Bab 1

5.6K 99 6
                                    

Ammar hanya mendiamkan diri bila Datuk Azhari, papanya sibuk bercerita tentang masalah syarikat dan tentang alangkah baiknya kalau dia mengambil Amanda menjadi isterinya. Bukan sekali papanya memujuk. Namun, hatinya tetap berkeras tak mahu menerima cadangan papanya itu.

Datin Maslina, mamanya yang duduk di sebelah sudah menepuk-nepuk kekura tangannya. Macam nak tenangkan perasaannya. Bukan dia tak tahu. Mama pun nak tenangkan diri sendiri. Mama pun tak berapa berkenan dengan cadangan papa itu.

Amanda kawan baiknya sejak kecil kut. Takkan dia nak ambil Amanda menjadi isterinya pula. Macam terasa janggal aje dia kalau nak anggap Amanda tu isteri dia.

"Tak ada orang lain ke, pa?" tanya Ammar, mendatar saja. Mata menjeling wajah tua papanya. Sebenarnya dia sudah malas nak bertelingkah lagi dengan papanya tentang niat nak satukan dia dengan Amanda.

"Ammar, kamu tentu tahu kan kenapa papa buat cadangan macam ni? Demi kebaikan kamu juga," balas Datuk Azhari, memandang si anak dengan penuh harapan agar anaknya itu menerima cadangannya.

Dahi Ammar sudah berkerut sedikit. Demi kebaikan dia atau kebaikan papa? Ini semua macam tak kena aje. Maksud dia, dia tak akan mengambil Amanda itu menjadi isterinya hanya kerana nak selamatkan Syarikat Prima Teguh papanya itu.

Amanda, kawan baik dia. Amanda itu pun belum tentu hendakkan dia menjadi suami. Lagipun, dia dah lama tak jumpa Amanda. Entah macam mana gadis itu sekarang pun dia tak tahu.

Lagi pula gadis itu berada di luar negara dan sedang menuntut di sebuah universiti di Kanada. Macam-macam boleh terjadi. Macam-macam akan berubah.

"Tak ada orang lain ke, pa?" tanya Ammar lagi. Seboleh-bolehnya nama Amanda bukan salah seorang yang akan menjadi calon isterinya.

"Ada. Tapi anak kawan papa. Kawan lama. Papa memang berkenan dengan anak dia yang nombor empat tu. Apa namanya?" Datuk Azhari sudah berfikir-fikir sambil jari telunjuknya mengetuk-ngetuk dahinya perlahan.

"Hah, Najwa! Nama budak tu Najwa kalau tak silap papa," kata Datuk Azhari lagi.

"Anak Zafran ke, papanya?" tanya Datin Maslina, mencelah tiba-tiba. Ammar menjeling sekilas wajah si mama. Nampak bercahaya aje? Mama kenal ke gadis bernama Najwa ni? Nanti dia buat siasatan sikit.

"Haah, mamanya. Anak Si Zafran tu. Papa baru teringat pasal nak jodohkan Ammar dengan Najwa dulu. Tapi sekarang ni, papa rasa baik kita lupakan janji kita dulu, mamanya."

"Takkan macam tu sekali, papanya. Maksud mama, teruk sangat ke situasi syarikat papa tu?" tanya Datin Maslina dengan riak resah dan bimbang.

Datuk Azhari diam membisu. Kepala ditundukkan seraya mengeluh lemah. Hutang syarikat menjadi berlipat ganda bila projek sana sini terbengkalai. Rakan-rakan yang sama aliran pun tak mampu nak tolong. Dia menghubungi Ammar yang waktu itu berada di London untuk membantunya menaikkan semula reputasi syarikat. Tapi si anak bagi syarat pula. Dia tak mahu berkahwin dengan Amanda untuk menyelamatkan Syarikat Prima Teguh itu.

"Am akan cuba dulu mana-mana yang patut. Papa jangan risau. Abang Amzar pun boleh tolong. Buat sementara ni, Am akan gunakan duit Am dulu untuk buat pusingan modal. Kita cari projek dari kontraktor yang baru nak naik. Nanti Am deal dengan dia orang tu. Papa jangan bimbang, okey?" Bahunya ditepuk si anak, memberi semangat.

Tapi itu kisah dua bulan lalu. Nampak memang ada sedikit perkembangan positif. Tapi Datuk Azhari tetap bimbang. Bila-bila masa saja syarikatnya boleh diisytiharkan muflis. Hai, dekat manalah dia nak letak muka? Nak jumpa kawan-kawan business minta tolong pun dia dah malu sangat.

Seminggu lalu, Tan Sri Syuib ada memberitahunya tentang Amanda. Otaknya pula terus terfikirkan perancangan antara Ammar dan Amanda. Dia mahu menjodohkan mereka berdua dan Tan Sri Syuib juga berjanji akan cuba membantu kalau Ammar mengambil Amanda menjadi isterinya. Tapi si anak pula tak mahu. Pening kepala Datuk Azhari sekarang ini.

KAU SELALU ADAWhere stories live. Discover now