Bab 13

10.3K 47 0

"Doktor Zarul ada?" Perlahan Adam menyoal. Wajah yang mula terasa panas dan tekak yang semakin perit diraup. Badan pula bukan main berbisa di sana sini. Kad pengenalan yang baru dikeluarkan dari dompetnya dihulurkan.

"Doktor Zarul tak ada hari ni dan Doktor Aireen yang ganti." Pembantu klinik yang bernama Fazura itu membalas sopan.

Adam mengangguk. Tak kesahlah siapa pun doktornya Adam, asalkan kau dapat ubat dan boleh balik berehat. Lagipun tinggal beberapa minggu sahaja lagi majlis pernikahan akan berlangsung. Kalau penyakitnya melarat tidakkah haru nanti nak membalas akad tok kadi, desisnya.

"Encik Adam duduk dulu, ya. Doktor Aireen masih ada patient lain." Fazura bersuara lagi. Kad pengenalan Adam dihulurkan kembali.

Tidak membalas, Adam anggukkan kepala sekali lagi. Kad pengenalannya dicapai dan dimasukkan ke dalam dompet kembali. Dia terus duduk sementara menanti gilirannya dipanggil. Kepala yang mula terasa berat terus disandarkan ke dinding dan mata dipejamkan. Sedang mamai melayan tubuh yang mula rasa berbisa satu badan, dia terdengar namanya dipanggil. Serta-merta Adam buka mata. Fazura yang sudah berdiri di muka pintu dipandang kosong.

"Encik Adam boleh masuk." Fazura bersuara lagi.

Kepala diangguk dan dia terus bangun. Kaki diayun lemah. Sebaik dia masuk, pintu terus ditutup dan salam dihulurkan.

Aireen mendongak dan dia terus terkedu. Mata langsung tak berkelip memandang Adam yang sudah duduk di atas kerusi pesakit di sebelahnya.

Diperhatikan begitu sedari tadi, Adam berdeham. Tubuhnya dipandang dari atas ke bawah. Apa yang tidak kena pada dirinya sehingga tidak berkelip doktor muda itu memandangnya? Haih, cuak pula dia rasa. Sudahlah sakit, semakin sakit jadinya.

"Doktor..." tegur Adam apabila doktor di sebelahnya masih begitu.

Aireen tersentak. Kalut, stetoskop di tangannya terus terlepas dari pegangan dan terjatuh ke atas lantai. Masih dalam keadaan seperti tadi stetoskop tersebut terus dicapai. Allah, bertenang, Aireen. Nampaknya Adam tidak kenal kau siapa, pujuknya kepada diri sendiri.

"Doctor, are you okay?" Adam terus bertanya. Sekarang dia atau doktor di hadapannya itu yang sakit? Hati mula bertanya.

"Huh?" balasnya sepatah.

"Doktor okey ke nak check patient?" Adam kerutkan dahi. Doktor ganti mana pula yang Zarul cari agaknya ni? Tak meyakinkan langsung. Dibuatnya dia diberi salah ubat, tidakkah haru nanti? Dari hendak cepat baik terus lain pula jadinya.

Tersedar kredibilitinya dipertikaikan, Aireen berdeham. Nafasnya dihela dan dia mengangguk.

"Sorry," ucapnya sepatah. Sungguh memalukan betul! marahnya kepada diri sendiri. Kad pesakit di atas meja dicapai dan diperhati sedang muka sudah berbahang panas dek malu yang menggunung.

"So, Encik Adam ada masalah apa?" soalnya cuba beriak tenang.

"Saya rasa saya demam sekarang dan badan pun terasa bisa-bisa." Walaupun tidak yakin dengan doktor di sebelahnya itu, Adam menjawab juga. Sudah terlanjur dia ke situ jadi reda dan terima sahajalah.

"Ada selesema? Batuk?" Aireen bertanya lagi.

Adam mengangguk.

"Soon sebab hidung dan tekak saya sudah mula rasa tak selesa. Perit dan susah hendak bernafas."

"Okey, biar saya periksa dulu." Alat membaca suhu diambil dan ditembakkan di atas dahi Adam. Suhu yang tertulis di skrin termometer di tangan dipandang. Kemudian lampu picit kecil dicapai pula.

"Encik Adam buka mulut saya nak cek tekak sekejap." Adam menurut. Mulutnya dibuka. Tekak Adam disuluh kemudian stetoskop di atas meja diambil.

"Encik Adam pusingkan sikit badan ke kanan, saya nak cek pernafasan."

UTUSAN CINTA BUAT ADAMWhere stories live. Discover now