mengangguk sahaja. Baru sahaja dia ingin mengambil beg telekung yang dibawanya, dia terpandangkan kak ngahnya sedang meluru ke arah mereka.

"Kau dah nak balik ke, ndak?" soal Mak Cik Liza sebaik dua beranak itu dihampiri.

"Yalah, ngah. Takkan nak tunggu dekat sini pula?" Puan Azra tersengih.

"Ya Allah, sibuk sangat nak balik tu kenapa? Baru pukul sebelas malam," halangnya.

"Dah lewatlah, mak ngah. Esok pagi-pagi nak datang balik." Aireen terus beralasan. Sebenarnya takut kena sakat lagi.

UTUSAN CINTA BUAT ADAMWhere stories live. Discover now