BAB 7

1.2K 52 3
                                    

DEWAN serbaguna berwana merah mula dipenuhi orang ramai. Bersesak sejak pagi. Semuanya berwajah teruja dan serius. Setiap mulut tidak henti berbicara. Bercakap topik yang sama. Masing-masing ingin tahu perihal orang minyak. Orangkah? Binatangkah? Dan dari mana datangnya orang minyak itu.

Makin lama makin ramai yang datang. Bahkan penduduk dari kampung sebelah juga datang. Lama-kelamaan berita penemuan orang minyak diketahui ramai orang bahkan disensasikan. Disebar dan ditular melalui telefon pintar menggunakan aplikasi Whatsapss. Dan ada juga yang membuat cerita. Menokok tambah dalam Facebook. Bagi nampak lebih seram. Menakutkan dan ngeri. Barulah sensasi.

Keadaan semakin sesak. Orang semakin ramai dan bertambah. Ada yang mengetuk kuat pintu dewan serbaguna. Hendak masuk juga. Hendak tengok juga. Ada yang menjerit dan memekik. Menolak pintu macam orang hilang akal. Keadaan semakin tidak terkawal.

"Tolak pintu tu! Tolak lagi...! Hentam dengan kuat!"

Suara yang kuat lagi lantang. Jeritannya macam sang pendekar. Mengarah hulubalang melaksana perintahnya. Dua orang pemuda gagah menggunakan kuasa bahu menghentam pintu dewan. Bergegar hingga terburai habuk-habuk degil yang melekat di dinding.

"Kita kena hapuskannya segera. Jangan biarkan orang minyak itu hidup. Jangan biarkan pembunuh terlepas. Kita bunuh binatang tu...! Kita bunuh...!"

Tidak henti-henti dia menghasut. Berdiri di hadapan bersama keris sakti keturunan keluarga. Dialah Pak Mail Rimau. Individu yang telah kematian anak dara. Anak gadis yang bongsu dan disayangi. Dinoda oleh orang minyak.

Setelah mendengar orang minyak berjaya dijumpai dia terus ke dewan serbaguna. Dengarnya orang minyak dikurung di situ. Oleh penghulu. Sebaik tiba bersama penduduk kampung yang lain, penghulu menghalang mereka dari masuk. Penghulu memerintahkan mereka semua pulang. Kerana tiada apa yang hendak ditengok. Lantas pintu ditutup. Dikunci dari dalam. Sebab itulah Pak Mail Rimau mengamuk.

Keadaan di luar dewan serbaguna semakin tegang. Penghulu pula masih tenang di dalam. Dia ditemani beberapa orang penduduk kampung yang setia padanya. Tidaklah ramai. Dalam tiga orang saja. Yang tidak pernah ingkar pada perintah penghulu.

"Macam mana ni penghulu? Takkan nak diam aje. Nanti tercabut pintu tu?"

Pak Rahim bersuara sopan penuh beradab. Menyuarakan kebimbangannya. Dari tadi lagi dia bimbang bersama dengan dua yang lain. Masing-masing gelisah. Apa helah penghulu. Sebenarnya orang minyak tiada di dewan serbaguna. Telah lama dibawa keluar secara sembunyi. Dibawa terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah.

"Penghulu...?"

Pak Rahim bersuara. Bernada merayu. Mahukan jawapan segera daripadanya. Mahu penghulu bertindak sebelum terlambat. Nantikan semua orang naik gila.

"Penghulu kena buat sesuatu... mereka semua dah tak terkawal lagi tu."

Bebel Pak Rahim. Dan ditambah lagi pujuk rayu oleh dua lagi sahabat penghulu. Kadang itu seperti mendesak dek bimbang akan roboh pintu dewan nanti.

Penghulu sudah menjangka akan berlaku begini. Pasti akan ada yang mengamuk mahu mengapakan orang minyak. Terutamanya Pak Mail Rimau.

"Kita nak buat apa dengan orang minyak ni, penghulu?"

Bertanya dengan nada penat seorang pemuda yang berbadan tegap. Penat dek terpaksa angkat badan orang minyak yang tidak bergerak. Menggendong atas belakangnya. Dibawa dari tempat ditemui hingga ke dewan serbaguna setelah diarah oleh penghulu.

SIHIR ORANG MINYAKWhere stories live. Discover now