Bab 12

675 9 0
                                    

HAIRAN Lia Hana. Pagi-pagi lagi Azeem sudah helo-helo. Dia tidak ada kerja sangatkah? Eh... lupa pula. Bukankah Azeem bos besar kilang? Siapa berani marah dia? Lainlah jika dirinya, kerja dengan orang. Buat perangai sedikit, sendulah jawabnya. Walaupun berjawatan pengurus, masih ada ketua di atas dan di atasnya. Bos bertingkat-tingkat. Berbagai-bagai ragam bos-bos yang perlu dihadapi. Tidak cukup di sini, bos di Kuala Lumpur juga dia kena layan.

Teringat pada si gedik Wanee. Bingit telinga dibuatnya bila gadis itu terjerit-jerit marah di telefon sebab Lia Hana tidak memberitahunya yang Azeem itu adalah tuan punya kilang perabot yang besar gedabak di hadapan kilang mereka itu. Tentu Wanee dapat tahu daripada Salina. Kata Wanee, punyalah selamba dia memanggil Si Azeem itu abang... abang. Buat malu sahaja. Jika dia tahu, tentulah dia akan lebih bersopan dan tidak lepas laku.

Habis? Perlu bersopan pada orang tertentu sahajakah? Pada orang yang banyak duit? Namun dia tahu Wanee seorang yang baik, cuma amat teruja semasa pertama kali berjumpa Si Azeem itu. Agaknya semua gadis begitu, jika dilayan jejaka yang nampak hebat sebegitu.

Sedang Lia Hana leka menyiapkan laporan mingguan yang berbaki sedikit sahaja lagi, telefon bimbitnya menyanyi lagi. Panggilan daripada orang yang sama. Nasib baik bosnya, Mr. Kevin ke Kuala Lumpur, jadi tidaklah dia rasa tidak selesa mengular layan panggilan peribadi. Apa lagilah yang hendak dicakapkan lelaki ini?

Dia ini tiada kawan lainkah hendak bercakap? Selama bertahun di sini, takkanlah tidak bergaul dengan orang lain? Pekerja-pekerja kilangnya bukankah ramai? Ada berbagai-bagai bangsa dan rupa. Lelaki, perempuan, yang cantik, seksi, semua ada. Mustahil tidak ada seorang pun yang boleh menjadi kawannya. Tetapi... takkanlah pula bos bergaul dengan pekerja-pekerjanya, kan? Perlu ada sempadan di situ. Hei... biarlah, hal orang. Jarinya segera menekan butang menerima panggilan.

"Hello... Hana, you tak kerja ke?"

"Kerja... kenapa?"

"Habis... tak nampak pun kereta you?"

"Ohhh... saya hantar servis di Toyota." Ah, dari mana pula lelaki ini tahu keretanya tiada di tempat parkir? Teringin pula hendak menyiasat siapa yang jadi sepai.

"Ye ke? Siap pukul berapa? Saya hantar you ambil..."

"Err... tak payahlah. Nanti Lina boleh tolong hantarkan."

"You nak bonceng skuter? Eh, jangan! Bahaya tu! Nanti saya jemput. Pukul berapa?"

Tegas suara lelaki itu kedengaran di telinga Lia Hana. Apa bahayanya bonceng skuter, bukannya jauh sangat! Alasanlah tu nak tunjuk kereta mewahnya!

"Susahkan you lagi?"

"Tak pernah rasa susah pun. Kita kawan, kan?"

"Yelah... kita kawan... Pukul lima boleh?"

"Great! Jumpa you nanti."

Usai talian dimatikan, Lia Hana termenung seketika. Dia ni memang bos sangat-sangat. Sampai tidak boleh kita kata tidak. Apa alasan yang akan diberikan kepada Salina? Mesti muncung lagi minah itu nanti. Anginnya baru sahaja elok dua tiga hari ini. Jika tahu pakwe yang dicup keluar dengan Lia Hana, kemungkinan besar muka yang manis akan cemberut kembali. Ah, payahnya!

Azeem pun satu. Sibuk hendak menolong, kenapa? Tetapi dia pun sama sahaja, kenapa tidak berkeras menolak? Entahlah... Dia selalunya menjadi lemah untuk mengatakan tidak pada lelaki ini. Hatinya seperti selesa sahaja untuk menerima. Tergedik-gedik pun ada. Itulah, ngata orang sangat. Diri sendiri pun lebih kurang.

SEPERTI yang diduga, sesampai sahaja di rumah, Lia Hana disambut dengan muka kelat dan serius Salina. Mata teman itu terpaku pada peti televisyen bagai ingin masuk ke dalamnya. Bukan menarik pun apa yang sedang ditonton di televisyen itu. Sekadar klip video yang selalu diulang tayang. Bahasa tubuhnya seperti dalam keadaan yang amat marah. Sedikit pun tidak menghiraukan kehadiran teman di sisi.

Tidak Pernah SesalWhere stories live. Discover now