Bab 1

21.5K 133 10
                                    

Prolog

Mekah – 24 Februari 2011

Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah

Kaki diayun perlahan dengan perasaan yang berbaur. Selama dua minggu dia berada di situ untuk beribadah kepada Yang Esa, dan dengan berat hati dia terpaksa pulang semula ke tanah air tercinta. Syukur alhamdulillah, perjalanan dan ibadahnya dipermudahkan Allah. Kesihatannya yang agak merudum ketika dia meninggalkan bumi Malaysia, terus pulih sebaik kaki melangkah ke tanah suci Mekah. Alhamdulillah, sesungguhnya Dia sentiasa mendengar doa hamba-Nya yang tulus ikhlas ingin beribadah kepada-Nya. Hatinya berbisik penuh kesyukuran.

Pandangan dibuangkan ke sekeliling ruang Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz dengan rasa sayu dan sebak yang mencengkam. Allah, serasanya seperti tidak sanggup dia hendak meninggalkan tanah suci yang damai dan menenangkan itu. Kenapalah cepat sangat masa berlalu? Dia masih belum puas lagi sujud beribadah kepada-Nya.

"Kau okey tak ni?"

Terdengar suara Fazrin menegur, Aireen berpaling dan senyuman nipis dipamer.

"Rasa macam tak nak balik," ucapnya perlahan.

Fazrin turut tersenyum.

"Normal la tu. Sesiapa pun yang datang ke sini akan mengungkapkan kata-kata yang sama bila nak balik. Kita sama-sama doa pada Allah semoga tahun depan kita dijemput lagi ke sini, ya?" balasnya dan kaki masih terus diayun.

"Insya-Allah. Amin," ucap Aireen bersungguh dan wajahnya diraup. Ya, pasti dia akan datang ke tanah haram ini lagi. Tekadnya.

Langkah masih terus diatur untuk masuk ke balai berlepas. Jemaah lain yang berada di dalam satu kumpulan dengan mereka sudah jauh ke hadapan.

Mereka terlewat sedikit kerana ada masalah ketika berada di kaunter daftar penerbangan tadi. Nasib baik bukan masalah besar, kalau tidak tentu dia terpaksa bermalam satu malam lagi di situ.

"Jalan cepat sikit, orang lain dah jauh tinggalkan kita tu."

Fazrin mula melajukan langkahnya. Bimbang pula dia andai tertinggal penerbangan.

Aireen menurut dan turut melebarkan langkah. Sedang laju kaki diayun tiba-tiba dia terlanggar seseorang.

"Sorry..." ucapnya.

Pasport yang terlepas dari pegangan tangan dan terjatuh di atas lantai cepat-cepat dicapai.

Lelaki yang dilanggarnya tadi hanya tersenyum sahaja dan tanpa berkata apa-apa lelaki itu terus beredar dari situ dengan terburu-buru.

"Kelam-kabutnya mamat tu," bebel Fazrin sambil mendengus.

"Dia dah lambat agaknya tu, lagipun bukan salah dia. Aku yang terlanggar dia tadi."

Aireen buang senyum. Silap dia juga, mahu cepat sehinggakan tidak memandang kiri dan kanan.

"Kau terlanggar pun sebab dia yang kalut. Lagipun, orang dah minta maaf tu balaslah."

Muka dicemikkan, menyampah.

"Dah, tak payah nak membebel, Cik Faz. Kalau tidak, kita yang kena tinggal nanti," bedil Aireen dan kembali ayun langkah.

Baru selangkah dia berjalan tiba-tiba kakinya terlanggar sesuatu. Langkahnya terhenti kembali dan spontan itu kepala ditundukkan ke bawah. Terpandangkan kad pengenalan diri jemaah umrah berwarna biru di hujung kasutnya, lekas-lekas kad tersebut dicapai.

Tubuh terus ditegakkan dan pandangan dibuangkan ke hadapan semula untuk mencari kelibat lelaki tadi. Tetapi dalam keadaan pengunjung yang begitu ramai di situ, dia sendiri pun sudah tidak pasti yang mana satu lelaki itu tadi. Kad pengenalan diri tersebut dipandang dan maklumat yang tertera dibaca.

UTUSAN CINTA BUAT ADAMTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang