Bab 15

1.1K 15 3
                                    

"OPS... Norlia, Zahar, kenapa tak bersihkan tangan dulu?"

Termalu-malu dua orang itu ditegur Lia Hana. Terpaksalah mereka berpusing balik ke arah singki berdekatan. Tidak sangka pula mereka pagi ini cik 'kualiti bagus' itu berada di hadapan pintu masuk ke dalam kawasan pemprosesan. Berdiri ala-ala pengawal diraja lagi. Buat pemeriksaan mengejutlah tu! Maka, tercatatlah dua nama yang tidak mengikut peraturan di dalam rekod. Dan akan naik ke papan kenyataan pula sebentar nanti. Kalau sekadar pembantu Lia Hana, mereka boleh pujuk lagi. Tetapi dengannya, payah. Walaupun cantik manis, lemah lembut, tetapi kalau bab kerja dan peraturan, tegas. Siapa berani membantah?

Dalam kilang makanan, mencuci tangan sebelum masuk ke kawasan pemprosesan adalah satu peraturan yang wajib dipatuhi oleh semua pekerja, mahupun pelawat-pelawat. Ia adalah salah satu cara untuk menjamin kebersihan dan kualiti makanan yang dihasilkan. Menjadi kesalahan besar jika peraturan ini tidak diikut. Undang-undang dalam industri makanan. Kilang makanan yang bagus mesti menyediakan kemudahan bagi tujuan ini. Di antara tugas Lia Hana sebagai pengurus kawalan kualiti adalah memastikan peraturan ini diamalkan oleh semua pihak terlibat, baik pekerja bawahan mahupun pegawai atasan.

"Zahar... hair net tu pakai elok-elok. Rambut masih ada terjuntai keluar tu. Takut nanti terjatuh dalam tin sardin pula."

Tersengih-sengih Si Zahar kena tegur sekali lagi. Semakin bertambah malunya, walaupun ditegur secara lembut. Banyaklah pula silapnya hari ini. Nasib tuan punya suara cun. Jika tidak, mahu dijegilkan sahaja mata besar dan garangnya itu. Biar takut sedikit.

"Hoi... bagilah aku bakul tu!"

"Hoi... tak dengar ke?"

"Siapa hoi? Beras pun ada nama tau! Cap rambutan lagi! Aku ni sedap-sedap nama mak aku bagi, yang engkau panggil hoi-hoi apa pasal?"

"Ala, marah ke Zahar? Okeylah, Zahar... hulurkan saya bakul yang di sebelah kaki kawan tu, boleh?"

"Ha... tahu pun berbahasa. Aku ingat dah tak gheti..."

Geli hati Lia Hana mendengar pertengkaran kecil antara Zahar dan Norlia itu. Tetapi disembunyikan senyumnya. Takut ada yang perasan nanti. Perlu bagi dia bersifat serius pada waktu-waktu tertentu. Pandangannya dialihkan kepada Faiz yang sibuk memeriksa kawah memasak di hadapan.

"Ada masalah ke Faiz?"

"Entah... tengah periksa!"

Hendak tidak hendak sahaja cara pemuda itu menjawab. Tanpa menoleh kepadanya. Lia Hana tahu, itu bukan sikap sebenar Faiz. Pemuda ini penuh dengan adat sopan. Tengah angin agaknya, fikir Lia Hana. Biarlah! Semua manusia macam itu. Ada pasang surut anginnya. Lantas dia berlalu dari situ untuk menyambung kerja seterusnya.

Selesai membuat pemeriksaan sekeliling kilang, Lia Hana menghalakan kaki semula ke pejabatnya. Terserempak dengan Salina yang mungkin hendak ke bilik air, namun bagai tidak sudi memandangnya. Pun angin juga agaknya. Ramai pula orang yang berangin hari ini. Oh ya... 'Monday blues'. Bukankah hari ini hari Isnin?

Dia menjengah sebentar ke bahagian makmal untuk melihat pembantunya melakukan kerja. Eh... ke sini pula Si Faiz ni. Siap ketawa-ketawa lagi. Dia memandang sekilas wajah Faiz yang agak terkejut dengan kehadirannya, kemudian beralih kepada Sew Ling, pembantunya. Tanpa sebarang kata, Faiz terus berlalu pergi. Terpinga-pinga Lia Hana.

"Cik Lia... Faiz bagi tahu, pengacau kawah nombor dua ada masalah. Tersekat-sekat."

"Owh... sebab tu dia masuk sini?"

"Iya... untuk bagi tahu."

"Okey. Nanti saya suruh Hasrina buat checking kerap sikit pada produk kawah tu. Mana Hasrina? Tak nampak di dalam pun?"

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Aug 24, 2016 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Tidak Pernah SesalWhere stories live. Discover now