Bab 11

9.1K 45 0

Ding Dong! Ding Dong! Senyap. "Assalamualaikum... Ndak!"

Masih senyap.

"Oh... Ndak!" Jeritan Mak Cik Liza semakin kuat. Ya Allah, mana pulalah perginya adik aku ni, bebelnya. Sekeliling rumah dua tingkat itu dipandang bersama kerutan. Loceng ditekan lagi. Berkali-kali. Lama menanti akhirnya kelibat adiknya kelihatan di muka pintu.

"Waalaikumussalam..." Terkocoh-kocoh Puan Azra keluar.

"Ngah!" Penggera pagar ditekan dan dia terus berjalan menghampiri kakaknya.

"Maaflah, ngah. Ndak baru sudah solat ni."

Mak Cik Liza terus masuk sebaik pintu pagar terbuka.

"Lewat sangat kau solat, ndak. Baru balik ke?" Puan Azra dipandang bersama kerutan.

"Baru aje sampai ni, ngah. Ada emergency tadi. Jom masuk, ngah," ajak Puan Azra dan terus melangkah masuk ke dalam. Mak Cik Liza mengekor.

"Una mana? Dah balik belum?" Sebaik masuk, ruang rumah dipandang keliling. Walaupun dia tahu kereta anak saudaranya itu tidak ada di luar tetap juga dia ingin bertanya.

"Una balik lambat malam ni, ngah. Dia ada jamuan dengan anak-anak yatim dekat Beserah. Ngah duduk dulu biar ndak buatkan air."

Mak Cik Liza mengangguk.

"Yalah," balasnya dan terus duduk.

"Air sejuk, ndak. Ngah panas ni."

"Ha... Ya."

Tubuh disandarkan ke sofa. Sambil menunggu adiknya muncul semula, alat kawalan jauh dicapai dan ditekan. Drama sinetron yang sedang bersiaran ketika itu dibuka.

"Amboi... Asyik tengok cerita tu, ngah. Best ke?" tegur Puan Azra sebaik kakaknya itu dihampiri. Sebaik dulang air diletakkan di atas meja, dia terus duduk.

"Aku tak pernah terlepas cerita ni, ndak. Kalau sebab ada hal penting nak jumpa kau ni, memang tidaklah aku keluar rumah."

Puan Azra tergelak. Dia tahu benar yang kakaknya itu memang suka menonton cerita-cerita begitu. Maklumlah orang dah bersara, apa lagi yang boleh dibuat selain menikmati kehidupan. Anak-anak pun dah punya kehidupan sendiri kecuali Fatihah yang masih belajar lagi.

"Minum dulu, ngah," pelawanya.

Mak Cik Liza angguk sahaja dan terus mencapai jus mangga di atas meja dan terus dihirup rakus. Habis air tersebut dihirup, gelasnya diletakkan semula.

"Ada hal apa yang ngah nak sampaikan? Berita baik atau berita tak baik?" Tidak sabar hendak menunggu kakaknya itu bercerita, Puan Azra terus bertanya. Dia tahu kedatangan kakaknya itu ada kaitan dengan lamaran anaknya.

Mak Cik Liza terus tegakkan tubuh.

"Pasal hal itulah aku datang ni."

"Habis tu macam mana?" tanya Puan Azra lagi memintas kata-kata Mak Cik Liza.

Senyum di bibir Mak Cik Liza terus terukir.

"Alhamdulillah ndak, Adam terima lamaran Una."

Puan Azra terkedu. Tidak lama sebelum bibirnya kembali mengukir senyum.

"Allahuakbar... Alhamdulillah." Wajahnya diraup dengan mata berkaca. Sudah beberapa malam dia tidak dapat tidur lena memikirkan hal tersebut. Yang paling dia takuti kalau lamaran anaknya itu ditolak kerana dia tidak mahu Aireen bersedih disebabkan hal tersebut.

"Habis tu ngah, urusan seterusnya macam mana? Kita kena pergi meminang pula ke?" Puan Azra kerutkan kening. Tentang perihal itupun dia bingung juga. Macam pelik sangat nampaknya.

UTUSAN CINTA BUAT ADAMWhere stories live. Discover now