Bab 4

1K 18 0
                                    

SALINA menguis-nguis kaki Lia Hana di bawah meja, dan memberikan isyarat mata supaya memandang ke arah meja di sudut yang agak terceruk di hadapan mereka. Namun segala isyarat yang cuba disampaikan itu seperti sia-sia belaka kerana teman karibnya itu amat khusyuk melayan bual pelanggan yang diamanahkan oleh Mr. Kevin Choo, Pengarah Unit Kawalan Kualiti dan Perkembangan Produk merangkap bosnya.

Lia Hana tekun mendengar dan memberi pendapat jika perlu. Kiranya jamuan makan tengah hari ini adalah salah satu agenda perniagaan, bukan untuk bersuka-suka. Sebab itulah dia memberi seratus peratus tumpuan kepada pelanggannya. Di samping dia dan Salina, turut hadir sama ialah Pengurus Bahagian Jualan, Mr. Vincent dan Pengurus Perkembangan Produk, Mr. Leong. Tetamu perniagaan dari syarikat gergasi Indonesia itu pula dua orang, menjadikan penuh satu meja makan untuk enam orang.

Salina dibenarkan turut serta atas alasan untuk merekodkan agenda yang perlu, menggantikan setiausaha Mr. Kevin. Oleh kerana agenda perbincangan pihak pengurusan ini tidak difahaminya, maka dia amat mengharapkan butir-butir daripada Lia Hana kemudian nanti, dan sekarang hanya mahu menikmati makanan yang lazat di samping menjamu mata.

Bengang kerana tidak dipedulikan, Salina buat hal sendiri, melayan mata dan perasaannya dengan memerhati kelakuan lelaki yang tertangkap di pancaindera matanya. 'Tampan dan nampak bergaya... Kalau aku dapat, alangkah bertuahnya. Cara dia makan, cara dia pegang sudu dan garpu, cara menyedut minuman, huh... macam orang kelas atasan! Agaknyalah... sebab aku mana pernah tengok betul-betul. Dalam drama Melayu banyaklah. Macam lelaki depan nilah caranya. Agaknya dia ni bukan orang sini. Nampak lain benar gayanya. Baju kemejanya nampak kemas, berjenama. Makan pun di restoran kelas-kelas, sorang diri pulak tu. Tapi betullah, tak nampak macam orang jahat pun? Apasal Si Lia ni takut sangat, ha? Ahhh! Dia tu memang penakut sebenarnya, walaupun gayanya penuh keyakinan. Sikit-sikit takut. Tak padan dengan pangkat dan muka lawa...!' Panjang Salina membebel di dalam hati.

Tiba-tiba paha Salina terasa sakit. Jari-jemari runcing Lia Hana telah menjalankan tugas dengan baik sekali bagi menyedarkan si gadis yang sudah jauh belayar entah ke benua mana.

"Dah sampai ke mana kau berangan ni?" Lia Hana berbisik. Salina tersengih-sengih bila tersedar. Tetamu Indonesia sudah minta diri untuk pergi bersama Mr. Vincent dan Mr. Leong. Mereka datang dengan satu kereta, sementara Lia Hana menggunakan keretanya sendiri.

"Engkau ni Lina, tak boleh di bawa ke majlis!" Lia Hana merungut dengan suara perlahan.

Salina tersengih-sengih, menyedari kesalahan diri sendiri. Kemudian matanya membulat seperti terkejut. Sambil mencuit bahu Lia Hana, matanya dihalakan kepada lelaki yang menarik perhatiannya sejak tadi.

Lelaki tersebut yang telah selesai menghabiskan makanan, menyisip baki minuman, kemudian dengan tertib mengelap mulutnya dengan tisu. Tiba-tiba juga dia memandang ke arah mereka. Matanya tertancap kepada Lia Hana. Kedua-duanya seperti tergamam. Saling berpandangan. Lama.

"Hhmm... ehhmm... Lia, kau dah terpikat ke? Itulah, lain kali jangan kata aku kena minyak senyonyong. Engkau pun sama." Salina berbisik memulangkan paku buah keras.

"Miss Hana... Miss Hana, thank God you masih ada di sini. You balik terus ke pejabat, kan? Boleh you beri dokumen ni kepada Madam Tang? We all berempat nak terus pergi ke kilang pembekal di Bagan," Mr. Leong yang tiba-tiba datang semula, seperti sedikit menjerit untuk meminta pertolongan. Takut benar dia kalau-kalau Lia Hana tidak mendengar.

"Okey Mr. Leong, tak ada masalah." Lia Hana mengangguk serta membalas kata dengan senyuman, lalu tangan mencapai beberapa buah fail plastik yang mengandungi dokumen di dalamnya, yang dihulurkan oleh lelaki Cina awal empat puluhan itu. Namun dalam masa yang sama, sempat juga dia terperasankan pandangan tajam lelaki tadi, yang perlahan-lahan berlalu di hadapan mereka

Tidak Pernah SesalWhere stories live. Discover now