Bab 8

9.1K 48 0

"Mana Una ni, ndak? Dia suruh kita datang tapi dia pun tak balik lagi," bebel Mak Cik Liza bersama helaan nafas panjang. Sudah jenuh dia menunggu. Janji pukul lapan malam tetapi sudah menginjak ke pukul sembilan malam, batang hidung anak saudaranya itu masih belum kelihatan. Bukan membebel sebab menunggu lama tetapi sudah tidak sabar hendak tahu apa yang hendak dibincangkan oleh anak saudaranya itu.

"Una ada emergency tadi, ngah. Itulah sebabnya dia balik lambat," pujuk Puan Azra cuba menenangkan kakaknya itu.

"Itulah, dulu ngah dah cakap jangan jadi doktor tapi degil juga. Apa yang suka benor nak belah-belah orang? Banyak lagi kerja lain boleh buat nak juga kerja serupa gitu," bebelnya lagi sambil tergeleng-geleng kepala.

"Dah itu minat dia, ngah. Macam ndak juga, jadi doktor sebab minat," balas Puan Azra membela anak sendiri. Memang sungguh pun kalau sudah dibesarkan oleh orang tua yang kedua-duanya doktor, sudah tentulah ia mempengaruhi minat Aireen juga. Lagipun memang itu permintaan arwah suaminya supaya Aireen mewarisi apa yang mereka lakukan supaya dapat berkhidmat kepada masyarakat.

Malas hendak membebel tentang itu lagi, Mak Cik Liza hanya mengeyakan sahaja. Membebel lagi makin panjang pula kisahnya nanti.

"Haih! Berdebar pula hati aku ni, ndak." Mak Cik Liza betulkan duduk.

Puan Azra ketawa kecil dan kepalanya digeleng.

"Nak berdebar apanya, ngah?"

"Yalah, tiba-tiba aje Una suruh ngah datang sini. Katanya ada perkara penting yang dia nak bincang dan dapatkan nasihat ngah. Lepas tu dia kata lagi, masalah ni hanya ngah yang boleh tolong dia. Kalau kau jadi aku ndak, kau cuak tak? Sampai pening kepala ngah ni fikir sejak malam tadi," luahnya.

Tawa Puan Azra bersambung lagi. Kakaknya itu kalau hal-hal begitu memanglah cepat kalut. Sebenarnya dia pun tertanya-tanya juga apa yang anak gadisnya itu ingin bincangkan sampai begitu beria-ia sekali. Baru sahaja dia ingin membalas kata-kata kakaknya itu, dia terdengar daun pintu dikuak. Tubuh dipusingkan dan pandangan terus dihala ke pintu.

"Panjang umur. Kita sibuk cakap tentang dia, tiba-tiba muncul pula dia," ucap puan Azra dengan senyuman.

"Assalamualaikum..." sapa Aireen mesra. Sebaik ibu saudara dan uminya itu dihampiri, kedua-duanya disalami. Huluran salamnya dibalas serentak oleh kedua-duanya.

"Lama dah mak ngah sampai?" Dia terus duduk.

"Sempatlah anyam ketupat sekejap dengan umi kamu ni," selorohnya.

Aireen tergelak. Puan Azra juga ikut sama ketawa.

"Ha, mak ngah dah tak nak intro panjang-panjang. Cuba Una cakap apa yang Una nak bincang dengan kami sebenarnya?" Tidak menunggu Aireen memula bicara, Mak Cik Liza terus bertanya. Haih! Sudah tidak sabar dah dia untuk mengetahui apa kisahnya.

Aireen terdiam. Beg tangan yang masih tersangkut di bahu diletakkan di atas meja dan dia terus duduk.

Mak Cik Liza dan Puan Azra berpandangan. Kemudian pandangan ditalakan ke arah Aireen semula dengan dahi berlapis-lapis.

"Una kata ada perkara nak dibincangkan dengan umi dan mak ngah. Apa dia?" tanya Puan Azra pula bila anak gadisnya itu hanya diam membisu di tempatnya. Melihat reaksi Aireen begitu, risau pula dia.

Serba salah untuk berterus terang, Aireen hela nafas. Malam tadi bukan main berani lagi tetapi bila berdepan dengan mak ngah dan umi, kecut pula perut dia.

"Haah, cakaplah apa dia? Cuba jangan buat mak ngah dengan umi Una ni risau." Mak Cik Liza menyambung bicara. Berdebar pula dia melihat reaksi anak saudaranya itu. Ada apa-apa yang serius berlakukah sehingga anak saudaranya bersikap begitu? Allah, janganlah!

Masih tidak tahu bagaimana untuk berterus terang, kepala digaru.

"Aduhlah Una, cuba jangan buat umi risau." Puan Azra sudah tidak senang duduk. Dari bersandar dia terus tegakkan tubuh. Mata pula masih tidak berkalih memandang anak gadis sendiri.

"Okey." Aireen mula bersuara.

Mak Cik Liza dan Puan Azra mengangguk.

"Okey," balas mereka serentak.

"Macam ni umi, mak ngah." Kata-kata Aireen terhenti lagi. Aduh! macam mana hendak diluahkan apa yang terbuku dalam hatinya dan apa yang difikirkan sejak beberapa hari itu? Ya Allah, entah bagaimanalah penerimaan umi dan mak ngah nanti, desis hatinya.

Mak Cik Liza garu kepala.

"Apa sebenarnya ni, Una? Mak ngah dah rasa berdebar-debar dah sementara nak tunggu kamu bercerita. Kamu nak kenalkan bakal suami kepada kami ke?" soalnya main terjah sahaja.

Sekali lagi nafas dihela dan duduknya dibetulkan.

"Umi dan mak ngah mesti ada terbaca tentang kisah Rasulullah dan Siti Khadijah, kan?"

"Tiba-tiba kisah Rasulullah pula yang disebutnya. Tapi kisah yang mana satu?" Mak Cik Liza mengomel tak puas hati.

"Tentang Siti Khadijah melamar Rasulullah. Mak ngah dan umi tentu ada baca, kan?"

"Allah, kisah tu ramai yang dah baca, Una. Siapa yang tak tahu tentang kisah Siti Khadijah meminang Rasulullah sampai ada yang terikut-ikut budaya tu." Mak Cik Liza pelukkan tangan ke tubuh. Orang tanya lain, lain pula yang dibincangkan. Haih!

"Sebenarnya apa yang Una nak bincangkan dengan umi dan mak ngah memang ada kaitan dengan kisah tu," ucap Aireen teragak-agak. Berdebar pula dia. Hurmmm!

"Ha, dah kenapa dengan kisah tu? Haih! Kamu ni tiba-tiba aje duk sebut-sebut kisah zaman Nabi ni dah kenapa?"

"Yalah, Una. Umi pun pelik ni."

"Umi, mak ngah, Una nak tanya, menjadi satu kesalahan tak kalau seorang perempuan meminang lelaki untuk dijadikan suami?" tanya Aireen bersungguh.

Mak Cik Liza dan Puan Azra ternganga. Aireen dipandang tidak berkelip.

"Tengok tu bila Una dah tanya betul-betul, umi dengan mak ngah buat muka macam tu. Menyesal Una tanya." Aireen tarik muka.

"Errr... Ermmm..." Mak Cik Liza garu kepala. Adik di sebelahnya dikerling. Mulalah jadi gagap pula dia bila tiba-tiba disoal dengan soalan aras tinggi begitu. Memanglah boleh tapi perkara macam itu kan jarang-jarang dibuat orang? Hanya yang berjiwa kental sahaja yang akan bertindak berani begitu. Apa tidaknya, pandangan masyarakat terhadap perempuan yang mengikut budaya tersebut memang kadang-kadang keterlaluan sehingga kadang-kadang menjadi mangsa kutukan.

"Una ada niat nak meminang sesiapa ke?" Teragak-agak Puan Azra bertanya.

Laju Mak Cik Liza mengangguk apabila mendengar soalan adiknya itu.

"Boleh ke?"

Sekali lagi Puan Azra dan Mak Cik Liza berpandangan. Bingung mereka dengan apa yang baru didengari itu.

"Tapi Una nak pinang siapa?" Mak Cik Liza bertanya pula.

"Adam," ucapnya berani.

Mak Cik Liza dan Puan Azra ternganga.

"Adam?" Sekali lagi mereka bersuara serentak.

Aireen mengangguk lagi.

"Adam mana?" Mak Cik Liza kerutkan dahi. Kenapa tiba-tiba nama Adam disebut semua orang?

"Mak ngah tahu Adam yang mana."

Ternganga mulut Mak Cik Liza sebaik mendengar jawapan anak saudaranya itu.

"Maksud Una, Adam Firdaus Haji Badarudin?"

Aireen mengangguk yakin.

Adam Firdaus Haji Badarudin yang dipilih anak saudaranya itu? Ya Allah, betulkah apa yang didengarinya itu? Aireen hendak melamar Adam Firdaus? Allah... Allah... Allah...

UTUSAN CINTA BUAT ADAMWhere stories live. Discover now