BAB 13

936 54 0
                                    

BAB 13

TERDENGAR suara orang mengeluh. Berulang kali. Dek berasa bosan yang amat. Lama sudah dia menunggu seorang diri. Menanti kemunculan orang yang dicari. Orang yang dicari ada tapi diminta tunggu di ruang menunggu di lobi IPD Tanah Merah. Sudah 2 jam lebih dia menunggu. Jam sekarang 4.30 petang. Nadzmir menengok detik jam di tangan kirinya.

Nadzmir datang sejak jam 1.30 petang. Setelah tidur 2 jam. Menghilangkan penat memandu dari Kuala Lumpur. Dia menginap di hotel bajet. Makan tengah hari pun belum. Sekadar minum air mineral Spritzer yang berharga 1.90.

Sewaktu tiba di kaunter pertanyaan atau kaunter menerima laporan, Nadzmir memperkenalkan dirinya. Kemudian memberitahu niatnya mahu ketemu KPD (Ketua Polis Daerah). Dia diberitahu Ketua Polis Daerah sedang mesyuarat. Terpaksalah Nazdmir menunggu. Ketika menunggu, Nadzmir dapat merasakan ramai mata yang menjeling dan mencuri pandang ke arahnya. Bahkan ada yang berbisik sesama mereka. Seperti bercakap sesuatu pasalnya. Macam orang bergosip. Maklumlah... namanya dulu terkenal dan popular. Tiada siapa yang tidak kenal dengan nama Nazdmir. Wajahnya mesti dicam ramai. Lagipun dia telah menjadi lebih popular sejak tercetusnya kontroversi hitam. Yang sekaligus mencemarkan namanya.

Hati sudah tidak tahan lagi. Tidak suka diperlaku seperti orang bodoh. Nadzmir bingkas bangun dan meluru ke arah laluan masuk ke kawasan pejabat. Dia berjalan macam biasa berwajah tenang. Walau hati berombak ganas dek geram. Tapi tiada siapa pun yang menghalangnya. Mereka seperti tidak nampak. Pelik... getus Nadzmir.

Pintu ke ruang pejabat IPD Tanah Merah dikuak perlahan. Nadzmir masuk dan berlagak seperti pegawai polis. Buat-buat seperti orang tergesa-gesa. Berjalan laju tatkala anak mata mencari di mana bilik KPD. Tak lama dia mencari. Sekejap saja jumpa. Sedang dia menuju ke arah bilik KPD, anak matanya teralih ke sebelah kiri. Ada bilik operasi yang berdinding cermin separuh. Tirainya terbuka luas. Nadzmir merapatkan dirinya ke dinding cermin bilik operasi. Anak matanya asyik melihat gambar-gambar yang dilekatkan pada papan putih. Dia teruja sebaik ternampak tulisan yang tertulis Operasi Menyelamat Mangsa Culik Berantai.

"Uhm...!"

Nadzmir dikejutkan dengan suara orang berdeham. Lantas dia berpaling ke kiri. Ada seorang perempuan di sebelahnya. Seorang pegawai polis wanita.

"Boleh saya bantu, encik?"

"Uh.. ouh." Nadzmir gagap sehingga tertelan liur. Tidak tahu hendak cakap apa.

"Encik ni siapa?" Pegawai polis wanita itu bertanya.

"Saya Nadzmir." Bersahaja Nadzmir menjawab. Cepatnya dia bertenang.

"Bukan ke encik nak jumpa dengan Tuan KPD?"

"Ya..." Nadzmir mengangguk sekali. Baru Nadzmir perasan, pegawai polis wanita itu yang menjaga kaunter di bahagian hadapan.

"Errr... sebenarnya macam ni, encik." Pegawai polis wanita itu sedang menyusun ayat bagaimana hendak menjelaskan kepada Nadzmir. Lagipun dia berasa bersalah sehingga tidak sanggup hendak memandang wajah Nadzmir. "Tuan KPD, sudah balik..."

"Oh..." Nadzmir menerimanya dengan tenang.

"Saya baru dapat tahu, encik. Tuan KPD call sekejap tadi." Jelas pegawai polis wanita itu.

Nadzmir tidak menunjukkan rasa kecewa atau marah. Dia berlalu pergi begitu saja. Kadang itu nampak macam orang merajuk. Itulah yang difikir pegawai polis wanita itu. Yang berasa menyesal dan kesian kepada Nadzmir. Siapalah yang tidak marah. Datang jauh-jauh, diminta menunggu. Lama pula tu. Orang yang ditunggu pulang begitu saja. Tanpa sebarang kata meminta maaf.

SIHIR ORANG MINYAKWhere stories live. Discover now