Bab 13

629 7 1
                                    

TERSENGIH-SENGIH Lia Hana melayan kenangan yang dilalui tadi sambil berbaring di atas katil. Kenangan makan mi udang bersama Salina dan pakwe cupnya sungguh mencuit hati. Seronok dia menjadi pemerhati gelagat dua manusia itu. Yang seorang poyo, seorang lagi gedik, perasan tidak kena tempat.

Sudah diingatkan temannya tadi bahawa Azeem bukan lelaki sembarangan. Salina sahaja yang tidak faham bahasa. Walaupun Lia Hana tidak tahu asal usulnya, tetapi melalui lenggok tubuh dan tingkah lakunya, dia tahu Azeem tidak begitu selesa menjamu selera di kedai mi udang yang ala-ala biasa itu.

Ops... bukannya ala-ala biasa sangat, kerana kedai yang Lia Hana bawa mereka adalah yang terbaik di antara berbelas-belas kedai makan yang ada di situ. Dekorasinya lebih eksklusif berbanding premis-premis lain di sekitar Kuala Sepetang itu. Pintu masuknya dihiasi dengan sebuah kapal besar, di mana pengunjung juga boleh duduk makan-makan di atas kapal. Malah singki cuci tangannya pun cantik dan menarik. Lain daripada yang lain. Tidaklah lekeh mana. Tidak teruk pun. Cuma itu standard Lia Hana la, kan! Bukan standard orang ada-ada tu...

Kebersihan di kedai tersebut boleh dikatakan baik walaupun tidaklah sebersih mana jika dibandingkan dengan restoran hotel. Tetapi mungkin ia tidak mencapai spesifikasi yang membolehkan Azeem menjamu selera tanpa rasa teragak-agak. Tambahan pula dengan layanan yang kelam-kabut, membuatkan dia mempamerkan wajah kurang selesa. Berkerut-kerut mukanya. Lia Hana sekadar memerhati. Sengihnya disimpan sendiri. Tu, lah... nak sangat makan mi udang... Dah tau taraf awak tu tinggi melangit, nak jugak mencemar duli!

Paling menggelikan hati, tika sedang asyik menghayati keenakan mi udang yang dibanjiri dua belas ekor udang besar, seekor kucing datang menggesel-geselkan badan ke kakinya. Reaksi Lia Hana biasa sahaja. Sekadar kucing, bukannya cicak, biawak, buaya, atau yang paling teruk si ular. Kalau yang tu ka... mahu dia pengsan sekali lagi.

Tetapi dia nampak perubahan pada wajah Azeem selepas kucing tadi pergi dari kakinya. Mungkin kucing tersebut menggesel-gesel ke kaki lelaki itu pula, haha. Dengan segera, Azeem terus berhenti makan. Ada separuh lagi baki makanan di dalam mangkuknya. Lia Hana faham, bagi orang yang terlalu menjaga tentang kebersihan dan pemakanan, mereka menganggap kedai makanan yang ada kucing adalah tidak bersih. Hurm... cerewetnya mak tuan!

"Ada kucing la you." Azeem berkata perlahan, menghalakan pandangannya kepada Lia Hana, selepas menterbalikkan sudu dan garpu di dalam mangkuk, tanda sudah selesai makan.

"Iya?" Lia Hana pura-pura terkejut. Hendak tengok akal lelaki itu. Namun dalam hati, dia mengekek gelak. Tinggi sangat 'standard' hidupnya.

"Sorry la... kalau you tak selesa di sini. Tapi sini is the best place tau! Ramai pelancong datang. You tengoklah nombor pendaftaran kereta yang parkir di tepi jalan tu, kebanyakan datang dari luar negeri Perak. Macam nilah hari-hari. Ramai orang."

"It's okay. Sebenarnya I ni cerewet sikit. Mudah kena diarrhoea."

Ops... ngaku pun cerewet. Nasib baik jugak ngaku. Kalau ego lagi, dua kali poyolah maknanya.

"Oh... kalau you kena esok, saya bayar bil perubatan, okey!"

Amboi Lia Hana...! Dibuatnya dia masuk wad di Hospital Appolo, merana kamu nak nanggung... Ribu riban tu! Cakap tak beringat!

