Bab 11

746 9 0
                                    

MENJELING-JELING Salina menyambut teman serumahnya tiba. Bersama Wanee. Kata sekejap sahaja, tetapi ini sudah hampir pukul tiga petang baru sampai. Seratus kilometer agaknya berlari. Habis satu daerah Larut Matang dipusing kut!

"Cantiknya muka sambut tetamu. Kalau macam ni nanti sambut suami balik, alamat cepatlah jadi single balik!" Lia Hana mengusik. Tahu sangat dia perangai Salina yang suka merajuk dan kadang-kadang cepat naik angin. Namun jika dipujuk, hatinya cepat lembut dan mudah ketawa semula. Bak kata emaknya, macam siput! Kejap terjulur, kejap masuk ke dalam cangkerang. Sungguh la Cikgu Jamalia ni cikgu bahasa. Sampai terbawa-bawa ke rumah.

"Banyaklah tamu! Aku masak sorang-sorang, lepas tu makan sorang-sorang. Kata nak balik awal. Hari minggu pun susah nak makan sekali. Ada-ada saja date kau."

"Kak Lina masak apa? Mesti sedap tu."

Bersinar wajah Wanee bertanya membuatkan Lia Hana tersengih-sengih memandang. Budak ni tidak kenyang-kenyang lagi? Tadi punyalah banyak makan tengah hari yang Azeem belanja, masih ada ruang untuk diisi ke? Sama macam Salina juga. Perut stoking. Fleksibel. Bezanya, yang seorang chubby, seorang lagi kurus ceding. Fasal makan, sama-sama bernafsu.

"Nasi ayam. Pergilah makan! Banyak akak buat tu. Tunggu korang balik, berkurun! Joging ke apa entah!"

"Wow bestnya! Tapi kejap lagilah kak. Wanee kenyang lagi. Dah makan, pakwe Kak Lia belanja tadi. Kat hotel tu kak! Merasa jugak Wanee makan kat situ."

"Eik? Pergi dating rupanya? Ingatkan pergi joging? Bila pulak kau dah ada pakwe, Lia? Aku tak tahu pun?" Salina tayang muka tidak puas hati.

Lia Hana terkedu. Hish... lupa pula beri amaran pada Wanee agar jangan cerita hal yang terjadi hari ini kepada Salina. Ah, segala-galanya sudah terlambat. Pasti pemberita CNN ini akan interviu habis-habisan! Termasuk cerita dia yang terpengsan dek kerana binatang licin itu. Tentu Salina gelakkan dia guling-guling tidak cukup lantai. Haih!

"Opsss... pembetulan! Bukan pakwe aku! Sekadar kawan lelaki yang selalu teraccident aje tau. Tak lebih dari itu!"

"Mamat biul lagi?"

"Eh, abang tu sikit punya handsome dan baik, akak kata biul? Perfect la kak, tak dak kurang sikit pun. Kalau Kak Lia gatal-gatal reject, Wanee nak offer diri tau!" Wanee tidak sudah-sudah dengan gediknya. Waduh! Lia Hana menepuk dahi.

"Gaduhlah! Tak kuasalah aku melayan kau orang berdua. Waktu zohor dah nak habis ni. Aku nak masuk mandi dan solat dulu. Wanee... buatlah macam rumah sendiri ya!" Lia Hana segera bangun dari kusyen tunggal untuk menuju ke bilik. Rupa Salina sudah nampak semacam. Jika dia tidak cepat mengelak, pasti terpaksa menjawab pelbagai soalan cepumas lagi.

"Lia, betul ke mamat biul yang belanja kau orang makan?" Suara Salina sudah mula bernada tinggi. Terpaksalah dia bermain psikologi pula kali ini. Kawannya yang ini, lagilah melampau tahap kegedikannya.

"Iya... Cik Lina. Kami terserempak dengan dia waktu daki Bukit Larut pagi tadi. Aku mana pernah sengaja jumpa dia, semuanya terjadi secara teraccident. Sekarang benarkan aku masuk dulu ek, my lovely sister?" Cepat-cepat Lia Hana menghilangkan diri ke dalam bilik. Seram dengan riak muka wajah Salina. Entah angin apa yang menghembus, tiba-tiba nampak marah semacam. Takkan pula kerana Azeem belanja mereka makan membuatkan dia marah? Di hujung telinganya, terdengar temannya itu masih menyoal siasat Wanee. Nasib engkaulah Wanee...

Di atas katil, telefon nipisnya memaparkan lima belas panggilan tidak berjawab. Ya Tuhan... dia lupa membawa telefon rupanya. Sedikit pun tidak perasan. Patutlah tidak ada lagu menyanyi-nyanyi dari kocek seluarnya. Tersenyum dia melihat semua panggilan itu; daripada Nawal dan Abang Naim. Dia tahu dua beranak itu tentu kesunyian pada hari minggu begini. Hendak kata rindu, dia baru sahaja menjenguk mereka semalam.

Tidak Pernah SesalWhere stories live. Discover now