Bab 9

755 8 0
                                    

SEAWAL pagi Syed Azeem sudah bangun merenung alam dari balkoni rumahnya. Suasana yang segar dan nyaman, membuatkan dia tidak berganjak dari terus melihat keindahan alam di hadapan. Baru dia tahu sebenarnya pemandangan dari balkoni rumah hampir sama jika direnung dari cermin kaca pejabatnya. Bukit bukau menghijau, dengan air terjun di bahagian tengahnya. Bezanya, bukit yang dipandang dari kaca jendela pejabat bernama Bukit Larut, sedangkan di hadapannya sekarang ini adalah Bukit Jana.

Bukit-bukit ni berjiran aje... satu banjaran, mungkin juga bukit yang sama tapi dari sudut yang berbeza, desis hati kecilnya.

Tiba-tiba perasaan malu menyelinap ke dalam diri. Sudah lebih dua tahun berada di sini, dia tidak pernah ke Bukit Jana yang cuma sejengkal dari rumahnya di pinggiran padang golf ini. Dengar cerita ada air terjun yang cantik dan menjadi tumpuan aktiviti perkelahan. Apatah lagi ke Bukit Larut yang tersergam hijau dan nampak damai itu. Walhal, pelancong dari jauh-jauh pun berduyun-duyun datang untuk menikmati keindahannya.

Mujur dia masih tahu bahawa itu adalah salah satu mercu tanda bagi bandar kecil Taiping yang penuh sejarah suatu ketika dahulu. Menurut gadis uniknya, Bukit Larut yang dahulunya dikenali sebagai Maxwell Hill, juga merupakan tempat bagi penghuni-penghuni sekitar untuk beriadah. Gadis itu pun gemar beriadah di situ.

Ahhh! Sejak gadis unik itu hadir, sedikit sebanyak telah merubah hidupnya. Rutin harian yang kaku selama ini, telah berubah sedikit ceria. Semangat dirinya makin meningkat dari sehari ke sehari. Bila terjaga daripada tidur, hatinya terasa begitu segar untuk bersiap-siap ke pejabat. Tidak seperti dahulu, seolah-olah seperti dipaksa-paksa.

Tercuit hatinya bila memikirkan bagaimana dia sanggup pergi kerja awal semata-mata untuk melihat Lia Hana memarkir kereta, dan masuk ke dalam premis kilang tempat dia bekerja dari cermin pejabatnya. Juga sewaktu gadis tersebut pulang kerja. Selagi kereta hitam itu tidak bergerak keluar, selagi itulah dia tidak berganjak untuk balik. Dari situ jugalah dia menyiasat ke mana gadis itu pergi jika dia lengkap berpakaian sukan ketika keluar dari pejabat. Rupanya minat gadis tersebut adalah sama dengan minatnya suatu ketika dahulu. Bermain skuasy!

Suatu hari, si comel berlesung pipit itu terkejut amat bila bertemu dengannya di gelanggang skuasy di sebelahnya. Gelanggang skuasy di Kompleks Rakan Muda itu hanya ada dua dewan sahaja. Pada waktu tersebut, hanya dia dan Lia Hana yang menempahnya. Bagi gadis tersebut, tentulah pertemuan itu secara kebetulan, tetapi tidak bagi dia. Ahaks... itu adalah pertemuan yang sengaja dirancangnya. Sampai bila mahu mengharap kebetulan, kan? Dia sentiasa mencari jalan untuk mendekati gadis tersebut. Masih terbayang-bayang lagi wajah Lia Hana di ruangan matanya ketika itu.

"Hai... eh... assalamualaikum, Hana. Skuasy? Tak sangka pulak jumpa di sini." Syed Azeem sedikit terjerit, pura-pura terkejut tika menyapa gadis tersebut. Dengar tu... mulutnya sudah ringan mengucapkan salam selepas berkenalan dengan Si Lia Hana. Dulu-dulu... haram! Berat mulut macam ada ketul-ketul emas di bibir yang akan jatuh bila dia memberi salam pada orang.

Terkebil-kebil mata Lia Hana yang cantik itu, seperti tidak percaya yang berbaju sukan dan memegang reket skuasy di hadapannya ialah si handsome Azeem. Wah! Ada peningkatan. Daripada si biul kepada si handsome.

"Err... err... waalaikumussalam. Err... saya pun tak sangka nak jumpa Encik Azeem di sini. Kecilnya dunia ni ya?"

"Azeem. No encik, encik. Gelanggang sukan kut, bukan bilik meeting World Furniture atau Quality Foods." Syed Azeem menyengih. "Dah lupa sistem barter kita hari tu ke?"

Lia Hana malu-malu diingatkan begitu. Mana boleh lupa...!

"Sorang?"

