Bab 6

888 12 0
                                    

TEPAT jam enam petang, Lia Hana terkocoh-kocoh menuju ke keretanya, sehingga panggilan Faiz, seorang juruteknik dari bahagian penyelenggaraan yang memanggilnya beberapa kali tidak didengarinya. Dia terpaksa berkejar ke bangunan Maybank untuk mengeluarkan wang tunai. Dia sudah kehabisan duit. Dalam dompetnya hanya tinggal beberapa keping duit seringgit. Hendak beli makanan malam pun tak lepas. Tambah-tambah jika hendak belanja Salina makan, harus kena berhutang dengan Salina kembali. Faham-faham sahajalah Salina, kalau bab makan tidak cukup sikit-sikit.

Niat di hati hendak ke kilang semula kerana ada sedikit masalah di bahagian pengeluaran yang perlu dipantau, sehingga tamat operasi pada pukul sebelas malam. Selepas makan tengah hari tadi, sepetang dia berada di bahagian pengeluaran, menyelesaikan masalah pemprosesan yang tiba-tiba menyimpang dari spesifikasi yang ditetapkan. Bekerjasama dan memerah otak dengan semua penyelia dan pekerja bahagian penyelenggaraan, akhirnya masalah dapat diselesaikan seterusnya mengelakkan pembaziran dan kerugian. Lega rasa hati akhirnya, walaupun badan terasa amat letih selepas itu.

Sewaktu dia sampai di Maybank untuk mengeluarkan duit dari mesin ATM, kilat dan guruh mula menyambar dan berdentum di langit sebelum hujan turun dengan lebatnya. Mujur dia mendapat tempat parkir betul-betul di hadapan pintu bank kerana kebetulan ada sebuah kereta beredar dari petak itu.

Dia berlari-lari anak tanpa memandang kiri kanan untuk masuk ke dalam bangunan bank tersebut, walaupun terhalang dek tembok longkang yang agak tinggi. Dia mengibas-ngibaskan sedikit renik-renik air hujan yang mengena pakaian seragam merah hitamnya ketika berada di bahagian yang menempatkan mesin ATM. Tanpa disedari, setiap perlakuannya ketika itu diperhatikan oleh sepasang mata tanpa berkedip.

Usai mengeluarkan duit dari perut mesin, dengan langkah pantas dia menuju ke kereta semula. Niat untuk cepat terhalang oleh deringan telefon bimbit yang berada di dalam beg tangan besarnya. Lalu tangan kanannya tercari-cari di mana telefon kecil itu berada, sementara di tangan kirinya tergenggam kunci kereta yang sudah sedia untuk digunakan. Oleh kerana masa yang diambil untuk mencari agak lama, maka setelah berada dalam genggaman, telefon tersebut tidak lagi berdering.

Lia Hana malas ambil pusing siapakah pemanggilnya. Dia ingin segera menyelesaikan tugas peribadinya kini. Dia melangkah pantas sambil mencampak semula telefon ke dalam begnya. Dalam keadaan yang agak kelam-kabut itu, kunci kereta di tangan kirinya terlepas, dan terus masuk ke dalam longkang besar melalui celahan jaring-jaring besi penutup. Dia panik! Arus deras terus membawa kuncinya entah ke mana, sehingga tidak dapat dilihat dan dikesan, apatah lagi untuk memungutnya semula.

Wajah yang sedia keletihan itu semakin pucat dengan kejadian yang tidak disangka-sangka itu. Alahai, kenapalah lalai sangat waktu ni. Macam manalah boleh terlepas dari tangan. Macam-macam malang hari ni, gumamnya dalam hati. Dia tidak tahu apa yang perlu dibuat. Melihat ke dalam longkang, tiada langsung bayang-bayang kuncinya tadi.

"Cik?"

Tiba-tiba muncul seorang lelaki di hadapannya yang masih tunduk mencari-cari itu. Lelaki tersebut memandang kad nama syarikat yang tergantung di lehernya, jelas memaparkan nama dan jawatannya.

"Cik Lia Hana, boleh saya bantu?" Dia bertanya lagi, siap dengan nama penuh untuk menarik perhatian.

"Err... kunci... err... kunci kereta saya dah dibawa arus..." Dengan suara sedih dan wajah kecewa Lia Hana bersuara, tanpa memandang ke arah penanya.

"Saya rasa, dah tak dapat diselamatkan dah. Kunci lain ada? Maksud saya kunci pendua?"

"Err... err ada... ada, tapi di rumah." Lemah suaranya kedengaran.

"Kalau begitu, mari saya hantarkan cik untuk ambil," pelawa lelaki itu pula.

Mendengar pertolongan yang ditawarkan, Lia Hana terus mendongak untuk melihat orang yang begitu baik terhadapnya pada saat-saat yang amat diperlukan ini. Nyata dia terkejut yang bukan kepalang! Allahhuu Rabbi... Baru dia sedar bahawa lelaki yang prihatin saat ini adalah lelaki yang dipanggilnya mamat biul sebelum ini. Bulat matanya memandang lelaki tersebut.

Tidak Pernah SesalWhere stories live. Discover now