Meledak ketawa Azeem tanpa disangka-sangka hingga wajahnya berona merah. Lucu sangatkah kata-katanya hingga si serius ini gelak tak ingat? Tapikan... nampak dia semakin kacak! Ala-ala orang Arab pun ada. Macam mat salih pun ada sikit-sikit. Patutlah Salina terpikat gila. Lia Hana baru perasan yang ketampanan Azeem sudah mengalahkan Abang Naim. Huih...!

Itu cerita tentang si jejaka. Cerita si tuan puteri pisang berangan yang seorang lagi pula, tidak kurang kelakarnya. Terasa hendak gelak guling-guling. Namun terselit juga rasa simpati terhadap teman serumahnya itu. Yalah, walau apa pun Salina itu tetap kawannya sampai bila-bila. Best friend forever kut! Dari kecil mereka berkawan. Gaduh – kawan, merajuk – baik balik. Baling-baling batu, meraung... lepas itu boleh guling-guling atas katil sama-sama, bergelak ketawa.

Sudahlah makan di Kuala Sepetang itu saja, namun solekan yang dikenakan pada wajah nampak melampau-lampau, tidak padan dengan tempat. Tika Azeem tiba, laju sahaja kaki Salina melangkah ke pintu hadapan kereta, duduk bersebelahan Azeem. Selamba habis. Lia Hana buat biasa sahajalah. Buat dono kata orang utara. Sememangnya dia tidak kesah pun. Duduk di kerusi belakang lagi bagus. Kereta mewah pula tu. Terasa jadi mem besar.

Namun tindakan pantas Salina itu bagai tidak mudah diterima Azeem. Nampak terkejut benar lelaki itu. Nampak sangat dia kurang selesa. Dia pandang sahaja Salina dengan wajah kelat dan tidak percaya. Matanya pula asyik memandang cermin pandang belakang, mencari-cari wajah gadis yang melayan bualnya, dan menunjukkan jalan yang harus dituju. Tidak berbual pun dengan Salina di sebelah. Cari orang jauh juga. Sudahnya, sepatah pun Salina tidak bercakap. Alahai...

Masa makan pula, Salina gigih mengawal ayunya. 'Control' habis! Perlahan sahaja dia menyuap mi ke mulut. Tiada langsung bunyi sudu dan garpu berlaga di pinggan. Kalau di rumah, atau jika bukan makan dengan Azeem, jangan haraplah dia bersopan santun bak perempuan Melayu terakhir tu. Ketung ketang, ketung ketang bunyi. Tambahan pula jika menghadap udang besar, makanan kegemarannya.

Kasihan pula Lia Hana melihatnya. Pasti temannya itu terliur melihat udang yang tidak dapat diratah-ratah habis. Segar pula tu! Malu punya fasal, depan pakwe cup la katakan, kenalah jadi yang terbaik. Bukankah dia sudah bertekad untuk memikat si jejaka itu? Jadi dia kenalah berkorban apa sahaja. Fasal makan tidak mengapa, esok boleh kirim Faiz beli udang besar-besar.

Hehehe... Azeem dengan taraf hidupnya, Salina pula nampak sangat dramanya. Jadi seperti peliklah pula. Tidak kena langsung kedua-dua manusia ini. Azeem – Salina, rasanya tidak padan sangat kut! Tetapi jika Azeem – Hana, nampak macam serasikah? Hesy, apa yang dia merepek ni? Bila pula Hana masuk dalam cerita Azeem? Ada hati jugakah? Bukankah dia inginkan lelaki seperti Abang Naim?

Bunyi nyanyian yang nyaring dari telefon bimbit, mencantas ingatannya kembali ke dunia nyata.

Azeem: Salam Hana? Kalau belum tidur jawab ya. Saya dah sakit!

Sudah... Betulkah dia cirit-birit? Habislah!

Lia Hana: Wasalam. Serius?

Azeem: Teruk juga.

Lia Hana: Dah jumpa doktor?

Azeem: Belum. Tadi ada orang janji nak cover bill.

Lia Hana: You boleh tahan ke? Jap lagi saya sampai dengan Salina. Text me address.

Azeem: Peace... Just kiddig. Nak test you aje.

Lia Hana: Tak baik tau! Bikin cemas je...

Azeem: Sorry... Pagi esok saya belanja breakfast ya. Jika tolak tandanya tak maafkan saya.

Lia Hana balas dengan emojie jelir lidah sebelum memutuskan untuk ke alam mimpi.

Tidak Pernah SesalWhere stories live. Discover now