Bab 3

11.8K 71 5
                                    

Jam di tangan dikerling. Waktu sudah menginjak ke pukul tujuh sepuluh minit malam. Hanya beberapa minit sahaja lagi azan maghrib akan berkumandang. Hendak terus balik bimbang tidak sempat mengejar maghrib. Solat dekat surau hospital? Ermmm... Tentu ramai orang. Bersesak dan tergesa-gesa pula nanti. Pergi masjid ajelah. Bukannya jauh. Putusnya dan tidak menunggu, langkah terus diayun.

Sebaik berdiri di hadapan pintu lif, butang turun ditekan. Elok sahaja pintu lif terbuka, menderu-deru pelawat hospital menyerbu masuk. Masing-masing hendak balik agaknya kerana waktu melawat sudah sepuluh minit tamat. Walau tidak selesa dengan keadaan itu, dia terpaksa menyelit juga. Takut terlewat dan terlepas maghrib pula nanti.

Sebaik pintu lif sampai di aras yang paling bawah sekali, dia terus melangkah keluar. Kad nama yang masih melingkar di leher ditanggalkan dan disumbatkan ke dalam beg. Kunci kereta dicapai dan langkah diayun semakin laju. Maklumlah, laluan untuk ke keretanya agak suram dan sunyi sedikit jadi terpaksalah dia mempercepatkan langkah.

"Doktor baru nak balik ke?"

Ditegur seseorang, spontan itu tubuh Aireen berpusing. Terpandangkan Kak Zila dan beberapa jururawat lain tidak jauh dari situ, nafasnya dihela. Ya Allah, terkejut dia. Sangkanya hanya dia seorang sahaja yang melalui laluan tersebut rupa-rupanya masih ada beberapa orang lagi di situ.

"Ya kak, baru nak balik ni," balasnya ramah.

"Oh! Hati-hati drive, doktor."

Aireen senyum dan mengangguk.

"Terima kasih, kak," ucapnya dan terus beredar. Sebaik menghampiri kereta Honda Civic putih miliknya itu, penggera ditekan dan dia terus masuk. Enjin dihidupkan dan kereta terus dipandu keluar dari kawasan Hospital Tengku Ampuan Afzan tersebut menuju ke masjid tidak sampai satu kilometer jaraknya dari situ.

Tiba sahaja di pekarangan masjid, keretanya diperlahankan dan mata melilau mencari ruang parkir. Terpandangkan satu tempat kosong di hadapan, keretanya terus dipandu ke situ dan diparkirkan. Enjin dimatikan dan dia terus keluar. Beg telekung yang diletakkan di tempat duduk belakang dicapai dan dia terus melangkah masuk ke dalam masjid.

Selesai mengerjakan solat dan mengemaskan kain telekungnya, Aireen terus keluar. Perlahan-lahan kaki diayun menuruni mata tangga. Sebaik kaki memijak tangga yang bawah sekali, selipar yang dipakainya disarungkan ke kaki dan dia mula ayun langkah. Baru beberapa langkah dia berjalan, dia terpandangkan seseorang. Langkahnya terhenti dan lelaki itu diperhati dengan penuh minat.

"Bukankah itu lelaki yang sama?" bisiknya perlahan dan lelaki itu diamati lagi. Ya, betul dia. Bukan sekali tetapi ini adalah kali ketiga dia melihat lelaki itu di tempat yang sama. Ya Allah, adakah Engkau sedang menunjukkan sesuatu? Hati bertanya sendiri.

Lelaki itu terus beredar dari situ sebaik selesai menyarungkan kasut ke kakinya. Dan dia? Masih tidak berkelip memandang sehingga lelaki itu hilang dari pandangan. Allah!

"Lewat balik hari ni?" Ditegur tiba-tiba, langkah Adam terhenti dan tubuhnya dipusingkan ke kiri.

"Mak," panggilnya dengan senyuman apabila wajah Hajah Rosnah menyapa pandangan matanya.

"Lewat balik hari ni?" Hajah Rosnah mengulang semula pertanyaannya tadi.

"Adam pergi bandar tadi, mak. Beli barang sikit."

"Oh!" Hajah Rosnah mengangguk.

"Ermmm... Dah solat?" tanyanya pula.

"Dah. Adam solat dekat Masjid Besar tadi."

"Dah makan belum?"

Mendengar pertanyaan bertalu-talu ibunya, Adam tergelak. Begitulah selalunya. Asal dia balik lambat sahaja, bermacam-macam soalan menyapa telinganya. Emak ingat dia masih dua puluh tahun agaknya sebab itulah masih risaukan dia.

UTUSAN CINTA BUAT ADAMWhere stories live. Discover now