"Aah, sorang. You pun sorang? Err... tapi skuasy ni sorang pun tak apa, kan? Hentam saja dinding tu. Kalau tengah stres, lagi bagus. Boleh pukul sekuat hati. Lega rasa lepas tu."

"Oh ya ke? Tak tahu pulak saya itu petua hilangkan stres. Tapi kalau ada kawan, rasanya lebih seronok, kan?"

"Agaknyalah..." Saat ini Lia Hana tidak dapat memikirkan apa-apa. Wajahnya yang putih, berona merah. Tidak pula terniat di hatinya untuk bermain berduet dengan lelaki itu.

"Boleh kita cuba hari ni? Nak rasa seronok ke tidak main berdua?"

"Saya? Dengan you? Satu gelanggang?" Bulat mata Lia Hana. Huih... terperangkap dia hari ini. Tidak pernah dibuatnya seumur hidup terkinja-kinja, melompat-lompat dengan lelaki bukan mahram dalam satu bilik. Walaupun bilik besar.

Syed Azeem angguk. Senyum. Mata tertumpu kepada wajah manis yang sudah kemerahan di hadapannya.

Lia Hana kelihatan keberatan untuk berdua-duaan bermain dalam satu gelanggang, namun bila memikirkan yang pemuda di hadapannya telah bersusah payah menolongnya hari itu, maka dia pun bersetuju. Sebagai membalas budi. Jika tidak, dia tidak akan buat begini. Tidak pernah dia bermain berpasangan dengan lelaki bukan muhrim dalam satu dewan. Hanya berdua. Tahu dek Abang Naim atau emak, mahu kena jegil mata. Memikirkan syarak dan hukum lagilah. Tak patut!

Tetapi dalam malu-malu itu, hebat juga Lia Hana membalun bola bulat itu. Termengah-mengah Syed Azeem mengejarnya.

"Stop dulu boleh?"

"Penat?" tanya Lia Hana. Dia selamba sahaja. Seminggu dua kali kut dia membedal bola. Practice makes perfect, kan... kata orang putih.

"Boleh tahan..." Syed Azeem mengaku kalah. Peluh merenik-renik di wajahnya. Sementelah dia main skuasy bukannya untuk beriadah. Niat dia hanyalah untuk skodeng. Mengurat anak dara orang lagi tepat. Jadi, mana nak datang semangat dan fokus bermain ya? Sebab dalam kepala asyik la memikir agenda sebenar dia.

Tersenyum-senyum Lia Hana jadinya. Yalah, tadi orang tu yang beria-ia untuk main berdua. Akhirnya siapa yang kantoi? Kihkih...

"Best?" tanya Lia Hana sepatah.

"Aha?" Telus anak mata Syed Azeem menerobos masuk ke mata si gadis di hadapan. Seksilah si dia dengan wajah dibasahi titis peluh. Dia menelan liur. Perasaan apakah ini?

Lia Hana terkedu. Cepat-cepat dia tundukkan muka memandang lantai.

"Best apa ya?" Soalan menguji tu. Salah faham boleh melencong maksud lain.

"Main skuasy berduet?" Lia Hana menjawab dengan ayat selamat.

Syed Azeem ketawa. "Best jugak. Kalau selalu praktis lagi best!"

Hamboih! Omel hati Lia Hana. Tetapi, kan... ada rasa bahagia di situ.

"Boleh?"

Lia Hana hanya senyum. Tidak tahu apa maknanya, sama ada bersetuju ataupun tidak.

Itu detiknya Syed Azeem mengenali si gadis secara terus dan terbuka. Selepas itu dia tidak segan-silu lagi menggunakan nombor telefon yang tertera pada kad nama yang diberi Lia Hana tempoh hari.

Kadang-kadang dia sendiri tertanya-tanya, kenapa dia begitu tertarik dan ingin mendekati Lia Hana. Asalnya, memang alasannya bahawa gadis tersebut mempunyai wajah yang seiras dengan bekas tunangnya, sehingga menyangka itu ialah Syarifah Zalia. Namun selepas beberapa kali pertemuan, dia amat yakin bahawa Lia Hana adalah Lia Hana, seorang insan yang lain, bukan Syarifah Zalia. Teramat yakin!

Namun, kenapa pula dia terasa gadis tersebut menjadi istimewa di sudut hatinya kini? Sehingga dia sanggup meluangkan masa emasnya untuk menjejaki aktiviti seharian gadis tersebut. Tidakkah seperti orang angau? Angau? Tak kut. Sekadar tertarik agaknya. Tetapi ada rasa rindu pula. Terasa sangat ingin bertemu dengan gadis itu sekarang ini. Bukankah hari masih pagi lagi?

Renungan Syed Azeem kembali ke Bukit Larut tersebut. Terdetik sesuatu di hatinya...

Tidak Pernah SesalWhere stories live. Discover now