Bab 10

815 11 0
                                    

"LAJUNYA jalan tu Wanee? Tak tinggal stamina untuk sampai ke atas ke? Perlahanlah sikit..."

Syed Azeem menoleh kepada empunya suara tersebut. Seperti kenal sahaja suara yang menusuk ke telinganya. Sedap, lunak, manja, dan cukup menghiburkan! Seperti yang diharapkan, muncul wajah yang didambakan itu di belakangnya. Sedang berjalan laju mengejar temannya yang agak ke hadapan. Wah! Pagi-pagi sudah terserempak dengannya. Seolah-olah kuat benar jodoh dengan si gadis ini. Jika teringat-ingat sahaja, dia pasti menjelma ke alam nyata.

Sengaja dia mendiamkan diri, tidak menegur untuk melihat telatah gadis tersebut bersama temannya. Teman baharu mungkin, kerana dia tidak pernah berjumpa yang ini. Biasanya dia bersama dengan kawannya yang tembam dan bermulut burung murai itu.

"Takkan akak tak ada stamina kut? Dengar, hari-hari buat exercise? Mesti kalah Wanee ni yang asyik berkurung kat kilang apek tu, tak berjoging, tak main game apa-apa." Teman Lia Hana sedikit termengah-mengah menjawab.

"Alaaa... kut berat akak ni dah naik agaknya. Maklumlah tinggal dengan Si Lina tu. Makan, makan, makan aje kerjanya. Jadi akak pun sikit sebanyak terkenalah jugak sindrom tu..." Termengah-mengah juga Lia Hana menjawab. Kini dia sudah pun beriringan dengan Wanee. Sememangnya jika ada kelapangan mereka akan membuat janji untuk beriadah bersama.

"Aahlah kak. Kalau pi rumah akak, ada banyak makanan. Dari nasi, kuih, jajan semua ada. Macam kat pasar malam. Boleh pilih-pilih apa yang nak dimakan." Wanee sengih menampakkan giginya yang halus-halus.

"Tahu tak apa! Tu semua kerja minah tembam tu la... Dia jarang balik kampung. Apa lagi, kerjanya kat dapur ajelah. Kalau dia tension, lagi banyak makanan dibuatnya. Kadang-kadang membazir-bazir hingga ke dalam tong sampah. Kesian kanak-kanak kat Utophia dengan Afghanistan tu. Dia orang punyalah kurus-kurus sebab tak cukup makanan, kita boleh buang-buang makanan gitu aje."

"Wanee ni termasuk dalam golongan kanak-kanak tu ke, kak?"

"Kau tu kerempeng sebab genetik. Makanlah banyak mana pun, akak tengok gitu jugak badannya. Kadar metabolisme tinggi sangat! Kiranya tak ada faedahlah jugak kalau makan banyak-banyak pun. Habiskan bogheh negara je..."

Kedua-dua gadis mengekek ketawa. Syed Azeem memasang telinga mendengar apa yang dibualkan. Banyak juga bercakap dan ketawa Si Lia Hana itu bila bersama temannya. Peramah dan menghiburkan. Jika hanya berdua dengannya, tampak cukup hati-hati ayat-ayat yang keluar dari mulut comel itu.

Logiklah juga, kan. Dia hanya sekadar seorang lelaki yang baru dikenali, malah cara perkenalan mereka dahulu pun, huh, sangat memalukan. Kalaulah peristiwa itu boleh dipadamkan serta diganti dengan yang lebih romantis, dia mahu sangat! Jika tidak kerana kes bantuan kecemasan dahulu, agaknya sampai sudah Lia Hana tidak ingin bercakap dengannya. Jadi, jangan haraplah gadis itu hendak terlebih-lebih ramah. Setiap mesejnya pun dibalas sebagai berbahasa sahaja, jangankan tidak, kerana telah termakan budi. Tetapi tidak mengapa. Dapat melihat dia melalui jendela kaca pun jadilah, tidak mendengar suara pun tidak mengapa.

Mujur juga Lia Hana tidak menyedari kehadirannya di situ. Mungkin kerana dia memakai hood, jadi penampilannya berbeza daripada biasa. Ataupun, gadis itu terlalu asyik melayan bualan temannya. Sungguh, seronok juga jika berteman. Tidaklah rasa sunyi keseorangan seperti apa yang dirasainya lewat tahun-tahun kebelakangan ini. Haah... sejak ada gadis ini, baru dia perasan yang hidupnya selama ini membosankan! Tidak berwarna. Hanya hitam dan putih.

Alhamdulillah. Mujur dia mengikut detik hatinya, pagi ini. Tidak disangka pula, kakinya teramat ringan mengikut kata hati, menemukan lagi sesusuk tubuh yang selalu berada di mindanya kini. Entah mengapa tiba-tiba dia teringin untuk mendaki Bukit Larut ini. Bukit yang kini selalu ditenungnya, tetapi seolah-olah tidak pernah dilihat sebelum ini, padahal terbentang luas di hadapannya setiap hari. Jangankan mendaki, kewujudannya pun dia tidak perasan.

Tidak Pernah SesalWhere stories live. Discover now